,

Ramadan: Apakah Sekadar Bulan Ber’tadarus’?

“Seperti sudah menjadi suatu tradisi apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, akan bermulalah sesi tadarus atau sesi untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran 30 juzuk. Tetapi sejauh manakah penghayatan kita terhadap mesej dan isi kandungan mukjizat agung tersebut?”

Persoalan yang sempat ditinggalkan sebelum solat sunat tarawih dikerjakan. Suatu pertanyaan yang sangat memberi kesan yang cukup mendalam.

Bulan Ramadhan: Apakah sekadar bulan ber’tadarus’?

أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلى قُلُوبٍ أَقْفالُها

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad : 24)

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, apabila bulan Ramadhan menjengah tiba, kita akan mulai sibuk meletak target bacaan dan menyusun jadual tadarus untuk mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran. Tidak kira sama ada ianya dilakukan secara individu ataupun berjemaah.

Sebagai seorang muslim, kita sangat dituntut untuk membaca kalamullah apatah lagi jika ianya dijadikan sebagai suatu amalan harian dalam kehidupan.

Seharusnya, membaca al-Quran ini tidak hanya tertakluk pada suatu tempoh masa yang tertentu, bahkan ia sangat digalakkan untuk dilakukan pada bila-bila masa.

Bulan Ramadhan yang juga dikenali sebagai ‘syahru al-Quran’ adalah sebagai suatu simbolik rentetan penurunan mukjizat agung Nabi Muhammad SAW pada bulan tersebut.

Bahkan bulan Ramdahan juga merupakan suatu bulan yang mempunyai begitu banyak keistimewaan dan kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَ بَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَ الْفُرْقَانِ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…” (Surah Al-Baqarah : 185)

Dan tidak hairan, jika ada dalam kalangan kita yang berebut-rebut untuk memperoleh seberapa banyak kebaikan pada bulan tersebut. Dan di antara usaha yang sering dilakukan adalah dengan mengkhatam bacaan al-Quran.

Tetapi, sejauh manakah al-Quran tersebut berfungsi sebagai suatu mesej pengajaran yang cuba disalurkan daripada Allah kepada hambanya.

Atau mungkin sekadar dilihat sebagai suatu tulisan pada helaian-helaian mashaf yang sekadar menjadi tatapan untuk bacaan semata-mata?

Tidak dinafikan, membaca al-Quran merupakan suatu amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Bahkan setiap huruf yang dibaca akan dikurniakan dengan sepuluh ganjaran kebaikan daripada Allah.

Sehinggakan banyak kisah-kisah dan hadis yang menyebut tentang ganjaran buat mereka yang membaca al-Quran.

Daripada Abdullah ibn Masu’d, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa membaca satu huruf dari Kitabullah (Al Qur`an), maka baginya satu pahala kebaikan & satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi sepuluh kali, aku tak mengatakan ALIF LAAM MIIM itu satu huruf, akan tetapi ALIF satu huruf, LAAM satu huruf & MIIM satu huruf.” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Namun, apakah al-Quran itu sekadar terhenti pada kerongkong kita? Tanpa ada usaha untuk mendalami dan menghayati mesej sebenar al-Quran.

Adakah al-Quran itu sekadar dibaca dan dikhatamkannya berulang-ulang kali?

Bahkan yang lebih menyedihkan, dalam kita ghairah mengkhatamkan bacaan al-Quran berulang-ulang kali, kita masih lagi melakukan kemungkaran dalam kehidupan.

Membaca al-Quran, tetapi masih berkata perkara-perkara yang sia-sia. Membaca al-Quran tetapi masih menghina dan mencaci orang lain.

Adakah kerana al-Quran itu sekadar dibaca dan tidak berfungsi sebagai suatu pengajaran ?

Lebih malang lagi, ada yang sanggup melewat-lewatkan solat semata-mata kerana terlalu ghairah untuk mengejar ‘khatam al-Quran’ berulang kali sepanjang tempoh Ramadhan. Kesannya, bacaan tidak dipelihara dengan baik.

Seharusnya bulan Ramadhan ini menjadi suatu pemangkin untuk kita lebih mendalami al-Quran. Biarpun ianya sekadar satu ayat, tetapi cukup untuk memberi kesan yang begitu mendalam kepada kehidupan kita.

Tidak disangkal, usaha untuk mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan merupakan suatu usaha yang sangat murni bahkan ianya sangat digalakkan.

Namun, ianya akan menjadi lebih baik sekiranya amalan tadarus itu juga dilengkapi dengan amalan mentaddabur ayat al-Quran.

Di samping usaha kita membaca al-Quran, pasakkan juga dalam diri untuk mendapatkan seberapa banyak mesej daripada Allah menerusi kisah-kisah di dalam al-Quran.

Mudah-mudahan dengan usaha kita yang sekecil ini, akan menjadi sebab kita beroleh keredhaan daripada Allah.

Maka ayuh, kita jadikan bulan Ramadhan tahun ini sebagai suatu titik-tolak untuk kita lebih mendalami al-Quran.

Tidak usah terburu-buru untuk mengejar ‘khatam al-Quran’ semata-mata, tetapi berusahalah untuk menghayati kalam suci Allah sepanjang hayat.

Firman Allah dalam Surah Sod ayat 29: “Kitab (Al-Quran) yang kami turunkan kepadamu dengan penuh keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal mendapat pengajaran.”

Ingatlah, al-Quran itu tidak sekadar tadarus, tetapi tadabbur.

Meski yang dilihat pada permukaan sahaja sudah berupa keindahan, apatah lagi pada dasarnya. Semakin menghampiri ke dasar, semakin indah lihatnya. Begitulah miripnya al-Quran.

Ramadhan kareem.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Sabirrin bin Md Zahar. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Merupakan pelajar Bioperubatan di UIAM. Ikuti penulisan beliau di blog dakwatsofa.wordpress.com atau blog kolabrasi bersama rakan iaitu theleinspiration.blogspot.my.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.