Versi: Bahasa Melayu

Ahad, 26 Mei 2013

 153 Pembaca Online

Halaman: Dakwah Hati Yang Bahagia

Hati Yang Bahagia

alt

Inginkan bahagia itu fitrah tabi'i manusia. Setiap manusia meinginkan kehidupan yang bahagia dan harmoni. Jika ada manusia yang berkata, "Alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia" maka dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa inginkan bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencari kebahagiaan.

Tidak ada di antara kita yang tidak ingin menggenggam kebahagiaan. Sebagai umat islam, kita sering kali membaca do'a untuk mendapatkan kebahagiaan baik di dunia mahupun akhirat. Sepertimana doa harian selalu diamalkan umat Islam dipetik dari Kitabullah, Al-Quranul Karim yang  bermaksud:-

"Ya Allah Tuhan kami, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan hindarkanlah kami dari seksa api neraka."
(Al-Baqarah ayat 201)

Di antara tanda-tanda kebahagiaan dan kejayaan seseorang itu ialah apabila ilmunya bertambah maka semakin bertambahlah sifat rendah diri dan kasih sayangnya terhadap orang lain. Kemudian, apabila bertambah umurnya maka semakin kuranglah perasaan tamaknya kepada harta dunia dan apabila bertambah hartanya maka semakin bertambahlah sifat pemurahnya dan membelanjakan hartanya pada jalan Allah s.w.t.

Memetik kata-kata menarik seorang penulis terkenal, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam penulisannya yang mengumpamakan kehidupan ini ibarat "metafora air limau dan luka di tangan. Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Apabila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Apabila diuji dengan harta, muncullah pula sifat tamak, gila puji dan takbur."

Kadang- kadang kita sendiri tidak sedar bahawa kita telah melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kita ke arah kejahatan yang tidak sepatutnya kita lakukan. Justeru, sebagai seorang muslim hendaklah berusaha menjauhi perkara- perkara yang boleh menyebabkan kita tidak bahagia.

Antara perihal yang boleh menjadikan diri kita tidak bahagia ialah dengan mengungkit-ungkit kebaikan yang kita lakukan terhadap orang lain. Selain itu, dengan melupakan dosa-dosa yang lalu juga boleh menyebabkan diri kita terbinasa. Lupa pada dosa yang lalu boleh menyebabkan diri sentiasa merasa dirinya di zon selesa walhal dosa masih mengunung. Asbab tiadanya taubat nasuha, besarlah kemungkinan akan mengulangi perkara (dosa) yang sama.

Kadangkala ada orang yang memandang rendah terhadap dosa itu sendiri. Kurangnya sensitiviti terhadapat dosa walaupun sekecil zarah. Hatta, ada yang dengan bangganya menzahirkan maksiat yang dilakukannya. Malah sanggup mempromosikan maksiatnya dikhalayak ramai. Lebih-lebih dengan  adanya teknologi dihujung jari, semuanya ingin diwar-warkan di dalam laman web peribadi - blog, facebook, youtube dan lain lagi

Sungguh, laknat Allah ke atas mereka sepertimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Setiap umatku akan mendapat kemaafan kecuali orang yang menzahirkan kemaksiatannya, termasuk menampakkan kemaksiatan ialah seseorang berbuat maksiat pada waktu malamnya lalu pada waktu paginya padahal Allah telah menutupi kemaksiatannya, namun  dia mengatakan: Wahai fulan tadi malam aku telah berbuat ini dan ini, kemaksiatannya telah ditutupi oleh Allah lalu pada waktu pagi dia menyingkap apa yang telah disembunyikan oleh Allah"
(Hadith riwayat Imam Bukhari)

 

Dan ada pula yang bermegah mengatakan "Tidak mengapa masuk neraka dulu.., bukannya lama. Nanti habis seksa,  pasti akan masuk syurga sebab kita orang Islam...". Mereka merasakan hakikat syurga dan neraka itu perkara yang 'murah'. Boleh di'beli' hanya dengan nilai status agamanya 'Islam'. Mereka mengganggap bahawa mereka akan masuk neraka untuk tempoh sekejap sahaja, kemudian Allah SWT akan masukkannya ke syurga untuk selama-lamanya.

Ingatlah , Allah telah menempelak golongan tersebut melalui firmanNya yang bermaksud:

"Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api Neraka kecuali beberapa hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?"
(Al-Baqarah ayat 80)

Walau bagaimanapun, apa jua balasan yang Allah berikan kepada hambaNya pasti terselit maksud tersembunyi yang kita sendiri tidak ketahui hikmah dan tujuannya. Kesimpulannya, marilah kita sama-sama bersihkan hati kerana Allah SWT. Ketahuilah, dari hati yang bersih itulah datangnya bahagia... Hati itu perlu dijaga dan dipelihara tahap "kesihatannya". Agar sentiasa sihat tanpa ada penyakit mazmumah yang bersarang di dalamnya. Gilaplah hati itu dengan sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, redha, pemaaf sepertimana yang dianjurkan dalam Islam. Mudah-mudahan dengan hati yang sentiasa dijaga rapi itu akan menzahirkan akhlak yang mulia dan hasanah sedang Allah juga redha kepadanya.

Sesungguhnya kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah tanpa dipaksa. Ianya lahir dari hati yang sarat dengan mahmudah. Itulah hati yang penuh bahagia!

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Siti Wahidah Binti Ishak merupakan seorang pelajar jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia.(USIM).



Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!