Versi: Bahasa Melayu

Khamis, 23 Febuari 2012

 685 Pembaca Online

Halaman: Nasihat Dilema Program dan Filem Berbentuk Islamik

Dilema Program dan Filem Berbentuk Islamik

alt

 

Akhir-akhir ini, industri hiburan asia tenggara mula dibanjiri dengan filem dan drama yang dikatakan mempunyai ciri Islamik. Bermula pada tahun 2008 di Indonesia, filem Ayat ayat Cinta yang diadaptasi daripada novel Ayat ayat cinta karya Habiburrahman el- Shirazy telah ditayangkan.

Sejak filem Ayat ayat Cinta diterbitkan, filem-filem dan drama berciri Islamik mula mendapat sambutan ramai. Penerbit drama dan filem negara kita turut tidak ketinggalan menerbitkan drama berunsur islamik yang bertajuk Nur Kasih iaitu sebuah drama bersiri yang telah ditayangkan di TV3 pada tahun 2009. Drama ini telah mencapai 'ranking' yang tinggi iaitu seramai 3.9 juta penonton setiap minggu. Jumlah penonton yang sangat tinggi ini telah menyebabkan lebih ramai penerbit filem dan drama berlumba-lumba menghasilkan karya bergenre islamik selepas itu.

Ciri-ciri islamik ini bukan sahaja terdapat di dalam filem dan drama tetapi juga telah diterapkan di dalam radio, novel dan sebagainya. Senario ini telah membuktikan bahawa sambutan masyarakat kita terhadap karya-karya seni yang bersifat islamik ini adalah di tahap yang memberangsangkan. Namun, karya yang di anggap islamik ini kadangkala tidak begitu menepati piawaian dan kehendak syariah. Tambahan pula, semakin ramai penerbit drama dan program-program ini menerbitkan program-program bersifat islamik ioni semata-mata untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

Terdapat pelbagai intipati program yang tidak mengikut syarak yang kerapkali ditonjolkan di dalam filem/drama yang bersifat islamik: 

1. Pendakwah yang tidak menepati akhlak seorang Dai'e.

Pendakwah yang biasanya digambarkan didalam filem dan drama adalah watak seorang Ustaz. Seperti yang sedia maklum, seseorang yang bergelar Ustaz akan sentiasa dihormati dan disegani masyarakat. Gelaran Ustaz diberikan kepada mereka yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam ilmu agama. Oleh itu segala tindak tanduk dan tutur kata ustaz akan menjadi ikutan dan panduan oleh masyarakat. Ini adalah kerana mereka (Ustaz) dipercayai telah mendapat pendidikan agama yang tinggi. Namun demikian kelihatannya seolah-olah ada usaha terancang untuk mencalar situasi kedudukan Ustaz dalam masyarakat melalui Filem dan Drama. Sebagai contoh di dalam sebuah drama tempatan,terdapat watak seorang ustaz muda yang baru balik daripada Jordan. Pada awalnya kisah ini menggambarkan watak ustaz ini sebagai seorang watak ustaz muda yang alim dan maju dari segi meloaksanakan dakwah iaitu melalui medium teknologi maklumat seperti Facebook dan Blog. Namun yang menjadi cacatnya tidak pernah sekalipun dia menegur orang kampung dan jemaah masjid yang melakukan kesalahan dengan penuh hikmah. Ustaz ini menegur orang kampung dengan cara yang sangat biadap. Sebagai contoh Ustaz ini terus mencelah dan menegur jemaah masjid dengan kasar apabila dia berasa tidak berpuas hati terhadap tindakan orang kampung. Akhirnya, Ustaz ini dipulaukan oleh orang kampung kerana dianggap gila kuasa kerana sikapnya yang biadap itu.

2. Cara dakwah yang tidak memenuhi tuntutan syarak.

Di dalam sebuah drama tempatan yang lain, terdapat watak seorang watak Ustaz yang hanyut dalam nostalgia dengan kekasih lamanya. Majoriti dalam drama ini digambarkan Ustaz ini berhadapan dengan dilema yang sangat hebat. Meskipun pada awal drama ini mengambarkan Ustaz muda ini yang baru balik daripada Mesir dan kononnya akan melakukan perubahan dalam kampungnya. Namun perubahan dan kebaikan yang ditonjolkan itu sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan dilema percintaan yang dihadapinya.  Ada antara pembikin drama ini  mahu menggambarkan ciri-ciri percintaan yang kononnya dibenarkan oleh syarak. Jelas fahaman ini adalah terpesong dan sangat merbahaya kepada masyarakat. Yang lebih menjengkekan lagi apabila ada drama lain yang memperlihatkan seorang ustaz melakukan janji temu untuk bertemu dengan seorang doktor perempuan ditepi sungai di dalam hutan untuk membincangkan soal agama. Malah Ustaz dan doktor perempuan ini jelas kelihatan berpelukan dan berpegangan tangan. Kemudiannya mereka berjanji bersama-sama untuk berkahwin. Tidakkah ini akan mengelirukan masyarakat? Mereka pasti akan beranggapan bahawa berduaan begini dibenarkan dalam islam?

4. Watak didalam drama tidak seperti perwatakan sebenar artis di dunia sebenar.

Mesej dakwah adalah mesej yang sangat suci dan besar. Hamka pernah berkata bahawa dakwah yang disampaikan melalui lidah hanya akan sampai ditelinga sasaran dakwah sahaja sedangkan dakwah yang datang daripada hati akan sampai ke hati sasaran dakwah. Kata-kata ini mengambarkan bahawa watak dakwah bukanlah calang-calang orang yang patut membawanya. Apabila kita menonton cerita-cerita begini di kaca televisyen atau panggung wayang, pernahkan anda terdengar dialog seperti ini samada daripada ahli keluarga,rakan-rakan atau kita sendiri. "Artis ini diluar (dunia sebenar) begitu seksi sekali,tetapi di dalam filem bertudung litup pula." Dialog sinikal seperti ini pastinya kita sudah biasa dengar. Akhirnya objektif dakwah itu tidak akan sampai kepada para penonton. Sepatutnya para artis ini menjadi lebih baik kerana mereka sepatutnya menjiwai watak yang mereka lakonkan dan cuba untuk berubah kearah kebaikan dalam kehidupan seharian mereka.

5. Komedi yang tidak sensitif kepada masyarakat Islam.

Filem atau drama berciri Islamik kini juga telah mula diterbitkan dalam corak komedi. Tidak dinafikan, cara dakwah perlu dipelbagaikan untuk menarik perhatian para sasaran dakwah. Namun ia bukanlah isyarat yang membolehkan matlamat menghalalkan cara. Terdapat beberapa filem dan drama yang diterbitkan jelas tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam. Sebagai contoh terdapat drama yang cuba memaparkan sekumpulan AJK Masjid yang kuat makan. Sehingga masjid berkenaan terkenal dengan kesedapan dan kemewahan makanan selepas pengajian. Malah dipaparkan juga Ustaz Jemputan yang datang ke masjid itu hanya kerana untuk makan. Terdapat dialog yang menunjukkan ustaz itu sanggup memberhentikan kuliah semata-mata kerana hidangan makanan telah tersedia. Dalam watak komedi ini juga memaparkan bagaimana para ustaz dan Ajk Masjid ini percaya kepada perkara Khurafat seperti Hantu Jepun yang menyebabkan kematian setiap Setiausaha Masjid yang sebernarnya meninggal kerana serangan jantung akibat kandungan kolestrol yang tinggi. Persoalannya, adakah watak ini sengaja diwujudkan bagi melambangkan kebodohan ustaz dan AJK masjid? Tidak dinafikan, drama atau filem bergenre komedi juga boleh membuka mata penonton untuk menerima ajaran islam. Namun jika tersalah langkah, ia  hanya akan menyebabkan para alim ulama dan ustaz kita akan dipandang lekeh dan hina dimata masyarakat. Jika perkara ini berterusan, rasa hormat masayarakat terhadap para alim ulama kita tidak mustahil akan turut terhakis suatu hari nanti.

6. Memperlihatkan kemenangan iblis.

Baru-baru ini terdapat sebuah drama yang benar-benar menyesatkan. Drama ini memaparkan ustaz-ustaz yang bertarung dengan Iblis telah terkalah. Dalam drama ini Iblis dilihat seolah-olah sangat berkuasa. Perkara ini turut dikritik oleh beberapa blogger hiburan. Sudah tentu perkara seperti ini hanya akan menyesatkan akidah umat islam yang menontonnya. Dalam watak drama bergenre seram ini, para Ustaz digambarkan sebagai watak penghalau Hantu dan Iblis. Perwatakan yang begitu sempit dan terhad ini hanya akan mengakibatkan penonton hanya menganggap bahawa peranan ustaz tidak lebih daripada menjadi pengahalau jin dan syaitan. Malah, watak yang memegang peranan Ustaz dalam filem atau drama ini bukanlah mereka yang selayaknya memegang watak ini.

7. Zikir kalimah tauhid sebagai simbol ajaran sesat.

Ajaran sesat sememangnya telah lama menjadi kudis dalam masyarakat kita. Antara punca masyarakat kita terdedah dengan ajaran-ajaran sesat ini adalah kerana kejahilan masyarakat dalam mencari kebenaran dalam beragama. Malangnya acapkali drama dan filem mengenai ajaran sesat ini disimbolkan dengan zikir kalimah tauhid sebagai lambang ajaran sesat. Mereka yang berzikir kalimah tauhid beramai-ramai ini digambarkan sebagai pengikut ajaran sesat. Ini pasti akan menyebabkan persepsi masyarakat kepada kumpulan zikir berubah dan menggap mereka yang berzikir ini sebagai pengikut ajaran sesat. Akibatnya filem atau drama yang yang cuba memaparkan bahayanya ajaran sesat hanya lebih menyebarkan ajaran yang salah mengenai Islam.

8.  Konsep perhubungan sosial  terbuka lelaki dan perempuan bukan muhrim dipopularkan.

Terdapat banyak juga adegan filem dan drama berciri islami ini memaparkan pergaulan yang sangat bebas antara pendakwah lelaki atau perempuan dan dengan sasaran dakwah berlawanan jantina. Terdapatnya adegan peguam syariah makan berdua dengan pelanggan perempuan. Ustaz berjanji temu dengan doktor perempuan di tepi sungai. Terdapat juga adegan dalam drama yang  menunjukkan orang-orang surau bermain mata antara lelaki dan perempuan di sebalik tabir pemisah dalam surau, membasuh pinggang mangkuk bersama-sama antara lelaki dan perempuan. Ada juga ustaz yang balik dari masjid selepas solat Isyak tetapi menemankan seorang gadis yang sahih bukan mahramnya balik ke rumah. Perlukah adegan-adegan seperti ini diselitkan?. Atau adakah agenda yang cuba membenarkan perlakuan sebegini didalam Islam.

9.  Program Televisyen Yang Tidak menepati Syarak

Memang benar terdapat beberapa usaha membawa hiburan berciri Islamik ke arus hiburan perdana. Namun terdapat kejanggalan apabila para pengacara rancangan televeisyen ini tidak memelihara soal tabaruj (Perhiasan). Sebagai contoh kebanyakkan pengacara wanita memang memakai tudung tetapi bersanggul tinggi seperti bonggol unta. Adakah perhiasan sebegini dibenarkan syarak. Malahan para imam muda disolekkan sehingga nampak begitu berkilat bibir-bibir meraka.

Akibat Salah Tafsir Karya Islamik

Terdapat dua kesan utama yang akan didapati apabila filem dan drama bercorak islamik ini dibuat sesuka hati oleh para pembikin filem dan drama.

1. Akan mengakibatkan salah faham mengenai ajaran Islam yang sebenar terutamanya dari aspek Tauhid, Fekah dan Tasauf. Ketiga-tiga elemen ini adalah asas yang paling asas dalam ajaran Islam. Apabila berlakunya salah faham di dalam filem dan drama, ajaran Islam yang sebenar tidak akan difahami oleh masyarakat kerana pengaruh media yang amat besar.

2. Akan lebih membawa kerosakan kepada masyarakat. Terdapat banyak filem atau drama yang memaparkan 'scene-scene' maksiat atau dosa dengan harapan konon-kononnya masyarakat akan menjauhi perbuatan seperti itu. Malangnya 'scene-scene' di dalam filem dan drama inilah yang banyak memberi ilham kepada masyarakat akan cara-cara untuk melakukan perbuatan yang buruk. Kesan ini sangat besar kepada masyarakat samada untuk jangkamasa pendek ataupun panjang. Maka perbuatan salah tafsir ini adalah sangat penting untuk dibendung oleh penggiat- penggiat seni.

Penulis buku, Ainon Mohd dalam buku beliau yang bertajuk "Panduan Menulis Novel :Teknik Surah Yusuf" menggariskan bahawa terdapat beberapa garis panduan yang perlu dijadikan panduan untuk membina karya Hasanah. Karya Hasanah bermaksud karya yang lebih baik iaitu karya yang mampu memberi ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Beliau turut menyenaraikan ciri-ciri karya yang tidak hasanah adalah seperti berikut.

1.      Mempromosikan Idea Yang mengatakan Tuhan tidak wujud.

2.      Mempromosikan idea-idea yang tidak selaras dengan ajaran di dalam al-Quran dan hadis.

3.      Menimbulkan kesan psikologi dan emosi yang menyebabkan timbul keinginan pembaca/penonton mahu melakukkan perkara

         yang dilarang oleh agama islam.

4.      Memberi kemenangan moral kepada si pendosa, yakni watak yang melakukan perbuatan salah.

5.      Memberi status rendah kepada Islam manakala agama lain diberikan status yang tinggi dan mulia.

Adalah sangat wajar sekiranya industri hiburan di negara ini mewujudkan badan pengawas yang dapat memantau dan menilai kualiti filem-filem yang diterbitkan dan bertemakan islamik agar sentiasa sejajar dengan tuntutan syariah. Badan penilai ini bolehlah mempunyai ciri yang sama dengan FINAS yang melakukan penapisan filem yang sesuai ditayangkan di negara kita. Filem atau drama yang ingin di tayangkan dalam konsep karya Islamik perlulah melepasi piawaian patuh syariah atau 'syariah compliant'

Saranan ini sangat penting memandangkan pengaruh media sangat besar terutamanya kepada generasi muda negara. Kita tidak mahu fahaman mengenai syariah sebenar dislaah tafsir oleh masyarakat. Sebagai contoh ramai wanita-wanita di luar telah mula memakai tudung berbongol. Ini adalah kesan daripada drama dan filem yang menunjukkan cara pemakaian tudung seperti itu sedangkan pemakaian tudung berbonggol adalah  tidak mematuhi tuntutan syariah. Oleh yang demikian panel pengawasan untuk filem dan drama Malaysia perlu segera diwujudkan untuk memastikan kemurniaan dan kesucian Islam .

Rujukan:
Ainon Mohd. Panduan Menulis Novel:Teknik Surah Yusuf. PTS Profesional 2011.

Sumber imej : Google Image

-Artikel Iluvislam.com

 

Penulis merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer( Pengurusan Sistem Maklumat) Universiti Teknologi Malaysia.Merupakan mantan Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Berasal daripada Pulau Pinang.Aktif dalam gerakan sosial masyarakat dan penyebaran ilmiah. Kini penulis adalah ahli eksekutif Assembly of Intellectual Muslim (HAKIM). Berkemahiran dalam latihan Kepimpinan, Pegurusan Strategik, Dakwah dan Tarbiyah, Pembinaan Insan, Latihan Pemikiran Lateral, Latihan Penulisan, Isu Semasa, Dan Latihan Pelajar Sekolah. Aktif sebagai penulis dan banyak menulis di majalah dan akhbar. Blog penulis ialah www.firdauskhairi.blogspot.com. Boleh dihubungi di melalui emel; firdaus.khairi@gmail.com.


Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!