Sihat Mulut, Sihat Tubuh Badan

altPepatah Cina ada menyebut: “Mulut itu pintu masuk kepada kesihatan tubuh badan, kerana semua penyakit datangnya dari mulut, manakala semua masalah datangnya dari pertuturan.”

Bagaimanapun, mulut didiami ribuan bakteria yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit periodontal atau gusi, kata Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Datuk Dr How Kim Chuan.

Penyakit periodontal ialah jangkitan bakteria yang merosakkan tulang sekeliling akar gigi menyebabkan gigi menjadi longgar.
Ia disebabkan plak bakteria, selaput kekuningan melekit yang sentiasa terbentuk di gigi. Antara simptom sakit periodontal ialah gusi merah, bengkak dan berdarah, kemunculan “poket-poket” periodontal, gigi longgar dan nafas berbau.

Walaupun begitu, tidak ramai pesakit sedar akan kehadiran penyakit itu kerana simptom-simptom biasanya tidak disertai kesakitan, kata Dr How. Mujurlah tanda-tanda keradangan itu dapat dirawat sepenuhnya jika disertai dengan langkah pencegahan, motivasi serta kerjasama daripada pesakit, katanya.

Kaitan Dengan Penyakit Sistemik

Terdapat banyak kajian yang menyelidik kemungkinan berkaitnya penyakit oral (mulut) dengan kesihatan sistemik tubuh badan, kata Dr How. “Para penyelidik mendapati periodontitis (keradangan gusi), peringkat mendalam penyakit periodontal, mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti penyakit kardiovaskular, strok, kencing manis dan pneumonia bakteria.”

Kajian juga menunjukkan bakteria dan keradangan memainkan peranan lebih bahaya dalam penyakit sistemik seperti kencing manis kerana mengurangkan ketahanan tubuh terhadap risiko jangkitan dan membuatkan penyakit periodontal semakin teruk.
“Jadi mereka yang menghidap kencing manis selalunya juga mempunyai penyakit periodontal. Malah ada kajian yang mengatakan periodontitis memberi kesan ke atas kawalan gula dalam tubuh badan,” terang Dr How.

Sakit Jantung, Strok Dan Pneumonia

Beberapa kajian turut mengaitkan bengkak yang kronik dari periodontitis dengan masalah kardiovaskular, arteri tersumbat dan strok. Dr How menerangkan bahawa plak gigi mungkin berkaitan dengan plak yang melekat pada lapisan dalam pembuluh darah iaitu arteri. Ini menyebabkan arteri mengeras dan menghadkan aliran darah.

Penghasilan arteriosklerosis ini diburukkan lagi dengan mendakan lemak dan kolesterol. Ini boleh berlaku di mana-mana arteri, terutama arteri jantung yang menyebabkan sakit jantung dan arteri otak yang menyebabkan strok. Dr How menerangkan bahawa penyelidik juga mendapati penjagaan oral yang kurang baik boleh meningkatkan risiko mendapat pneumonia jenis aspirasi.

Pneumonia jenis ini berlaku apabila seseorang tersedut bendasing seperti makanan atau cecair yang menyebabkan iritasi kepada paru-paru. Ini seterusnya menyebabkan jangkitan bernanah, keradangan dan sakit pneumonia. Bakteria di mulut ekoran kaviti dan penjagaan oral yang tidak sempurna juga boleh tersedut ke dalam paru-paru dan menyebabkan pneumonia jenis itu, kata Dr How.

Langkah Pencegahan Penting

“Walaupun penyakit gusi boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, kita harus sedar jika seseorang menghidapi kedua-dua masalah, ia tidak semestinya saling berkaitan. “Para penyelidik kini sedang mengkaji apa yang berlaku apabila periodontitis dirawat di kalangan penghidap pelbagai masalah kesihatan,” tambah Dr How.

Oleh kerana potensi kaitan antara periodontitis dan masalah kesihatan sistemik, pengamal kesihatan tetap menekankan pencegahan sebagai langkah pentingdalam penjagaan kesihatan yang menyeluruh. How menjelaskan bahawa gusi yang sihat berwarna pucat, tekstur pejal dan melekap baik pada gigi.

“Sebarang kelainan dari ciri-ciri itu menandakan proses patologi yang boleh sampai ke tulang dan seterusnya menyebabkan gigi longgar dan tercabut, sekiranya tidak dirawat,” kata Dr How ketika pelancaran media cecair kumur antiseptik ‘Listerine Total Care’.

Dalam satu forum kesihatan oral oleh doktor-doktor gigi Januari lepas yang bertajuk “Mulut Sihat, Badan Sihat,” para doktor gigi bersetuju mulut yang sihat adalah berdasarkan enam tanda utama. Tanda-tanda itu adalah ketiadaan plak, tiada tartar (karang gigi), gusi yang sihat dan tisu lembut, tiada kaviti, nafas tidak berbau dan gigi yang sihat secara semulajadi.

Plak Dan Tartar

Pencegahan penyakit periodontal seharusnya bermula dengan pembersihan plak dan tartar secara mekanikal, kata Dr How.
Penyakit gusi bermula dengan plak, yang sentiasa terbentuk pada gigi. Apabila pengumpulannya sampai ke tahap berlebihan, ia boleh mengeras menjadi bahan yang dinamakan tartar.

Tartar melekat kuat pada gigi dan menjadikan permukaan itu sesuai untuk pembentukan plak lagi, sekaligus memerangkap lagi banyak bakteria dan membahayakan kesihatan gusi. “Bakteria dalam plak dan tartar mengandungi toksin yang menyakitkan gusi dan adalah punca pelbagai penyakit periodontal,” kata Dr How. Tartar pula hanya dapat dibersihkan secara professional, tambahnya.

Gusi Sihat, Gigi Tanpa Kaviti

Gusi yang sihat biasanya berwarna merah jambu pucat. Perubahan warna pada gusi, terutama sekali jika semakin merah, bengkak dan mudah berdarah mungkin tanda keradangan disebabkan pengumpulan plak bakteria. “Jadi, anda harus berjumpa dengan doktor gigi secepat mungkin jika gusi berdarah ketika memberus atau mengflos, atau pun jika ia merah, bengkak atau
‘lari’ sedikit dari gigi,” nasihat Dr How.

Kaviti atau pereputan gigi merupakan penyakit di mana proses bakteria telah merosakkan struktur gigi dan menyebabkan lubang dalam gigi yang dipanggil karies. “Hari ini, karies adalah penyakit paling biasa di seluruh dunia yang jika tidak dirawat boleh menyebabkan kesakitan, kehilangan gigi, jangkitan dan dalam kes paling teruk, kematian,” kata Dr How. Katanya, memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berflorida dianggap cara paling berkesan dalam penggunaan florida untuk mengawal pembentukan karies.

Jaga Kesihatan Mulut Sendiri

Dalam kebanyakan kes, nafas berbau atau halitosis, berpunca daripada mulut sendiri. Tahapnya bergantung kepada jenis makanan yang dimakan, obesiti, tabiat merokok dan minum arak. “Lokasi paling biasa bagi halitosis dari mulut ialah lidah, di mana bakteria lidah adalah punca sehingga 90 peratus masalah nafas berbau,” katanya.

Dr How menasihati orang ramai agar menjaga kesihatan mulut masing-masing dengan memberus gigi dan berkumur dengan cecair antiseptik, mengflos dan membersihkan lidah selalu, di samping berjumpa dengan doktor gigi dua kali setahun. Kesemua ini ada berkesan dalam menghalang kemasukkan plak bakteria dan dalam membersihkan poket-poket periodontal yang biasanya tidak dapat dicapai.

- Kuala Lumpur, 7 April 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Sumber imej : Google Image

Fikirkan

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w. telah bersabda : ” Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk ” [Riwayat Ahmad]

Artikel Terkini

  • kehidupan1
  • hidayah1
  • Dawah-The-Cause-and-Results-1024x683
  • date-ramadan-debut-ramadan

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas