Versi: Bahasa Melayu

Selasa, 22 Mei 2012

 451 Pembaca Online

Halaman: Dakwah Aku Berzina Dengan Suami Orang

Aku Berzina Dengan Suami Orang

alt

Hatiku berdebar. Aku tidak pernah terbayang akan berinteraksi dengan seorang gadis yang sudah berzina dengan lebih dari sepuluh orang. Dan gadis tersebut hanya memilih suami orang. Oleh kerana risau dan khuatir berkenaan dengan "keselamatan" diriku.Aku menyuruh isteriku untuk bertemu dengan gadis tersebut.Semuanya bermula beberapa hari sebelum itu. Ada seorang hamba Allah yang tidak ku kenali menghantar sms menceritakan kisah seorang gadis yang ingin kembali ke pangkal jalan setelah bergelumang dengan dosa berzina dengan suami orang.

Isteriku melangkah masuk pasaraya tempat temujanji dengan gadis tersebut. Setelah memperkenalkan diri, isteriku memulakan bicara (semuanya ini telah diberitakan kepadaku kemudiannya). Sikap yang mesti dihayati ketika berada dalam suasana begini ialah "suspend judgement".Jangan cepat menuduh dan menghukum. Kena banyak bersabar dalam menghadapi situasi begini. Banyak mendengar dari bercakap. Tunjukkan sikap "empati" yang mendalam. Jaga "body language" agar menunjukkan kita benar-benar mendengar dan mendalami apa yang sedang dibicarakan. Anggukan kepala sekali sekala dan guna teknik "parapharasing" apabila berbicara. Pendek kata, isteriku mengamalkan hampir seluruh isi ceramah 'Komunikasi Berkesan' yang sering aku sampaikan kepada khalayak ramai.

Rupanya, gadis ini kehilangan belaian kasih dari ibu dan bapanya. Ibu dan bapa sibuk dengan tugas mereka masing-masing, bukan kerana mereka itu kaya akan tetapi kerana kesempitan wang, ibu terpaksa bangun pagi menyiapkan juadah untuk dipasarkan. Kerana menginginkan belaian kasih seorang lelaki, gadis tersebut lantas memilih jalan yang mengundang kemurkaan Allah swt.

Aku termenung sejenak.Tidakkah gadis ini tahu apa yang dilakukan ini adalah satu dosa besar. Tidakkah gadis ini tahu bahawa masa depannya akan turut terkubur dengan kelakuannya itu. Tetapi inilah akibatnya jika petunjuk Allah kita jauhkan,sembahyang kita memperlekehkan.Akhirnya syaitan akan menjadi rakan kita. Apabila syaitan sudah bersemadi dalam jiwa kita.Segala saranannya akan dipandang baik. Bila di tanya bagaimana si lelaki itu mengundangnya ke rumah. Dengan selamba beliau menjawab, "Apabila isterinya outstation, biasanya dia akan menelefon saya untuk ke rumahnya untuk ...".Mudahnya melakukan maksiat.

Alhamdulillah, isteriku sempat memberi sedikit kata-kata pengharapan padanya dengan memberi jaminan bahawa Allah swt itu Maha Pengampun. Sedangkan seorang hamba Allah yang telah membunuh 100 orang pun Allah ampunkan.Senang sikit kerjanya kerana isteriku tidak perlu meyakinkan padanya betapa besar dosa yang telah dilakukan. Kerana premis beliau datang bertemu ialah untuk menguatkan dirinya agar mudah kembali ke pangkal jalan.

 

Beberapa hari selepas itu, aku menghantar sms kepada beliau bertanya khabar. Aku menerima jawapan, "sekarang ini sudah mula bersembahyang 5 kali sehari".Alhamdulillah. Untuk mengelakkan fitnah,aku sentiasa akan berbincang dengan isteriku apabila dakwah ini melibatkan wanita. Kesejahteraan rumahtanggaku hendaklah aku dahului dalam hal seumpama ini. Moga Allah sentiasa memberikan kita kekuatan untuk melakukan terbaik dalam kerja-kerja dakwah ini. Sesungguhnya tanpa bantuan dari Allah swt kita tidak akan mampu melakukan apa-apa. Kita hanya berusaha dan yang memberi hidayah ialah Allah swt.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Dr Hishamudin Alham seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan beliau juga merupakan penggerak Johor Ikram Malaysia (JIM)/IKRAM yang aktif dalam melakukan aktiviti keibubapaan dan motivasi terhadap pelajar di negeri Johor dan juga di negeri lain.



Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!