Salam Aidiladha: Sekeping Hati Milik Ibrahim
www.iluvislam.com
nukilan asal : Ustaz Hasrizal
editor : IskethaykaL
@}---~---{@
“Selawat Allah ke atas junjungan Muhammad, dan keluarga Muhammad,
sebagaimana selawat-Mu ya Allah ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim,”
bicara tasyahhud kita saban masa.
“Kami berpagi-pagian di atas fitrah al-Islam, dan kalimah al-Ikhlas,
dan agama Nabi kami Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam, dan di atas
jalan agama Ibrahim yang Haneef, tidak sekali-kali baginda itu dari
kalangan manusia yang menyekutukan-Mu” zikir kita mengiring terbitnya
fajar pagi.
Ibrahim bapa sekalian Anbiya’.
Aidiladha mengangkat syiar memperingati pengorbanan dan kemuliaannya.
Ibrahim pemilik Hati yang Saleem.
Hati yang sejahtera.
QALBUN SALEEM
Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran tentang hati yang sejahtera ( )
sebanyak dua. Sebutan yang pertama adalah berkenaan dengan hati yang
sejahtera di dunia, manakala sebutan yang kedua menyentuh tentang
Akhirat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Saafaat [37: 83-84]:
“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya
Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya
dengan membawa hati yang sejahtera”¯
Ayat ini dinyatakan oleh Allah SWT berkenaan dengan titik tolak
Ibrahim Alayhi as-Salaam mencari kebenaran, melukis garis pemisah
dirinya dengan syirik bapa dan kaumnya, serta asas perjuangan Baginda
AS sebagai seorang Rasul.
Firman Allah SWT lagi di dalam surah al-Shu’araa’ [26: 88-89]:
“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat
lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada
Allah dengan membawa hati yang sejahtera”¯
Ayat kedua ini pula menyatakan tentang kemutlakan hati sebagai
satu-satunya bekalan bermanfaat yang dibawa oleh seseorang semasa
mengadap Allah Azza wa Jalla di hari Akhirat nanti.
HATI YANG SEJAHTERA
Ia adalah terjemahan Bahasa Melayu kepada istilah asalnya Qalbun Saleem….
Hati yang bernilai tinggi itu diistilahkan sebagai hati yang ‘Saleem’.
Ia berasal daripada perkataan umbi Sa-Li-Ma… yang menghasilkan makna
linguistik:
i. Selamat
ii. Penyerahan / kepasrahan / keakuran
Oleh yang demikian, hati yang sejahtera ini terbentuk dengan asasnya
yang utama iaitu penyerahan dan ketundukan yang mutlak kepada Allah
SWT. Justeru itu hati yang sempurna tidak disebut sebagai ‘hati yang
bahagia’¯ atau(Qalbun Sa’eed), bahkan tidak juga ‘hati yang sihat’¯ atau (Qalbun Saheeh)!
Ini adalah kerana, kedua-kedua karakter itu hanyalah serpihan daripada
makna yang terkandung di dalam pengertian hati yang sejahtera (Qalbun Saleem).
Memahami maksud yang terkandung di dalam makna hati yang sejahtera
adalah amat penting kerana ia adalah kesimpulan kepada bekalan hidup
dan bekalan akhirat. Bagi kehidupan di dunia, Allah SWT menyatakan
bahawa, Ibrahim Alayhi as-Salaam, khalilNya, mencari Rububiyyah dan
Uluhiyyah, menggariskan kebenaran dan menetapkan langkah di dalam
perjuangan Baginda sebagai Rasul dengan berbekalkan hati yang sejahtera.
Firman Allah SWT:
“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya
Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya
dengan membawa hati yang sejahtera” [Al-Saaffaat 37: 83-84]
HATI YANG SEJAHTERA DI DUNIA
Ulama’ Tafsir telah menghuraikan tentang pengertian atau sifat-sifat
yang terkandung di dalam hati yang sejahtera itu. Ia adalah hati yang
menyerah kepada Allah, tunduk kepada kehendak dan kemahuan Allah SWT.
Apabila hati itu menurut segala kehendak Penciptanya, maka dengan
sendirinya ia terpelihara daripada segala yang mencemari pengabdiannya
kepada Allah. Menurut Qatadah, ia adalah hati yang bebas merdeka
daripada syirik dan nifaq. [Fath al-Qadeer, Ash-Shaukani, j4 ms. 460, Dar al-Kalim at-Tayyib, 1998]
Hati yang bebas merdeka ini adalah
hati yang murni dengan fitrahnya. Ia adalah hati yang suci bersih dari
syirik yang mengelirukan manusia tentang ketuhanan. Ia juga adalah hati
yang lepas bebas dari sifat nifaq yang melahirkan prejudis dan karakter
dusta dan menipu. Menipu Alllah sedangkan yang sebenar-benarnya ditipu
itu adalah dirinya sendiri.
HATI SEJAHTERA SEORANG YANG MENCARI KETUHANAN
Ibrahim Alayhi as-Salaam mendapat keupayaan untuk menemui jawapannya
terhadap ketuhanan kerana Baginda membawa hati yang sejahtera, iaitu
hati yang suci dari prasangka. Selepas kukuh berpegang dengan hidayah
Allah, hati yang sejahtera itu juga tunduk sepenuhnya kepada ketentuan
Allah yang memilih Baginda sebagai Rasul. Baginda tidak mempertikaikan
pemilihan itu walaupun dengan ketentuan Allah tersebut, bererti Baginda
akan
berhadapan dengan musuhnya yang paling sukar iaitu bapanya sendiri, si
pengukir berhala. Hati yang sejahtera tidak prejudis atau
membantah-bantah ketentuan Allah.
Tegasnya, hati yang sejahtera bagi seorang yang sedang mencari
ketuhanan bererti hati yang tiada prasangka atau prejudis terhadap
Tuhan. Hati seperti ini adalah kunci utama untuk menemukan pemiliknya
kepada kebenaran kerana ia membuka luas-luas pintu kepada segala input
untuk dianalisa dengan adil dan saksama. Bagi seorang manusia yang
sedang ‘mencari Tuhan’, hatinya tidak boleh prejudis. Prejudis adalah
perkataan yang datang dari kalimah Bahasa Inggeris iaitu ‘prejudice‘ yang terbentuk dari dua perkataan iaitu ‘pre’ dan ‘judgement’. Prejudice
ini bermaksud membuat keputusan terhadap sesuatu perkara yang sedang di
dalam pertimbangan, sebelum sampai kepadanya bukti-bukti dan maklumat
yang lengkap. Ia telah membuat sekatan mental, lantas menyempitkan
pintu dirinya untuk menganalisa.
Kerana itulah, Allah SWT memilih untuk menjadikan bangsa Arab
sebagai kader umat Muhammad SAW yang pertama. Bangsa Arab Jahiliah
tidak berpemikiran sebagaimana kaum Rom dan Parsi yang sudah mempunyai mindset
berasaskan falsafah dan kepercayaan mereka yang sudah begitu tersimpul
dan berakar umbi. Bangsa Arab Jahiliah mensyirikkan Allah dalam bentuk
yang mudah, hati mereka senang untuk sampai kepada hati yang sejahtera
kerana mereka tidak prejudis kepada ketuhanan. Tiada mulhid atau atheist
di dalam masyarakat mereka bahkan semuanya percaya kepada Rububiyyah
Allah. Mereka mengiyakan Allah sebagai Tuhan yang menurunkan hujan dan
mencipta langit dan bumi. Namun yang masih belum selesai hanyalah
Uluhiyyah dan disiplin pengabdian mereka kepada Allah.
Seorang saintis yang luhur di dalam pengkajiannya, akan dengan mudah
sampai kepada ‘menemui Tuhan’. Namun bagi saintis yang sudah ada mindset
yang prejudis, hatinya akan sentiasa dilarikan daripada akur kepada
Allah. Seorang pakar kejuruteraan genetik merasakan kewujudan Tuhan
sudah tidak relevan kerana menemui upaya untuk mencipta makhluk
mengikut kehendak dirinya. Tetapi prasangka dan prejudis telah
membutakan dirinya dari suatu hakikat bahawa manusia yang paling cerdik
hanya mampu mencipta sesuatu daripada ada kepada ada. Namun Tuhan
mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Sesuatu yang mustahil bagi manusia, walaupun sekadar sebelah kepak nyamuk!
HATI SEJAHTERA SEORANG MUKMIN
Manakala bagi seorang mukmin yang memiliki hati yang sejahtera,
hatinya akur, tunduk dan patuh kepada segala ketetapan Allah SWT.
Keputusan Al-Quran dan Sunnah NabiNya diterima dengan hati yang tunduk
pasrah dan tidak lagi berbantah-bantah dan mempersoalkan “kenapa mesti
aku?”¯, “kenapa mesti begitu”¯ dan sebagainya.
Mungkin hati yang sejahtera inilah yang gagal dimiliki oleh
seseorang yang terlalu gemar mempersoalkan suruhan dan larangan Allah
ke atas dirinya. Hatinya bukan hati seorang hamba, kerana fitrah
seorang hamba adalah akur sahaja kepada suruhan tuannya. Hamba Allah
berasa gembira, sejahtera dengan segala apa yang diperuntukkan Allah
kepadanya. Jika lelaki diwajibkan dan digesa solat berjemaah di masjid,
hatinya dengan ghairah mahu patuh kerana penyerahan hatinya kepada
Allah menjadikan dirinya terbuka untuk “menerima apa sahaja” dan
diperlakukan semahunya oleh Tuan iaitu Tuhannya.
Namun, seorang hamba yang hilang sifat kehambaan, lebih suka mencari
hak-hak untuk manfaat dirinya berbanding dengan peranan dan
tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Sering mencari “APA UNTUK AKU” dan
lupa kepada “AKU UNTUK APA”.
Hati yang sejahtera, adalah hati yang tidak malas dari beribadah. Ia
adalah hati yang bingkas bangun ketika mendengar seruan Allah. Ia bukan
hati nifaq yang bangun mendirikan solat dengan penuh rasa malas, serta
amat sedikit mahu ingat kepada Allah Tuhannya [AL-Nisaa; 4: 142]
Hati yang sejahtera ini jugalah yang melahirkan suatu keazaman yang
kukuh umpama keazaman Ulul Azmi seperti Ibrahim Alayhi as-Salaam yang
melaksanakan perjuangannya di Iraq, Palestin, Mesir dan Hijaz dengan
penuh sabar, ta’aluq cinta khullah yang mutlaq kepada Allah SWT.
Sesungguhnya hati yang sejahtera ini adalah hati yang berjaya
memenuhi tujuan penciptaannya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah
SWT.
MENGAPA HATI?
Manusia itu memiliki pelbagai unsur di dalam dirinya. Manusia itu
adalah kombinasi tubuh badan fizikal, akal, nafsu dan hati. Namun
keseluruhan kerajaan diri manusia itu, rajanya adalah hati. Akal yang
beroleh maklumat menghasilkan ‘tahu’. Akan tetapi manusia tidak
bertindak mengikut apa yang dirinya tahu. Pengetahuan tidak menjana
tindakan apatah lagi untuk tindakan itu sampai menjadi tabiat atau
sikap yang konsisten. Lazimnya manusia akan bertindak berdasarkan
kepada kehendak hatinya. Hati itu akan membuat keputusan atas nasihat
sama ada oleh akal atau sebaliknya, nafsu.
Maka segala perlakuan manusia itu, sebenarnya adalah natijah kepada
kerja hati dan bukannya kerja akal. Dengan demikian itu, amat wajarlah
untuk hati menjadi fokus. Ia tempat jatuh pandangan Allah, ia tempat
terbit perilaku patuh kepada Allah. Maka segala perintah Allah berupa
undang-undang, hukum hakam, suruhan dan larangan, semuanya akan muncul
dengan titah hati sebagai raja kepada kerajaan diri seorang insan. Jika
hatinya mengikut akal yang terpimpin oleh wahyu, terbentuk dengan
‘rasa’ yang terbit dari ketundukan nafsu, maka terbitlah taat dan
istiqamah di dalam melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya taat atau
maksiat, sangat bergantung kepada tahap kesejahteraan hati seorang
manusia. Manusia yang bertemu Allah dengan membawa hati yang sejahtera
adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan
dan kepatuhannya kepada Allah semasa menunaikan kewajipan hidup di
dunia.
HATI YANG SEJAHTERA DI AKHIRAT
Firman Allah SWT:
“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat
lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada
Allah dengan membawa hati yang sejahtera”¯ [AL-Shu'araa' 26: 88-89]
Alam Mahsyar adalah alam penilaian terhadap manusia. Ia adalah hati
pengisytiharan keputusan bagi ujian yang telah ditempuhi oleh manusia
semasa hidupnya di dunia. Seandainya manusia hidup di dunia dengan
berbekalkan hati yang sejahtera, maka hati itulah yang akan menjadi
persembahannya kepada Allah di akhirat.
Prasangka manusia terhadap peri pentingnya harta dan anak-anak
semasa hidup di dunia, akhirnya akan dihadapkan kepada kenyataan bahawa
semuanya tidak bermanfaat lagi, kecuali bagi yang datang kepada Allah
dengan hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera di dunia, akan
menguruskan harta sebagai amanah Allah, lantas segala tuntutan dan
tanggungjawab infaq ditunaikan. Hati yang sejahtera di dunia juga, akan
menguruskan anak-anak sehingga terdidik dan membesar sebagai manusia
soleh dan bertaqwa, memiliki hati-hati yang juga sejahtera kepada Allah.
Maka hati yang sejahtera di akhirat, adalah indikasi kepada nilai
amalan seseorang. Hiduplah di dunia ini dengan hati yang sejahtera, dan
temuilah Allah di alam mendatang juga dengan hati yang sejahtera,
kerana di situlah letaknya kebahagian dan keselamatan yang kekal abadi.
Itulah hati seorang IBRAHIM, yang kita tinggikan namanya pada hening AIDILADHA ini.
Selamat Hari Raya Aidiladha…!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
versi asal: Kota Kinabalu, Sabah, 14 April 2005
Play by FoxSaver®
4 Comments ·
2701 Reads ·
|