Kedah Cadang Beri Tanah Kepada Penduduk Miskin

altKerajaan negeri Kedah akan menimbang pemberian tanah kepada penduduk miskin yang telah lama menetap di tanah kerajaan untuk
memberi keselesaan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Kerja Raya, Bekalan Air dan Tenaga Negeri Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata ketika ini, dua permohonan secara kelompok membabitkan tanah hutan diterima daripada Pejabat Tanah Daerah Langkawi untuk pertimbangan.

“Kita akan pertimbang permohonan kelompok yang lama kerana kerajaan simpati kepada penduduk miskin yang tiada tanah,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 mangsa kebakaran di Kampung Kelibang di Pejabat Daerah Langkawi hari ini.

Kerajaan negeri menyumbang RM1,000 kepada setiap mangsa kebakaran 9 Sept lepas, yang memusnahkan 18 rumah kedai. Phahrolrazi berkata pejabat tanah akan memproses permohonan penduduk miskin secara kelompok.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Langkawi.

Mengenai pencerobohan tanah di pulau lagenda itu, Phahrolrazi mengingatkan orang ramai supaya tidak berbuat demikian kerana kerajaan negeri berusaha mengekalkan kehijauan selaras kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan kawasan tadahan air.

“Jika kegiatan pencerobohan berlaku, ia akan menjejaskan keindahan Langkawi dan merugikan penduduk,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Hutan sedang memantau dan mengenal pasti kegiatan pencerobohan di kawasan hutan.

Bagi tanah kerajaan, Phahrolrazi meminta Pejabat Tanah meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan ia tidak diceroboh.

“Walaupun kegiatan pencerobohan tidak serius, tapi memerlukan pengawasan dan pengawalan serta penguatkuasaan daripada pelbagai agensi yang terbabit,” katanya.

- Langkawi, 20 Februari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Penulis

Artikel Terkini

  • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27
  • tumblr_mejytetkE71qil46jo1_1280
  • alt
  • alt

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas