Mahu Banyak, Beri Banyaklah!

altMungkin kita biasa dengar circle of influence (lingkungan berpengaruh), iaitu sekumpulan orang yang senang dipengaruhi. Setiap kita ada circle of influence ini, yang hakikatnya kita boleh pengaruhi mereka, termasuklah adik-beradik, atau teman-teman rapat. Mempengaruhi di sini membawa maksud mengajak mereka (atau, lingkungan ini) untuk berbuat yang baik dan mencegah yang mungkar. Tetapi cerita saya hari ini bukar berkisar berkenaan lingkungan ini, sebaliknya berkaitan dengan circle of joy, atau lingkungan kebahagiaan/kegembiraan.

Rambutan Yang Sedap!

Suatu hari, seorang petani bercadang menghadiahi setangkai rambutan terbaik dari kebunnya, kepada seorang pengembala kambing bersebelahan kebunnya.

“Rambutan ini adalah rambutan terbaik dari kebun hamba. Ambillah.”

“Alhamdulillah, terima kasih tuan hamba. Hamba akan sampaikan rambutan ini kepada Tuan Jalak,” tungkas si pengembala.

“Tidak. Rambutan ini hadiah hamba untuk tuan hamba, bukan kepada Tuan Jalak.”

“Untuk hamba?”

“Ya. Kerana setiap kali hamba memerlukan bantuan mengangkut air ketika musim kemarau, tuan hamba selalu membantu hamba. Kadang-kadang tuan hamba memberi hamba minum. Pemberian ini adalah tanda syukur hamba kepada Allah dengan anugerah tanah yang subur dan ditumbuhkan buahan yang cukup cantik ini, dan semoga tuan hamba sentiasa dipayungi rahmat, insyaAllah.”

Saling Menghargai

Si pengembala sangat kagum akan buah rambutan itu, kelihatannya begitu segar dan sedap! Si pengembala ini teringat akan tuannya, iaitu Tuan Jalak, yang selalu memberi peringatan kepadanya agar berbuat baik kepada sesiapa sahaja. Lalu, si pengembala ini membuat keputusan untuk memberikan rambutan tadi kepada tuannya.

Tuan Jalak sangat berbesar hati menerima pemberian pekerjanya. Kebetulan pada masa itu, isterinya Tuan Jalak sedang demam. Maka Tuan Jalak memberi rambutan tadi kepada isterinya.

“Semoga rambutan ini memberi kegembiraan kepada Dinda,” kata Tuan Jalak kepada isterinya.

Begitupun, si isteri ini terfikir untuk memberi rambutan ini kepada pembantu rumahnya yang menjaganya dengan begitu baik sekali sepanjang dia sakit. Pembantu ini merasakan dia tidak layak menerima pemberian itu, lalu diberikan pula kepada tukang masak, yang selama ini memasak makanan yang enak-enak untuk Tuan Jalak sekeluarga, tetapi jarang sekali dia merasa makanannya sendiri.

Si tukang masak amat gembira dengan pemberian itu. Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia bertemu dengan jirannya, lalu memberikannya kepada jirannya itu. Fikirnya, tentu jirannya amat menyukai rambutan ini.  Walau bagaimanapun, tukang masak ini terkejut, apabila jirannya menangis terharu menerima rambutan tadi.

What you give, you get back!

Rupanya, jiran tukang masak ini ialah si petani di awal cerita tadi. Masakan tidak terharu, apabila dia menerima kembali pemberiannya pagi tadi, tanpa sedikit pun dimakan. Malah masih kekal cantik dan segar. Lantas, si petani ini kembali kepada pegembala tadi.

“Tuan hamba ambil dan makanlah. Memandangkan tuan hamba berseorangan di sini, mudah-mudahan rambutan ini akan menggembirakan tuan hamba.” Si pengembala tadi tersenyum bahagia menerima rambutan itu.

Circle of Joy

Begitulah hidup kita sehari-harian. Kenal pasti siapa circle of joy kita, dan pastikan kita menghargai mereka. Menghargai tidak semestinya dengan memberi seperti dalam cerita yang saya bawakan ini, malah berterima kasih juga sebenarnya mampu membuat mereka tersenyum. Mudah bukan?

Mudah-mudahan apa yang saya sampaikan ini baik untuk saya, dan untuk sahabat-sahabat semua. Yang baik itu sesungguhnya hanya dari Allah SWT., maka wajarlah kita panjatkan segala kesyukuran dan penghargaan kita kepada-Nya. Janganlah kita menjadi seperti Si Sopak dan Si Botak yang tidak tahu bersyukur, akhirnya ditarik balik nikmat dan kembali kepada asal.

Akhirnya, marilah kita renungi sepotong ayat dari Surah ar-Rahman, maksudnya, ”Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?”

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Wan Mohd Firdaus merupakan salah seorang krew iluvislam.com (ketua event team Malaysia). Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Genetik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau menulis di artofthoughts.wordpress.com.

Penulis

Artikel Terkini

  • Sepi
  • Screen Shot 2014-04-18 at 12.06.56 PM
  • Screen Shot 2014-04-17 at 1.51.48 PM
  • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas