Lewat Rawat Buah Pinggang Bahayakan Nyawa

altAhli perniagaan Malek (bukan nama penuh) enggan mendapatkan rawatan perubatan apabila doktor, setelah membuat analisis terhadap ujian sampel darah beliau, memberitahunya bahawa beliau mengalami kegagalan buah pinggang kerana hipertensi (tekanan darah tinggi).

Malek tidak mempercayai apa yang diberitahu doktor kerana tiada tanda dan gejala yang menyatakan beliau sakit. Beliau sebaliknya lebih suka mengambil herba dengan harapan kesihatannya terjamin. Menurut pakar-pakar nefrologi (pakar penyakit buah pinggang yang juga dikenali sebagai ginjal), kegagalan ginjal pada mulanya mungkin asimptomatik (tiada tanda dan gejala).

Tetapi bila fungsi buah pinggang menurun, simptom mula kelihatan kerana ginjal tidak berupaya  mengawal imbangan air dan elektrolit selain daripada membersih bahan buangan serta gagal menggalakkan pengeluaran sel darah merah. Enam bulan kemudian, Malek mengalami tanda-tanda kegagalan buah pinggang. Badannya mula ‘membengkak’. Begitu juga kedua-dua belah kakinya.

Malek juga kerap demam kerana beliau mudah mendapat jangkitan kuman. Beliau juga kerap merasa penat, lemah badan serta sesak nafas. Menurut pakar nefrogi, dalam situasi kegagalan buah pinggang: “Badan rasa keletihan, lemah dan juga sesak nafas selain bengkak yang menyeluruh. Kalau tidak dirawat, boleh membahayakan nyawa”.

BENGKAK BADAN MENYELURUH

Pakar buah pinggang di sebuah pusat perubatan awam di sini menjelaskan bahawa bengkak seluruh badan berpunca daripada anemia, iaitu penurunan kandungan sel darah merah di dalam badan kerana terjadinya kandungan ‘erythropoietin’ yang rendah dikeluarkan ginjal yang semakin lemah dan gagal.

Ini menyebabkan kegagalan memberi stimulasi kepada sumsum tulang untuk mengeluarkan sel darah merah. “Penurunan jumlah sel darah merah menyebabkan keupayaan membawa oksigen dalam darah berkurangan dengan signifikan, hasilnya ialah penurunan kandungan oksigen yang dibawa kepada sel-sel dalam badan dan ini menyebabkan sel kurang berfungsi dan akhirnya badan menjadi semakin lemah

“Dan, dengan bekalan oksigen yang semakin menurun, sel-sel akan lebih menggunakan metabolisme secara anerobik (tanpa oksigen) yang menyebabkan pengeluaran asid bertambah di dalam badan dan tidak boleh diimbangi oleh buah pinggang yang gagal”, kata pakar itu.

Katanya kandungan bahan buangan yang semakin meningkat dalam darah boleh menyebabkan kurang selera serta keletihan menjadi begitu ketara. “Lama-kelamaan ini akan menyebabkan penurunan fungsi otak dan pesakit boleh koma”. Bila ginjal gagal untuk memproses kenaikan kandungan asid di dalam badan, kadar pernafasan menjadi semakin cepat kerana paru-paru cuba mengimbangi kandungan asid yang tinggi dengan mengeluarkan karbon dioksida.

“Nafas mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang boleh juga berbau kerana kandungan asid yang tinggi di dalam badan. “Juga tekanan darah boleh meningkat kerana terdapat lebihan cecair dan cecair ini boleh memasuki paru-paru, menyebabkan penyakit jantung kongestif”, tambah beliau.

Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada mempercayai ubat-ubatan tradisional, Malek yang berumur 50 tahun yakin ubat tradisional seperti herba dapat menyembuhkan beliau daripada penyakit kegagalan buah pinggang kronik. Bagaimanapun keadaannya semakin serius dan mengalami satu situasi yang dipanggil ‘lebih kandungan air’ yang disebabkan kegagalan ginjal. Badannya serta kaki juga semakin bengkak.

Tetapi malangnya Malek masih enggan mendapatkan rawatan iaitu sama ada hemodialisis atau dialisis peritoneal. Beliau akhirnya meninggal dunia disebabkan lemah jantung.

UJIAN DARAH

Pakar nefrologi itu menambah lagi diagnosa kegagalan ginjal boleh dipastikan dengan ujian darah di mana terdapat peningkatan bahan buangan di dalam darah. Ujian air kencing juga boleh dijalankan untuk mengetahui kandungan protein
serta sel-sel yang luar biasa selain daripada konsentrasi elektrolit.

“Adanya protein dalam air kencing bukanlah perkara yang normal dan menunjukkan ginjal sedang mengalami kerosakan. Dalam penyakit buah pinggang, juga kehadiran sel-sel darah merah dan darah putih dalam air kencing meggambarkan sesuatu yang bukan normal”.Katanya dengan membandingkan konsentrasi elektrolit dalam darah dan air kencing membantu bagi mengenal pasti sama ada ginjal boleh mengimbangi cecair badan dan menuras (menapis) darah.

UJIAN LAIN

Antara ujian lain yang boleh memberi diagnosa tentang gagal buah pinggang ialah ultrasound abdomen yang boleh memberi gambaran tentang saiz buah pinggang serta mana-mana saluran yang ‘tersumbat’. Biopsi buah pinggang juga boleh dijalankan. Pencegahan adalah sentiasa merupakan objektif tentang penyakit kronik ini.

Penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan diabetis cukup membahayakan disebabkan kerosakan yang penyakit-penyakit ini boleh lakukan terhadap ginjal serta organ yang lain. Oleh itu perhatian sepanjang hayat mestilah diberikan untuk mengawal tekanan darah serta kandungan gula darah. Rawatan yang tertentu juga diperlukan bagi penyakit-penyakit ini.

Menurut pakar nefrologi itu lagi, bila terjadinya kegagalan buah pinggang, tujuan rawatan ialaha mencegah kerosakan lebih lanjut berlaku terhadap fungsi renal (buah pinggang). Kalau dibiarkan, buah pinggang akan menuju ke arah kerosakan seratus peratus (seperti yang dialami oleh Malek).

Tetapi jika penyakit yang menyebabkan ginjal rosak dapat dirawat secara agresif, kemungkinan fungsi ginjal dapat dikekalkan walaupun tidak sepenuhnya. “Harus diingat bahawa sel-sel serta tisu ginjal tidak punya daya regeneratif (tumbuh semula) dan jika ada kerosakan berlaku ianya bersifat kekal”. Tema Hari Buah Pinggang SeDunia 2011 ialah “Lindungi Buah Pinggang Anda,
Selamatkan Jantung”

- Rencana ini sempena Hari Buah Pinggang Sedunia pada 10 Mac

- Kuala Lumpur, 8 Mac 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Fikirkan.

Tubuh badan kita adalah nikmat dan pinjaman dari Allah s.w.t . Jagalah amanah ini dan gunakanlah ia sebaiknya!

Artikel Terkini

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas