, ,

Wasiat As-Syahid Hassan Al-Banna Yang Ramai Orang Tak Tahu

“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa yang ditaburkan.”

Begitulah satu nama yang begitu gah di sisi Islam sehingga kini iaitu Iman Hassan Al-Banna. Walaupun beliau telah pergi bertemu Pencipta, tetapi segala jasa dan pengorbanan beliau sudah cukup membuktikan bahawa kini beliau sedang berbahagia di sisi Allah.

Kesungguhannya dalam membawa dakwah Islam begitu menjadi inspirasi dan tauladan kepada kita. Ketika usianya 23 tahun, beliau telah menubuhkan Jemaah Ikhwan Muslim. Akhirnya, beliau syahid kerana memperjuangkan agama Islam yang suci.

Semoga kita dapat bertemu Iman Hassan Al-Banna dan bersama mencicip kopi di syurga, inshaAllah.

Sebelum beliau syahid, beliau telah meninggalkan wasiat kepada kita, umat akhir zaman, sebagai panduan untuk menempuh perjalanan hidup di dunia. Berikut adalah senarai wasiat beliau.

(1) Jika terdengar azan, maka segeralah bangun untuk menunaikan solat berjemaah walaubagaimana sekalipun keadaan seseorang itu.

Azan adalah tanda Allah memanggil kita dengan penuh rasa cinta. Apa pula tindakan kita? Masih di hadapan televisyen menonton rancangan atau drama kegemaran?

Akhirnya solat kita menjadi lewat di akhir waktu. Mungkin tiada rasa cinta kita buat sang Pencipta.

(2) Perbanyakkan bacaan al-Quran, selalu membuka kitab-kitab untuk menambah ilmu, pergi ke majlis-majlis ilmu, perbanyakkan zikrullah dan jangan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah.

Allahu, antara pesanan beliau yang mana kesemua manfaatnya untuk diri kita sendiri. Al-Quran kalam Allah disuruh baca adalah kerana al-Quran sebagai panduan atau manual untuk kita menjalani kehidupan.

Bukan itu sahaja, malahan al-Quran sebagai peringatan, pesanan, pengajaran dan penawar untuk kita sebagai manusia.

Zikir pula adalah supaya hati kita sentiasa ingat akan Allah, kerana hanya dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang.

Jangan sesekali melakukan perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermanfaat untuk hari akhirat kita, kelak kesannya hidup kita di dunia tidak bererti, akhirat pula pastilah rugi.

(3) Berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab yang Fushah kerana Bahasa Arab yang betul (Fushah) adalah lambang (syiar) Islam.

Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran, carilah inisiatif atau usaha untuk mempelajari bahasa Arab supaya kita mudah faham lenggok bahasa yang cuba dituturkan Allah di dalam kalamNya.

(4) Janganlah bertengkar walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Pertengkaran adakalanya tidak menyelesaikan apa-apa perkara. Bertuturlah dan berbicanglah dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Pertengkaran itu disebaliknya adalah api dan syaitan, maka bersegeralah ambil wudhuk untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi.

(5) Janganlah terlalu banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa sahaja akan tenteram dan tenang.

Ketawa yang banyak boleh menyebabkan hati keras dan mati, seperti pesanan Nabi SAW: “Janganlah engkau memperbanyak ketawa, kerana sesungguhnya banyak tertawa akan mematikan hati.”

Yang dimaksudkan dengan mematikan hati adalah lalai untuk mengingati Allah dan lalai daripada kehidupan akhirat. Apabila hati manusia lalai dalam mengingati Allah, maka sesungguhnya kematian lebih dekat kepadanya daripada kehidupan.

(6) Janganlah terlalu banyak bergurau kerana orang Islam yang sedang berjuang itu tidak mengerti erti bergurau melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

Bergurau itu tidak salah tetapi ada batasnya, jangan sampai bergurau dengan perkara-perkara yang sensitif terutamanya berkaitan agama.

(7) Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

Bercakaplah dengan penuh sopan dan lembut. Boleh jadi suara kita yang tinggi nadanya menyakitkan hati yang mendengar.

Mungkin mereka merasakan kurang adabnya kita bercakap tinggi seolah-olah sedang marah. Jadi, bersederhanalah.

(8) Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.

Seperti sabda nabi SAW: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.”

Janganlah merasakan diri kita atau pertubuhan kitalah yang paling terbaik, suci daripada kesalahan dan dosa. Cukuplah kita memperbaiki kelemahan dan menghormati pertubuhan yang lain.

(9) Berkenal-kenalanlah dengan setiap muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

Pentingnya kita dalam berukhuwah dengan setiap muslim, dan tunjuklah contoh terbaik untuk mengekalkan momentum dakwah kita kepada semua. Agar lebih ramai lagi yang sudi bergerak bersama kita dalam gerabak dakwah dan menyebarkan Islam kepada semua.

(10) Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah pelaksanaannya.

Pernah diceritakan sewaktu zaman sahabat nabi dahulu, usai mereka melakukan perjumpaan, mereka akan mengakhirinya dengan surah al-Asr.

Membacanya dengan kuat, untuk menyatakan betapa pentingnya nilai sesuatu masa. Dan Allah bersumpah di dalam surah  al-Asr, demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan kepada kebaikan dengan penuh kesabaran.

Adakah kita termasuk di dalam mereka yang menghargai masa dengan sebaiknya? Mungkin kita masih jauh.

******

Begitulah antara wasiat yang dipesan oleh sang penghuni syurga As-syahid Hassan Al-Banna.

Segalanya yang dipesan adalah untuk membentuk akhlak kita sebagai seorang muslim, malah ianya juga sebagai bekalan akhirat kita.

Segala yang beliau lakukan adalah untuk Islam semata dan demi Allah. Beliau kini sedang bergembira di syurga Allah.

Ayuh kita merenung kembali, sejauh mana kita bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakwah dan kebaikan? Ataupun buat dakwah sikit, tetapi putus asanya yang lebih?

Kita claim nak masuk syurga, tetapi tiada apa pun sumbangan kita untuk menangkan Islam.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita semangat juang sehebat Hassan Al-Banna, meneruskan dakwah Islam sehingga kita pulang bertemu Pencipta kelak.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.