,

Abdul Rahman Bin Auf Mengetuai Misi Dakwah Dan Perang Ke Dumatul Jandal

Dumatul Jandal adalah suatu kawasan di tengah-tengah padang pasir Arab, di antara Romawi di tanah Syam dan Arab di jazirah Arab. Kawasan ini begitu jauh sehingga jaraknya tiga kali ganda jarak Damaskus dan Madinah.

Kawasan itu ditempati kabilah besar Kalb yang beragama Nasrani kerana berada berdekatan Romawi dan terpengaruh dengan agama mereka.

Rasulullah mengutuskan Abdul Rahman bin Auf untuk memimpin pasukan Muslimin seramai 700 orang. Ada dua misi yang perlu mereka lakukan, iaitu misi dakwah dan misi perang.

Pada waktu Subuh, para sahabat yang lain sudah bergerak awal pagi dan berada di Juraf, sementara Abdul Rahman lambat bergerak dan dia memilih untuk bergerak selepas solat Subuh berjemaah bersama Baginda.

Ketika berada di hadapan Rasulullah, Baginda membuka ikatan serban Abdul Rahman dan mengenakan serban hitam kepadanya dan membiarkan kain serban itu terhurai sehingga batas bahu.

Rasulullah memberi pesanan: “Berperanglah dengan nama Allah dan di jalan Allah, perangilah orang yang kafir kepada Allah, jangan menyembunyikan (harta rampasan perang) dan jangan berkhianat, jangan membunuh anak kecil.”

Abdul Rahman bertolak dan bergabung dengan pasukan Muslimin yang akhirnya mereka semua tiba di Dumatul Jandal.

Mereka berada di sana selama tiga hari. Pada kali pertama tiba, kabilah di sana memilih untuk berperang dan tidak mahu menerima dakwah Islam. Namun, pada hari ketiga, Al-Asbagh bin Amr Al-Kalbi iaitu pemimpin mereka telah memeluk agama Islam.

Abdul Rahman juga bernikah dengan puteri kepada Al-Asbagh yang bernama Tumadhir, dan mengutuskan seseorang dari Juhainah untuk mengirim surat kepada Rasulullah di Madinah bagi menyatakan keinginannya. Setelah itu, Abdul Rahman membawa isterinya pulang bersama di Madinah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)