Bunuh Diri

altTajuk di berita Metro; Remaja mati gantung diri pada kipas siling. Lagi kisah bunuh diri di daerah kelahiran saya, seorang isteri membunuh diri dengan meminum pencuci tandas kerana kecewa dengan sikap suami. Seorang jiran kawan saya baru-baru ini juga cuba membunuh diri dengan meminum Clorox.

Masya Allah…. ketiga-tiga kes di atas melibatkan orang-orang Melayu beragama Islam.

Semasa saya bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur juga, memang tiap-tiap hari akan ada kes cubaan membunuh diri. Kebanyakannya terdiri daripada pesakit perempuan dan paling memeranjatkan bukan sahaja melibatkan orang bukan Islam tetapi juga orang Islam.

Antara punca mereka cuba membunuh diri adalah bergaduh dengan suami dan kadang-kadang sebab gagal peperiksaan. Yang gagal peperiksaan ini semua dari universiti, maknanya budak-budak cerdik tetapi sayangnya kurang Iman.

Jika dahulu sejak kecil lagi kita ditanamkan mengenai pengetahuan agama iaitu “Siapa yang mati bunuh diri tidak akan bau syurga”. Jadi, apakah pengetahuan ini tidak lagi ditanam dan dipupuk kepada generasi sekarang? Wallahualam.

Menurut kajian, kadar pesakit yang cuba membunuh diri adalah lebih tinggi di kalangan wanita tetapi kebanyakkan mereka ini hanya macam acah-acah saja mahu bunuh diri sebab mahu mendapat kembali perhatian orang yang tersayang, contohnya bila berlaku pertengkaran suami isteri. Kalau mengikut Islam memang sah perbuatan ini berdosa dan jika acah-acah ini menjadi betul-betul terbunuh, hanya Allah yang menentukan tempatnya di sana.

Natijah jika mengambil ubat paracetamol atau panadol secara berlebihan

Seorang pesakit mungkin tidak terfikir akan keburukan jika paracetamol diambil berlebihan. Ubat paracetamol merupakan ubat yang biasa diambil untuk cubaan membunuh diri kerana ianya mudah didapati di kedai-kedai dan harganya yang murah dan biasanya pesakit tidak akan mati.

Jika pesakit  mengambil paracetamol ini dan dibawa ke hospital sebelum habis tempoh 4 jam selepas memakannya, pihak hospital akan melakukan prosedur  yang dipanggil “gastric lavage” atau pembersihan perut. Mari saya cerita macam mana “gastric lavage” dilakukan.

Satu salur getah lebih kurang sebesar salur paip getah seperti yang ada di rumah kita itu akan dimasukkan melalui mulut pesakit dalam keadaan pesakit sedar, melalui paip itu akan dimasukkan air bagi membersihkan perut kita. Memang perit dan seksa.

Lagi satu cara pesakit akan dipaksa memakan serbuk ‘charcoal‘ atau serbuk arang bagi membersihkan perut. Seksa juga..

Namun jika tempoh sudah melebihi 4 jam, natijahnya lagi teruk. Kemungkinan kerosakan hati akan berlaku. Jalan penyelesaian hanyalah melakukan pemindahan hati. Kalau tiada hati untuk dipindahkan maka menunggulah masa untuk mati, ia membunuh secara perlahan.

Jadi fikir-fikirkanlah..

Jangan melakukan sesuatu mengikut hati, seperti kata orang-orang tua, ikut hati kita mati…

Kenapa hati resah?

Menurut Islam, jika hati kita resah, gelisah tanpa diketahui punca, itu maknanya kita banyak dosa. Oleh itu, bagi mendapatkan semula kedamaian beristigfarlah kepada Allah, sempurnakan sembahyang kita, lakukan suruhan dan meninggalkan larangan. Ketahuilah dengan sembahyang itu hati akan menjadi tenang.

Sumber imej : Google Image

Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Dr Che Engku Nor Bahiyah Binti Che Engku Muda Seorang doktor dan kini sedang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.www.klinik-ibuaiman.blogspot.com.

Penulis

Artikel Terkini

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas