Syaitan Merah

altTerfikir penulis baru-baru ini berkenaan baju-baju atau jersey pasukan bola sepak yang menggunakan symbol syaitan sebagai logonya, khususnya Manchester United. Apakah boleh kita memakainya? Adakah hukumnya harus, makruh ataupun haram?

Ini kerana jersey ini merupakan pakaian yang amat popular masakini, hatta kebanyakan dari muda-mudi sekarang memakainya ketika solat, hatta mengimami solat, khasnya di pusat membeli-belah. Setelah memikirkannya dengan mendalam, ingin penulis kongsikan pandangan penulis di sini InsyaAllah.

Allah swt bersabda di dalam surah Yasin yang sekian kali dibacakan di kalangan masyarakat kita, “Bukankah aku telah mematerikan (menjanji, amaran keras) kepada kamu, wahai anak-anak Adam, bahawa janganlah kamu sesekali menyembah syaitan? Sesungguhnya dia bagi kamu adalah musuh yang nyata. Akan tetapi sembahlah Aku, inilah jalan yang lurus”.

Perkataan ‘menyembah’ di dalam ayat ini, ditafsirkan oleh para ulama’ sebagai ‘mengikuti sunnah atau jalan, cara hidup, godaan dan bisikan syaitan’, iaitu dengan kata lain, bukan hanya menyembah sujud kepadanya. Jelas sekali, tiada apa-apa daripada syaitan yang kita dibolehkan mengambil contoh atau melibatkan diri di dalamnya.

Tambahan pula, berapa banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menganjur dan menyuruh Muslim untuk sentiasa menyangkutkan hati dan fikirannya kepada Allah setiap masa. Antaranya firman Allah swt, “Ingatlah bahawa dengan mengingati Allah, hati akan tenang”. Memakai logo atau symbol-simbol syaitan, nyata-nyata bercanggah dengan ayat ini.

Oleh kerana itu, tanpa ragu-ragu lagi, pada pandangan penulis, adalah haram bagi mana-mana Muslim, untuk memakai logo, simbol, atau apa-apa sahaja yang mengingatkan seorang Muslim kepada Syaitan atau anak cucunya, sebagaimana Rasulullah saw mengharamkan kita memakai apa-apa simbol yang mengingatkan kita kepada agama lain.

Di dalam hadis Sahih Bukhari, Rasulullah saw pernah menegur sahabat baginda saw yang baru memasuki Islam, iaitu ‘Adiy ibnu Hatim. Beliau memakai simbol palang di leher beliau, lalu baginda saw memerintahkan beliau agar membuang palang tersebut, kerana itu mengingatkan baginda saw kepada agama Kristian.

Bagaimana agaknya andai baginda saw masih lagi hidup sekarang, adakah baginda saw akan membiarkan kita memakai baju yang ada logo syaitan padanya?

Ini sememangnya perkara yang perlu kita jauhi, terutama ketika hendak menunaikan solat. Bukankah Allah swt berfirman, “Dan dirikanlah solat untuk mengingatiku”. Kita berdiri di atas sejadah dengan niat solat, dan di dada kita terletak gambaran syaitan?

Penulis mengharapkan agar umat Muslim masakini sedar bahawa perkara sebegini bukan satu senda gurau, tetapi ia adalah hal yang perlu diambil serius. Dalam masa yang sama, penulis memandang tiada salahnya jika meminati sekian pasukan bola sepak, cuma sahaja simbol yang mereka gunakan perlulah kita kaji dengan teliti dahulu, adakah ianya bersesuaian dengan aqidah kita umat Muhammad saw, atau sebaliknya.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin merupakan seorang fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D Al-Quran & Sunnah(USIM). Penulis boleh dihubungi melalui www.al-wahidah.com.

Penulis

Artikel Terkini

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas