Bayi Jadi Anak Angkat Syarikat Penerbangan

110120-bayiCladis Masuti, 28, dan isterinya Roslina Puyut tersenyum lebar ketika ditemui di kawasan hangar syarikat penerbangan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd di sini hari ini, bersama bayi mereka yang baru berusia dua minggu. Suasana ceria jelas terpancar di wajah pasangan itu semasa mereka menjawab pelbagai soalan yang diajukan, manakala bayi mereka yang masih belum mempunyai nama itu nyenyak tidur dalam dakapan ibu.

Beberapa petugas perubatan serta penerbangan juga berada di sini untuk menyampaikan pelbagai hadiah dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka,  semasa mereka menaiki helikopter untuk kembali ke kampung mereka, Kampung Sonsogon Paliu yang terletak di kawasan pedalaman di Kota Marudu.

Bagaimanapun dua minggu lalu keadaan di hangar itu berbeza samasekali, semasa si ibu yang baru berumur 21 tahun bertarung nyawa untuk mengharungi komplikasi proses kelahiran, yang menyaksikan bayi itu dilahirkan di hangar berkenaan. “Jika mereka tidak diterbangkan ke ibukota untuk menerima rawatan sewajarnya pada masanya, ibu dan bayi itu mungkin tidak dapat diselamatkan,” kata Dr Nelbon. Giloi, pegawai kesihatan negeri yang mengendalikan perkhidmatan ‘Flying Doctors’ atau pemindahan perubatan kecemasan.

Pada 6 Januari lepas Dr Nelbon membuat panggilan kecemasan ke Layang-Layang Aerospace pada pukul 12.15 tengah hari untuk mendapatkan khidmat helikopter ke kawasan yang terletak kira-kira empat jam dan 20 minit penerbangan dari Kota Kinabalu. Bayi itu dilahirkan sebaik sahaja helikopter itu sampai di kawasan hangar syarikat penerbangan tersebut. “Kami tidak dapat bawa dia terus ke hospital daerah kerana dia memerlukan rawatan pakar disebabkan masalah semasa kelahiran, dan kami memang jangka ada masalah semasa bayi itu dilahirkan.

“Semasa lahir, bayi itu kelihatan kebiru-biruan disebabkan kekurangan oksigen dan tidak ada respons darinya ketika itu, dia langsung tidak menangis. Kami terpaksa menstabilkannya dan bawa dia ke Hospital Queen Elizabeth sebelum dipindahkan ke Hospital Likas. Dia ditempatkan dalam inkubator untuk beberapa hari,” katanya. Cladis dan Roslina, kedua-duanya pesawah, amat berterima kasih terhadap bantuan yang diberikan pasukan perubatan profesional, dan menurut mereka kampung mereka tidak mempunyai bidan, sedangkan akses kepada dunia luar hanya bergantung kepada laluan berjalan kaki, selain helikopter di waktu kecemasan.

Cladis berkata beliau sendiri meninggalkan kampungnya mungkin hanya dua atau tiga kali setahun untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain, kerana beliau perlu berjalan selama tiga hari untuk sampai ke Kota Marudu, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari kampungnya. “Malah kawasan mendarat helikopter sebenarnya terletak di Kampung Magandai, iaitu kira-kira lapan jam berjalan kaki dari kampung kami. Tapi mujurlah pada hari itu selepas kakak saya hubungi pasukan perubatan menggunakan telefon bimbit, beberapa penduduk kampung membantu untuk menyediakan kawasan mendarat berhampiran rumah kami,” kata Roslina. Pengarah Urusan Layang Layang Aerospace Johan Poong Abdullah pula ketika ditemui berkata ia merupakan kejadian pertama membabitkan seorang bayi dilahirkan di hangar itu sejak mereka memulakan operasi di Kota Kinabalu pada 2000. Beliau berkata selaras dengan tradisi penerbangan, syarikat tersebut akan menjadikan bayi itu sebagai ‘anak angkat’ dan akan melawatnya dari semasa ke semasa.

“Kami harap apabila dewasa bayi ini akan menjadi sama ada juruterbang atau jurutera penerbangan,” kata Poong.

- Kota Kinabalu, 20 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Artikel Terkini

  • kehidupan1
  • hidayah1
  • Dawah-The-Cause-and-Results-1024x683
  • date-ramadan-debut-ramadan

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas