Bahaya Telefon Bimbit Semasa Memandu

altIni adalah senario biasa ketika di jalan raya. Sebuah kereta dilihat dipandu dengan kelajuan lebih kurang 50KM/J. Tiba-tiba kereta tersebut dilihat ‘melelong’ ke kiri dan kanan jalan.

Ketika mengambil selekoh, kereta tersebut dilihat ‘memakan’ jalan lorong sebelah kiri hingga membahayakan pemandu kereta di lorong tersebut. Semasa melepasi kenderaan itu dilihat pemandunya sedang leka berbual menggunakan telefon bimbit.

Dengan kemalangan jalan raya dan yang melibatkan kematian mencatatkan jumlah yang tinggi di negara ini, dan hakikat bahawa keselamatan jalan raya masih di pandang ringan di kalangan pemandu di Malaysia, masalah penggunaan telefon semasa memandu hanya menambah burukkan lagi statistik kemalangan.

Mengapa perlu mengiklankan produk anda dengan harga yang mahal? Sertai kami di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Promosi RM5 selama sebulan! Jangan ketinggalan!

Kajian dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Sweeden dan Jepun mendapati mereka yang menggunakan telefon bimbit sama seperti memandu dalam keadaan mabuk dan berhadapan dengan risiko kemalangan empat hingga lima kali ganda berbanding mereka yang tidak menggunakannya.

Kajian menunjukkan sekiranya seorang yang mabuk dengan tahap alkohol dalam darah 0.08 peratus mereka berhadapan dengan peningkatan kemalangan empat kali ganda. Risiko yang sama akan berlaku sekiranya seseorang bercakap di telefon dan ia akan meningkat sehingga lapan kali ganda sekiranya mereka menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Peningkatan risiko kemalangan bagi mereka yang menggunakan telefon bimbit terjadi pada satu atau lima minit sebelum kemalangan dan penurunannya hanya akan hilang selepas 15 minit pemandu tersebut tidak menggunakan telefon bimbit.

Menjadi Satu Budaya

Adalah satu pandangan biasa ketika di jalan raya kini, melihat penunggang motosikal berbual menggunakan telefon bimbit. Sambil menyelitkan telefon di dalam topi keledar, tanpa rasa bersalah berbual dalam nada suara yang tinggi hingga boleh didengar oleh pengguna jalan raya lain.

Sementara itu bagi yang memandu, telefon bimbit sentiasa ada di sisi, dicelah tempat duduk, di poket baju dan seluar. Tanpa menggunakan kit bebas tangan ‘hand free’ ketika berbual ada juga yang membalas Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau membaca SMS.

Pelbagai aplikasi terkini yang terdapat dalam telefon bimbit termasuk memuat turun lagu, menulis blog, melayari internet dan berinteraksi melalui laman sosial facebook menyebabkan keghairahan untuk menggunakannya semakin tinggi malah menjadi satu budaya di kalangan ramai pemandu dan penunggang motosikal.

Tanpa disedari budaya tersebut umpama bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa untuk meragut nyawa pemandu dan penumpang kenderaan malah pengguna jalan raya yang lain.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Ahamd Farhan Mohd Sadullah, berbual menggunakan telefon bimbit sebenarnya lebih banyak mengganggu tumpuan pemandu berbanding penumpang yang gemar berbual, malah lebih membahayakan sekiranya mereka menaip, menghantar dan membaca SMS.

Risiko itu datangnya dari gangguan terhadap fokus ketika berbual kerana tidak semua orang boleh memberi pelbagai penumpuan pada satu-satu masa. “Memandangkan perbualan telefon memerlukan penumpuan, menyebabkan pemandu menjadi alpa terhadap pemanduannya dan menfokuskan pada apa yang dibualkan ketika itu.

Keadaan ini lebih membahayakan sekiranya seseorang itu membaca atau menghantar SMS kerana SMS memerlukan perbuatan yang akan menjadikan situasi lebih berisiko kerana pemandu menghalakan penglihatannya ke arah lain (pada telefon bimbit) dan tidak melihat pada sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata penggunaan kit bebas tangan juga tidak akan mengurangkan risiko kemalangan kerana elemen gangguan kepada pemandu tetap sama walau pun tangannya memegang stereng kereta. Ini kerana tindak balas tubuh terhadap penggunaan telefon bimbit yang akan membawa kepada cara pemanduan yang berbahaya.

Kajian pakar juga mendapati tahap reaksi seseorang pemandu menjadi perlahan apabila bercakap menggunakan telefon bimbit sama ada melibatkan pemandu baru ataupun pemandu yang mahir.

Dr Ahmad Farhan berkata walau pun tiada statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di-Raja Malaysia yang merekodkan jumlah kemalangan yang berpunca daripada penggunaan telefon bimbit namun hasil dapatan kajian lain antaranya kecuaian yang dilakukan pemandu membuktikan tentang bahaya penggunaannya.

Persekitaran Jalan Raya Tidak Selamat

Kesedaran tentang bahaya penggunaan telefon bimbit di kalangan pengguna jalan raya negara ini masih rendah dan membimbangkan. Perkara itu diakui oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh.

Penggunaan telefon bimbit adalah antara tingkah laku dan amalan berisiko kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang kini semakin berleluasa dan menjadi sebahagian norma segelintir masyarakat terutama di kalangan golongan muda.

“Mereka yang berbual atau menghantar sms ketika memandu dan menunggang motosikal, tidak memberikan fokus terhadap pemanduannya yang akhirnya akan menyumbang kepada risiko kemalangan,” katanya. Beliau berkata tingkah laku tersebut mengundang persekitaran tidak selamat di jalan raya bukan sahaja kepada pemandu dan penumpang didalam kenderaan atau
penunggang dan pembonceng tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.

Mengambil contoh, sekiranya seorang pemandu kereta sedang menggunakan telefon bimbit dan penunggang motosikal dari arah bertentangan turut menggunakan telefon bimbit. Risiko berlakunya tragedi sangat tinggi kerana kedua-duanya sudah hilang tumpuan kepada pemanduan.

“Kita tidak boleh membuat andaian apabila kita menggunakan telefon bimbit ketika memandu, orang lain tidak gunakannya atau pemandu lain perlu memberi perhatian kepada pemanduan mereka kerana anda sedang menggunakan telefon bimbit ketika itu. Perkara tersebut adalah mustahil berlaku, jadi kita sendiri yang kena ubah budaya tersebut,” katanya.

Bagi mengelakkan gangguan dari telefon bimbit, langkah terbaik katanya meletakkan telefon bimbit tersebut dalam ‘silent mode’ atau tutup sahaja sebaik memulakan pemanduan. Ini kerana manusia sering kali gagal mengawal desakan naluri untuk segera menjawab atau menyemak tiap panggilan atau SMS yang masuk.

Ujarnya, sebagaimana menjadi satu peraturan untuk mematikan telefon bimbit ketika berada di dalam kapal terbang, begitu jugalah yang perlu dilakukan ketika hendak memulakan pemanduan.

“Memang sukar mengubah sikap, umpama seorang perokok tegar yang sukar berhenti dari merokok, sehiggalah datang penyakit, baru nak berhenti. Jadi kita perlu sedarkan orang ramai sebelum penyakit itu datang atau tragedi itu menimpa mereka,” katanya

Kempen ‘No Phone Zone’

Selebriti dan pengacara bual bicara popular, Oprah Winfrey adalah antara individu yang aktif menyedarkan orang ramai tentang bahayanya penggunaan telefon bimbit ketika memandu melalui kempen ‘No Phone Zone’ yang diperkenalkan pada awal tahun lepas dalam rancangan temubualnya.

Kaji selidik secara rambang yang dilakukan melalui program bual bicaranya mendapati 71 peratus yang berumur antara 18 hingga 49 tahun mengakui mereka menggunakan telefon bimbit ketika memandu untuk menghantar SMS dan berbual. Paparan tragedi kehilangan orang tersayang akibat penggunaan telefon bimbit di laman webnya serta pandangan pakar yang membuat kajian membangkitkan kesedaran orang ramai dan berjaya mengumpul sokongan lebih 400,000 individu termasuk selebriti yang membuat akujanji untuk tidak menghantar SMS dan berbual menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Mengambil pendekatan yang sama, JKJR bersama Kolej Universiti HELP mengambilinisitif memperkenalkan kempen “The No Phone Zone” bagi menanam kesedaran di kalangan pengguna jalan raya di Malaysia tentang bahaya penggunaan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal.

Suret berkata kempen yang dilancarkan oleh Duta Global Keselamatan Jalan Raya, Datuk Michelle Yeoh pada 23 Mac lepas menfokuskan kepada golongan muda kerana mereka adalah golongan yang paling berisiko tinggi mendapat kemalangan terutama penunggang motosikal.

Selain sebagai pelayar laman sosial Facebook paling aktif, mereka juga pengguna perkhidmatan SMS yang paling tinggi. “Kerana itu, kempen kita bermula dengan kerjasama dengan Universiti HELP bagi mendekati golongan muda yang kebanyakannya menunggang motosikal.

Setiap bulan JKJR sasarkan untuk jalankan kempen di salah sebuah institut pengajian tinggi sama ada awam dan swasta bagi memastikan kempen ini berterusan,” katanya. Sementara itu, Pengarah Pusat Matrikulasi Kolej Universiti HELP, Dhanesh Balakrishnan berkata sehingga kini terdapat lebih 2,000 akujanji yang dibuat oleh pelajar dan orang ramai melalui laman web yang dibina sejak kempen tersebut dilancarkan 21 Mac dan berakhir pada 29 Mac lepas.

Mengakui bukan mudah untuk mengubah sikap pemandu dan penunggang motosikal terutama dikalangan pelajar kolej tersebut, namun langkah mengadakan kempen ini sebagai titik awal bagi menanamkan kesedaran dikalangan masyarakat Malaysia.

“Ada di kalangan pelajar yang enggan menjadi hipokrit dan tidak membuat akujanji untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Namun kita anggap ini sebagai satu cabaran. Perjalanan masih jauh… kita percaya usaha berterusan melalui kempen yang dilakukan akan mewujudkan kesedaran itu,”
katanya.

- Kuala Lumpur, 21 April 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Sumber imej : Google Image

Artikel Terkini

  • kehidupan1
  • hidayah1
  • Dawah-The-Cause-and-Results-1024x683
  • date-ramadan-debut-ramadan

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas