Lumrah Dunia

altAku seperti mampu rasakan dengan perubahan iklim kehidupan yang sedang mengalami proses kemarau ini. Gelojak jiwa mereka yang kecewa, sedih dan derita terpancar melalui riak wajah yang sememang tidak mampu untuk disembunyikan akibat bahang masalah dan beban yang tidak mampu ditahan. Terasa rindu pula dengan kesenangan dan keselesaan yang dahulu sering melayani diri tika bunga hatinya mekar.

Sememangnya lumrah dunia ini begitu, segalanya berputar dan berpusing ibarat roda. Musimnya sentiasa silih berganti. Angin pun bukan sentiasa bertiup ke Utara, adakalanya akan bertukar arah ke Selatan, Barat mahupun Timur. Apatah lagi manusia yang mempunyai Iman yang rapuh, pancaroba dunia ini lebih bijak memanipulasi perasaan kita berbanding kita sendiri yang diberi akal ini.

Sahabat,
Manakan hendak dinikmati kesenangan kalau tiada ujian dan cabaran. Kebahagiaan itu menjadi fitrah manusia untuk sentiasa dan cuba mendapatkannya, tetapi harga yang perlu dibayar adalah mahal. Ibarat sirah perjuangan Rasulullah S.A.W. Bukan senang untuk kita merasai nikmat Iman dan Islam ini kalau tanpa Rasulullah S.A.W. berusaha gigih sehingga sanggup berkorban jiwa raganya. Maka mengapa kita tidak mengambil iktibar daripadanya untuk diaplikasikan sepanjang hidup kita ?

Syukur
Kita sering mengeluh dan mengomel. Bosan mendepani masalah hidup yang tiada pengakhiran. Jemu dengan usaha yang awalnya bertunjangkan segunung harapan namun berputus asa dengan kegigihan yang tiada keberhasilan. Akhirnya kita duduk termanggu di pinggiran merenung hari-hari mendatang yang akan dijalani dengan kemurungan.

“Nikmat mana lagikah yang hendak kau dustakan.” [Surah Ar-Rahman]

Kita banyak mengeluh dengan ujian yang Allah bagi tetapi tidak pernah bersyukur dengan nikmat Allah!

Mengapa perlu berasa lemah dan kecewa? Tidak cukupkah segala nikmat yang Allah bagi di dunia ini sehinggakan masalah yang sangat kecil pun kita berat hendak menanggung. Ya! Masalah yang kita hadapi sangat-sangatlah kecil kalau hendak dibandingkan dengan kurniaan Allah yang kita dapat dari kecil hingga sekarang. Namun manusia ini tidak sedar dan kurang bersyukur.

“Dan kami menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagi kamu. Namun sangat sedikit daripada kamu yang bersyukur.” [Surah as-Sajadah]

Tahukah kita faktor yang menjatuhkan dan memburukkan pandangan kita terhadap hidup adalah kerana kurangnya rasa syukur?

Adil
Jangan salahkan sesiapa walaupun daripada sudut lahiriahnya memang benar ada orang yang salah. Tapi bukankah segala-segalanya ketentuan Allah. Rencana hidup ini Allah dah tentukan. Malah selagi kita beriman dengan ayat-ayat Allah kita tidak akan berasa gusar, lesu atau amarah dengan apa yang berlaku.

“Dan Allah tidaklah berkehendak menzalimi (sesiapa pun) di atas alam ini.” [Surah an-Nisa']

Tetapi kita yang menzalimi diri kita sendiri! Sesetengah daripada kita tahu bahawa ujian ini daripada Allah yang tinggi dengan sifat rahmat-Nya tapi tetap menyalahkan keadaan atau manusia lain. Mengapa perlu begitu?

Jelaslah hati kita masih belum cukup sempurna mengenal Allah dan kehidupan yang diciptakan oleh-Nya untuk kita. Kita yang hendak menyakitkan hati kita mengapa ?

Dan kadang-kala kita yang tidak adil kerana salah meletakkan perasaan atas sesuatu perkara. Itu juga membuatkan kita rasa lemah kerana hakikatnya kita yang tidak faham keadaan diri kita sendiri.

Di manakah kita letakkan perasaan gembira? Terhadap hiburan yang melalaikan? bukankah patut berasa sedih kerana lupa kepada Allah!

Di manakah kita letakkan perasaan sedih? Terhadap masalah dan ujian yang menimpa… bukankah patut ada rasa secebis kegembiraan di hati kita kerana masih berasa Allah masih sayangkan kita dan tidak biar kita hanyut dalam dunia yang dusta.

Di manakah kita letakkan perasaan sayang? Terhadap harta, manusia, dan segala yang kita miliki dan kita tidak sanggup kehilangannya… bukankah kita patut sayang kepada amal ibadat kita yang akan menjadi harta berharga kita di akhirat sana.

Muhasabahlah diri kita. Fikirkan di manakah kita sekarang..

-Artikel Iluvislam.com

Sumber Grafik: Azian Azamimi

Penulis

Artikel Terkini

  • Screen Shot 2014-04-17 at 1.51.48 PM
  • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27
  • tumblr_mejytetkE71qil46jo1_1280
  • alt

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas