Harta: Anugerah Atau Amanah?

alt

Dalam kesibukan dunia masakini dan selok belok kehidupan yang kelihatan lebih tajam likunya, harta kekayaan dan wang ringgit menjadi keperluan dan keutamaan bagi rata-rata manusia. Bahkan sejak dahulu lagi, ini merupakan perkara yang maklum, bezanya hajat dan keperluan kepada wang ringgit sekarang adalah lebih tinggi lagi.

Kita memandang harta kekayaan sebagai satu kelebihan. Oleh sebab itu, sering kita lihat bahawa sesiapa yang mempunyai harta yang lebih, akan dianggap lebih tinggi darjatnya, paling kurang pun akan dipandang tinggi melalui sudut taraf kehidupan. Adakah benar, bahawa mereka yang mempunyai lebih wang dan harta ini, darjatnya lebih tinggi?

Kalau kita lihatkan kepada konsep zuhud sebagaimana yang difahami rata-rata masyarakat, maka harta yang banyak bukanlah suatu kelebihan, malahan golongan kaya lebih dilihat sebagai materialistik. Apa pula definisi materialistik sebenarnya?

Penulis teringat sewaktu kecil dahulu, di dalam artikel majalah ‘Lanun’ (Ujang versi Islamic), ada rencana yang memetik kata-kata beberapa ulama sufi. Antara yang diingati penulis, “Ibadah orang miskin ibarat syurga dan ibadah orang kaya ibarat taman di atas tong sampah”. Sejauh mana kebenaran kata-kata tersebut?

Maka penulis bertanya kepada diri sendiri, bagaimana pula keadaan ibadah Saidina Abu Bakar r.a sahabat karib Nabi Muhammad S.A.W, Saidina Umar r.a, Abdul Rahman ibni ‘Auf r.a, Anas bin Malik r.a, yang semuanya merupakan hartawan yang kaya raya tetapi sangat dikasihi Nabi S.A.W. Adakah ibadah-ibadah mereka ibarat taman di atas tong sampah? Sungguh karut sekali bukan?

Oleh itu untuk merungkai persoalan samada mereka yang mempunyai harta lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, jawapannya adalah ya dan tidak. Ya jikalau mereka mengendalikan harta tersebut mengikut ajaran Allah dan rasul-Nya, manakala jawapannya adalah tidak jika mereka menggunakan harta dan kekayaan mereka untuk tujuan sebaliknya seperti menyumbang kepada kemaksiatan, perjudian dan lain-lain lagi yang diharamkan dalam Islam. Namun mudah dikatakan bahawa mereka yang mempunyai harta yang lebih sebenarnya adalah mereka yang diberi peluang oleh Allah bagi meraih keredhaan Allah melalui jihad harta.

Pada pandangan penulis, harta adalah AMANAH daripada Allah, amanah yang Dia beri untuk perhatikan bagaimana kita mengendalikannya. Orang-orang yang soleh di sisi Allah, akan memandang harta lebih kepada amanah daripada anugerah, maka mereka akan terasa bebannya, dan beban itulah yang akan mendorongnya mengendalikan harta dengan baik, dan pengurusan harta yang bertepatan dengan kehendak Allah akan berakhir dengan bertambahnya lagi harta, keberkatan dan ketenangan hati.

Di kaca mata penulis, amanah harta itu ada tiga perkara:-

1) Amanah harta yang pertama dan terpenting adalah ZAKAT. Katakan seorang peniaga berjaya mendapatkan wang sebanyak RM20,000 sebulan. Ketahuilah bahawa di dalam RM20,000 ini terselit juga harta orang lain, dan mereka berhak untuk mendapatkannya. Kerana RM20,000 itu bukan semuanya miliknya secara mutlak. Allah yang Maha Adil telah menetapkan jumlah yang perlu dikeluarkan, iaitu lebih kurang 2% sahaja daripada jumlah RM20,000 itu berbanding dengan cukai pendapatan yang jauh lebih tinggi, iaitu sebanyak 30% di negara kita, 50% di Itali, 40% di Sepanyol. Bukankah 2% itu lebih tampak ringan untuk dikeluarkan? Tetapi hairan, kerana masih ramai lagi orang-orang yang berkemampuan tidak menunaikan perkara fardhu yang satu ini.

Semenjak kewafatan Nabi S.A.W, ramai manusia yang enggan membayar zakat. Namun jika kita berfikir dengan lebih matang dan melihat zakat dari sudut yang lebih luas, sebenarnya zakatlah kunci bagi pembangunan ekonomi negara. Kunci utama untuk mencapai status negara maju bukanlah dengan membina bangunan yang tinggi, tetapi kuncinya adalah membasmi kemiskinan! Tanyalah kepada mana-mana pakar ekonomi yang waras berkenaan perkara ini. Zakat pula secara terusnya dapat memberikan harta kepada golongan fakir miskin!

Ketika zaman Umar ibnu Aziz yang diangkat sebagai Khalifah Islam kelima. Pada waktu yang ditetapkan untuk zakat diedarkan, pesuruh Umar r.a menunggu di Baitul Mal bagi mereka yang datang untuk menuntut zakat. Setelah kian lama menunggu, tiada siapa yang datang. Maka mereka bertanya kepada Umar apa yang perlu dilakukan. Umar menyuruh mereka untuk menunggu lagi. Setelah beberapa hari berlalu, masih lagi tiada sesiapa yang datang. Lalu Umar memerintahkan agar mereka membawa harta-harta pembahagian zakat ke keliling kota, dan berikannya kepada sesiapa yang layak.

Yang menariknya, setiap rumah yang mereka pergi untuk mengedarkan zakat tersebut, akan memberikan jawapan yang sama. “Hartaku masih ada lagi, masih cukup untuk perbelanjaan dan makan minum keluargaku”. Maka pada akhirnya tiada sesiapa pun yang didapati layak menerima zakat, kerana kemiskinan sama sekali sudah dibasmi!

Inilah hasil positif yang lahir daripada kata-kata Umar ibnu Aziz sendiri, “berikan hak kepada setiap yang mempunyai hak.”

Bagi mereka yang mempunyai pendapatan lumayan, keluarkanlah zakat, dan saksikan sendiri bagaimana tenangnya jiwa anda sesudah itu.

2) Amanah yang kedua, adalah AL-INFAQ, iaitu membelanjakan harta yang ada.

i)  Ada di dalam ayat al-Quran yang mengutuk mereka yang bersikap bakhil. Mereka yang bakhil itu merasakan bahawa perbuatan mereka menyimpan harta mereka dan tidak membelanjakannya adalah perbuatan yang baik bagi mereka, tetapi pada hakikatnya ia buruk bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka akan dibalas atas apa yang mereka bakhilkan itu.

ii) Terdapat sepotong hadis di dalam sahih Muslim, yang berbunyi ( antara1 dinar yang engkau belanjakan pada keluargamu, 1 dinar yang engkau sedekahkan pada anak yatim dan 1 dinar yang engkau serahkan pada jalan Allah bagi peperangan, maka 1 dinar yang engkau belanjakan pada keluargamu itu adalah yang paling berkat).

Mengapakah demikian? Ini kerana ahli keluarga kita mempunyai hajat dan keperluan mereka. Mereka perlukan pakaian yang elok, makanan yang baik dan rumah yang selesa untuk mereka tinggal, kenderaan yang baik, isteri perlukan wang bagi perbelanjaan rumah, anak-anak perlukan wang untuk pendidikan mereka, lebih-lebih lagi kos pendidikan masa kini yang semakin mahal, dan sebagainya.

Maka ketahuilah, membelanjakan harta pada kaum keluarga, adalah lebih utama dari sedekah, kerana kaum keluarga kita adalah tanggungjawab kita, dan merupakan amanah dari Allah. Bagaiman kita mahu dikatakan berjihad di jalan Allah tetapi keluarga kita dirumah serba kekurangan?

Bukanlah dikatakan di sini bahawa kita dilarang membuat simpanan, namun utamakan untuk berbelanja keperluan keluarga terlebih dahulu dan sebahagian yang lainnya barulah disimpan bagi kegunaan masa depan.

3) Amanah Allah berkenaan harta yang terakhir, iaitu setelah zakat dikeluarkan, perbelanjaan keluarga sudah dicukupkan, adalah SEDEKAH. Amalan sedekah sudah sangat banyak dibincangkan, oleh itu penulis merasakan tidak lagi perlu dibincangkan di sini.

Sebelum mengundur diri, penulis juga ingin berkongsi tentang definisi materialistik. Penulis tidak merasakan semua orang yang banyak harta itu materialistik, bahkan sifat materialistik itu boleh ada di kalangan orang yang kaya mahupun miskin.

Sibuk membandingkan dirinya dengan orang lain, dan cuba untuk ‘menang’ dari segi ukuran harta, sibuk bercakap tentang cara-cara mencari duit yang banyak, sibuk mengejar duit, hari demi hari, sibuk membangga diri bahawa hartanya banyak, sibuk membuktikan bahawa dirinya mampu membeli segala-galanya walaupun poketnya kosong, itulah dia sifat materialistik yang sebenarnya. Jikalau menjadi kaya semata-mata dikatakan materialistik, maka batillah hadis Rasulullah S.A.W yang juga merupakan doa kepada Anas bin Malik ra (Alangkah nikmatnya harta yang soleh bagi lelaki yang soleh!)

“ALIF, LAM, MIM. Itulah kitab yang tiada keraguan lagi didalamnya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Mereka yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat, dan adalah sebahagian dari apa yang Kami rezekikan kepada mereka, mereka belanjakan..”- Surah Albaqarah.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin merupakan salah seorang ahli pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Madrasah al-Wahidah yang bertanggungjawab menggubal sukatan pelajaran bagi Program Pendidikan I-LIFT yang menawarkan pakej pendidikan berteraskan Islamisasi dan Integrasi Ilmu di peringkat taska, tadika & KAFA. Beliau juga merupakan fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D al-Quran & Sunnah (USIM). Penulis boleh dihubungi melalui www.al-wahidah.com  & http://www.abu-intisaar.blogspot.com

Penulis

Artikel Terkini

  • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27
  • tumblr_mejytetkE71qil46jo1_1280
  • alt
  • alt

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas