Kerajaan Bangunkan Makmal Halal

altSatu-satunya makmal kajian halal milik kerajaan, yang pertama di dunia, akan dibina di Bandar Enstek pada tahun depan dengan kos
projek fasa pertama RM27.3 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau yakin Malaysia merupakan negara pertama yang memiliki makmal seumpamanya memandangkan kebanyakan makmal untuk kajian produk halal dan haram ini adalah milik swasta sedangkan makmal bertaraf institut itu diletakkan di bawah agensi kerajaan, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ia bukan sahaja membuat kajian terhadap makanan tetapi ke atas produk-produk lain juga. Khidmatnya akan digunakan oleh pelanggan kita dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak Makmal Institut Halal Malaysia di Bandar Enstek hari ini.

Katanya Jakim pada masa ini mempunyai 23 pelanggan dari luar negara malahan sijil halal dari Jakim diperakui oleh komuniti Islam di peringkat antarabangsa. Pembinaan fasa pertama institut, bermula dengan bangunan makmal dan balai pengawal, di kawasan seluas 16 hektar akan bermula September ini dan dijadual siap pada Disember 2012, katanya.

Pembinaan makmal itu selaras dengan penggubalan Rang Undang-undang Halal yang akan dibuat pada sesi Parlimen akan datang, katanya.

“Selepas ini, hanya Jakim sahaja yang akan mengeluarkan sijil halal. Pihak swasta tidak dibenar mengeluarkan sijil halal lagi,” katanya.

Katanya, pada masa sekarang, pengeluaran sijil halal swasta lebih kepada faktor keuntungan dan mereka tidak mempunyai mekanisme untuk memastikan produk yang diberi sijil itu benar-benar mematuhi syarat halal kerana tidak mempunyai kuasa.

“Pengeluaran sijil halal kita lebih terjamin, bukan sekadar halal malah kita titik beratkan faktor kebersihan. Jakim juga menghantar pegawainya ke luar negara untuk melihat sendiri kilang-kilang yang mengeksport makanannya ke Malaysia,” katanya.

Jamil Khir berkata terdapat pihak memohon sijil halal dari Jakim untuk produk besi.

“Besi bukan untuk dimakan tetapi syarikat terbabit mengeluarkan besi untuk kegunaan perubatan. Besi yang ditanam dalam tubuh manusia. Bagi mereka, adanya ijil halal dari Jakim, ia memberikan produk mereka kelebihan. Pelanggan Islam akan lebih yakin,” katanya.

- 4 Januari 2011, Nilai

Komen Editor

Alhamdulillah. Tahniah kepada kerajaan Malaysia atas usaha ini.

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Penulis

Artikel Terkini

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas