Ke Arah Perubahan Diri

altMalam sudah melabuhkan tirai dan pelbagai perkara yang kita lalui pada hari ini. Pahit ataupun manis, negatif mahu pun positif semuanya adalah fitrah kehidupan. Tanpa kita sedar yang masa berlalu dengan pantas sehingga sehari terlalu cepat berlalu.

Apabila kita merasakan semakin banyak angka bertambah pada umur maka dengan itu, kita harus lebih matang dengan keadaan sekeliling serta penghayatan dalam agama memerlukan kita lebih menghargai setiap nikmat yang Allah S.W.T kurniakan.

Allah S.W.T memberikan kita akal untuk berfikir dan cara kita menginterpretasikan dalam diri.

Di dunia, sudah pasti sesiapa saja mempunyai perancangan dalam menentukan hala tuju masing-masing. Tetapi bagaimana dengan akhirat, sudahkah kita memperbaikinya.

Saya selalu memikirkan hal itu, juga hubungan saya dengan Allah S.W.T serta amalan-amalan yang harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian agar lebih kondusif mengikut keupayaan diri dalam mengatur cara, serta bagaimana kita menyeimbangi dunia serta akhirat.

Saya melihat banyak perkara yang kita ralat sehingga lama kelamaan diri menjadi ‘tak keruan’ dalam mengharungi liku-liku hidup.

Pengalaman banyak memberi kita manfaat tetapi sudahkah kita mengambil pengajaran dari apa yang berlaku. Kita seharusnya bersyukur kerana diberikan ujian di samping dugaan agar sentiasa bermuhasabah diri bahawa kita adalah hamba yang kerdil yang pastinya akan kembali kepada-Nya.

Dunia sentiasa berputar mengikut paksinya begitu juga dengan kehidupan, sekiranya kita leka dengan apa yang diperintahkan maka beringatlah dunia hanya sementara, hanya seketika waktu untuk dimusnahkan oleh pencipta-Nya. Maka dengan itu manusia hanya mampu melihat tanpa sempat untuk bertaubat kepada Allah S.W.T.

Kita wajib melakukan perubahan walaupun sedikit sekurang-kurangnya kita berusaha untuk berubah dan meletakkan perjalanan kehidupan pada landasan yang betul. Moga perubahan yang kita lakukan beroleh ketenangan serta dirahmati oleh Allah S.W.T.

Oleh itu, kita harus mengamalkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah serta memperbanyakkan bacaan serta menyelak buku-buku yang memberi kebaikan pada diri dari segi psikologi dan juga spiritual.

Dengan harapan yang kita ada, galilah ilmu Allah S.W.T yang maha luas ini kerana semakin kita menerokai sesuatu ilmu itu maka semakin banyaklah pengetahuan yang kita peroleh disamping mencari keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T.

Berhentilah berkhayal dengan angan-angan yang tidak pasti menjadi kenyataan. Kerahkan usaha agar kuat menghadapi cabaran-cabaran dunia yang bakal menguji keimanan serta ketaqwaan kita kepada-Nya.

Berhentilah berkhayal dengan angan-angan yang tak pasti menjadi kenyataan.

Oleh itu, sentiasa menadah tangan dan berdoa agar dijauhi perkara-perkara yang mazmumah dan sesungguhnya Allah S.W.T Maha melindungi setiap hamba-hambanya yang sujud dan tawakkal dengan apa yang dikurniakan.

Keikhlasan dalam beribadat akan terbit dari hati yang cintakan Allah S.W.T dan meletakkan seluruh jiwa raga semata-mata untuk mendapat hidayah dari Allah S.W.T.

Apabila kita sudah mencapai tahap itu maka kita akan merasai bahawa jarak kita dengan Allah S.W.T terasa dekat sehingga kita merindui untuk bertemu dengan-Nya.

Subhanallah, Maha suci Allah sekiranya hamba-hambanya diberi peluang merasai nikmat itu dan pasti kita membayangkan betapa indahnya syurga dan beruntunglah mereka-mereka yang mempunyai amalan-amalan yang soleh untuk bekalan di sana.

Kita sebagai hamba, perasaan takut dan gementar pasti menyelubungi diri apabila mengingatkan kematian yang tiada tanda tanya. Tiada siapa yang mampu memberikan jawapan bilakah hari kematian kita. Hanya menunggu waktu dan ketika untuk bertemu dengan Allah S.W.T apabila sudah tiba masanya. 

-Artikel iluvislam.com

Sumber Grafik: Google Image

Biodata Penulis

‘Aina Hafiza Hamzah merupakan seorang pelajar dalam bidang komunikasi Universiti Utara Malaysia (Program Luar Kampus).

Artikel Terkini

  • Sepi
  • Screen Shot 2014-04-18 at 12.06.56 PM
  • Screen Shot 2014-04-17 at 1.51.48 PM
  • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas