Makhluk Ghaib!

alt

Persoalan tentang perkara-perkara ghaib seperti jin dan bunian merupakan salah satu perkara yang dikategorikan sebagai perbincangan keagamaan di kaca mata masyarakat kita.

Saban hari kita kerap dipaparkan dengan tajuk-tajuk rencana di majalah-majalah berkenaan persoalan yang bersekitar dengan tajuk ini. Kisah anak manusia yang berbapakan orang bunian, kisah mereka yang sesat di dalam hutan dan berjumpa dengan perkampungan bunian, kisah mereka yang dirasuk Syaitan, dan kisah mereka yang bersahabat dengan jin. Bagaimana pandangan al-Quran dan Sunnah berkenaan hal-hal ini?

Oleh itu, penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk cuba meleraikan untaian benang perihal-perihal ini, agar dapat kita ketahui betapa lemahnya tipu daya Syaitan itu, namun bagaimana ramai di antara kita yang tertipu dengan mereka.

1) Iblis/ Lucifer

Siapakah Iblis, dan apakah itu Syaitan? Adakah Jin dan Syaitan itu jenis makhluk yang berbeza? Benarkah Iblis itu suatu ketika dahulu adalah dari kalangan Malaikat?

Hakikatnya, perkataan Syaitan itu sendiri bermaksud ‘yang ingkar’, maka dinamakan Syaitan kerana Iblis ingkar kepada Allah agar sujud kepada Adam. Di dalam al-Quran, jelas Allah S.W.T ada berfirman: “Kami berfirman kepada para Malaikat ‘sujudlah kamu kepada Adam’, maka mereka semua bersujud, melainkan Iblis, dan Iblis itu dari kalangan Jin” -Surah al-Kahfi ayat 50.

Dengan wujudnya dalil ini maka tidak perlu lagi kita persoalkan lagi adakah Iblis itu dari kalangan Malaikat ataupun Jin kerana telah jelas disebutkan bahawa Iblis adalah Jin.

Oleh itu, dari manakah asal kata-kata bahawa Iblis itu pada asalnya adalah seorang Malaikat? Terdapat dua sumber berbeza daripada pendapat ini:

i) Tafsiran “maka mereka semua sujud, melainkan Iblis”. Maka ada yang mengambil pengertian ayat ini bahawa Iblis itu dari kalangan Malaikat. Ini adalah tafsiran yang tidak menyeluruh dan dibuat tanpa penelitian, kerana ayat 50 dari surah al-Kahfi di atas telah menyebut dengan jelas tentang perihal ini.

ii) Riwayat Israiliyyat, iaitu riwayat dan pandangan dari ahli kitab, samada dari Yahudi atau Kristian. Orang-orang Kristian meyakini bahawa Iblis itu adalah dari kalangan Malaikat yang dibuang Allah S.W.T dari Syurga. Maka riwayat ini telah memberikan kesan kepada sebahagian umat Islam.

2) Syaitan

Seperti yang penulis nyatakan tadi, perkataan Syaitan itu sendiri bermaksud ‘yang ingkar’, maka dinamakan Syaitan bagi mereka yang ingkar kepada Allah, samada dari kalangan manusia ataupun Jin.

Firman Allah S.W.T : “Dan begitulah kami telah jadikan bagi setiap nabi itu musuh (iaitu) Syaitan-Syaitan dari kalangan Manusia dan Jin, mereka memberikan ilham kepada satu sama lain” - Surah al-An’am, ayat 112.

Maka jelas di sini, Jin dan Syaitan itu bukanlah makhluk dari jenis yang lain, bahkan sama. Ternyata juga bahawa daripada golongan manusia juga ada Syaitan. Namun, bukan setiap Jin itu Syaitan, sebagaimana bukan kesemua manusia adalah Syaitan.

Maka Syaitan sebagaimana yang difahami msyarakat kita, adalah pada hakikatnya Jin yang bersifat jahat, sebagaimana manusia yang bersifat jahat juga layak digelar sebagai Syaitan.

3) Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia (?)

Ini juga merupakan dakwaan yang tidak berasas dan tidak bersumberkan khabar dari Rasulullah S.A.W sedangkan Baginda S.A.W adalah manusia yang paling arif tentang perkara ghaib. Bahkan hadis daripada Baginda S.A.W menunjukkan hal yang bertentangan dengan apa yang kita fahami. Cuba kita lihatkan dengan teliti.

Sewaktu Rasulullah S.A.W menyampaikan surah ar-Rahman kepada para sahabat, di dalam surah ini terdapat pengulangan ayat “Maka dengan nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” Para sahabat semua terdiam mendengar bacaan Rasulullah S.A.W. Setelah selesai membacakan surah tersebut, Rasulullah S.A.W bersabda “Sewaktu aku membacakan surah ini kepada golongan Jin, setiap kali sampai pada ayat ‘maka dengan nikmat Tuhan-Mu yang manakah yang kamu dustakan?,’ para jin akan menjawab “Ya Allah ya tuhan kami, tiada satupun dari nikmat-Mu, yang kami dustakan, maka bagi Engkaulah segala pujian.” Mengapa kalian semua cuma berdiam diri? Jin nampaknya lebih baik daripada kalian.”

Tambahan pula, sejahat-jahat manusia di dunia ini adalah Firaun, kerana dia mengaku bahawa dirinya adalah Tuhan, “Maka dia (Firaun) berkata ‘Akulah tuhanmu yang tertinggi, sembahlah aku!” Pernahkah kita mendengar dakwaan dari mana-mana Jin bahawa dirinya adalah Tuhan, samada dari riwayat al-Quran atau hadis yang sahih…? Sama sekali tidak pernah, oleh itu jauh sekali jika ingin mendakwa bahawa sebaik-baik Jin adalah setaraf dengan Firaun! Sungguh tidak adil bagi kita untuk menilai Jin sedemikian rupa.

Penulis juga ingin kongsikan di sini kata-kata para Jin ketika mereka di-Islamkan oleh Rasulullah S.A.W dan kisah ini telah diceritakan oleh l-Quran di dalam surah al-Jin.

“Katakanlah (hai Muhammad): Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya sekumpulan Jin telah mendengar (al-Quran) maka mereka berkata ‘sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran dengan penuh takjub. Dia (al-Quran) menunjuk ke arah kebenaran maka kami beriman kepadanya, dan sekali-kali tidak akan kami berlaku syirik kepada Allah. Dan bahawasanya Maha Suci tuhan kami, Dia tiada isteri dan tiada pula anak. Dan telah berkata orang-orang yang bodoh dari kalangan kami kepada Allah perkara-perkara yang melampau. Dan kami menyangka sebelum ini bahawa manusia dan Jin tidak akan berkata bodoh berkenaan Allah. Dan adalah orang dari kalangan manusia memohon perlindungan dari kalangan Jin, Maka Jin itu cuma menambahkan kesesatannya. Dan sesungguhnya dari kalangan kami ada yang soleh, dan ada juga yang selain itu, adalah di antara kami mengikuti jalan yang berbeza. (ertinya ada yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, dan ada yang kufur dan maksiat kepada Allah, sama seperti manusia).”

Perhatikan bahawa al-Quran menyaksikan kepada kita hakikat Jin yang sebenarnya, bahawa mereka ada yang soleh, Islam, dan ada juga yang kufur dan maksiat kepada Allah. Maka Jin itu sama sahaja taraf keimanannya dengan manusia. Perhatikan juga ke manakah arah tuju seseorang itu jika dia memohon perlindungan kepada Jin, iaitu dia cuma menuju arah kesesatan di dalam syirik kepada Allah. Ini kerana ikrar kita saban hari di dalam surah al-Fatihah, “Hanya kepada Engkaulah kami tujukan segala bentuk ibadah kami, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.”

Adapun memohon pertolongan dari manusia, maka itu bukanlah termasuk di dalam syirik. Kata Imam az-Zahabi, syirik itu cuma terjadi apabila kita memohon kepada yang ghaib selain dari Allah S.W.T.

4) Bunian.

Terdapat satu kaum pada zaman Rasulullah S.A.W, yang mana mereka merupakan kaum yang sangat miskin. Suatu hari mereka mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W akan datang menziarahi mereka di kampung halaman mereka, sedangkan mereka tidak mempunyai makanan yang lazat untuk dihidangkan kepada Baginda. Lalu mereka memutuskan untuk menyembelih kucing, dan mereka berbuat demikian. Sesampainya Rasulullah S.A.W di kampung tersebut dan dihidangkan lauk kucing tersebut, Rasulullah S.A.W marah dengan perbuatan mereka, kerana kucing itu haram dimakan, malahan kucing merupakan binatang kesayangan Nabi S.A.W. Lalu mereka semua berasa malu dengan kesalahan mereka, dan mereka meminta agar Rasulullah S.A.W berdoa kepada Allah, agar mereka dan keturunan mereka tidak dapat dilihat oleh manusia lain. Maka Rasulullah S.A.W mendoakan mereka, lalu kabullah doa Rasulullah. Itulah dia asal keturunan bunian yang wujud sehingga kini.

Ini merupakan kisah yang masyhur di kalangan masyarakat kita, dan kisah ini disandarkan kepada Rasulullah, iaitu dianggap sebagai hadis. Cuma sahaja kisah ini tidak pernah didatangkan sebagai hadis yang sahih, malahan tidak ada satu pun buku-buku hadis yang mengeluarkan hadis ini dengan sanad (rangkaian perawi hadis) yang sahih, atau langsung mengemukakan sanadnya. Oleh sebab itu, kisah ini bukanlah kisah yang sahih dan boleh diambil kira.

Pada hakikatnya, dua makhluk yang Allah ciptakan di bumi untuk beribadah kepada Allah cumalah Jin dan manusia, dan tiada selain dari itu. Segala kisah kampung halaman, bau orang memasak di dalam hutan dan sebagainya, hanyalah tipu helah Jin yang jahat bagi menyesatkan manusia, dan mengelirukan manusia tentang perihal yang tidak mereka ketahui.

Penulis juga ingin menyentuh di sini berkenaan kes-kes bayi yang dilahirkan tidak berbapa, lalu si ibu mendakwa bahawa anaknya itu merupakan hasil dari perkongsian hidupnya dengan orang bunian. Bolehkah begitu?

Pertama sekali, kemungkinan terjadinya perkara ini sudahpun diambil kira oleh seorang ulama’ silam yang sangat ‘alim dan terkenal, iaitu Imam Malik ibnu Anas Rahimahullah, guru kepada Imam Syafi’e Rahimahulah. Kata Imam Malik, andai kata benarlah perkahwinan di antara Jin yang ghaib itu dengan manusia boleh terjadi, maka huru-haralah dunia ini. Lahirkan sahaja anak zina, dan dakwa sahaja itu anak Jin, maka terlepaslah dia dari hukum zina!

Penulis benar-benar berasa kagum dengan kepintaran dan betapa majunya pemikiran Imam Malik, perkara ini disebutkannya 1200 tahun yang lepas, dan kini perkara inilah yang sebenarnya sedang terjadi sekarang! Astagfirullahalazim!

Tambahan pula, di dalam ilmu fiqh undang-undang, terdapat tiga cara bagaimana boleh jatuhnya pensabitan kesalahan zina, iaitu:-

i) Dari penyaksian empat orang saksi yang adil.
ii)Dari pengakuan si penzina itu sendiri, dan
iii) Dari kelahiran bayi tanpa adanya seorang bapa

Terkilan rasa hati penulis, bagaimana sesetengah pejabat-pejabat agama, yang terdiri dari kalangan orang-orang yang terpelajar di dalam ilmu syari’ah, tetapi masih lagi boleh percaya dan melepaskan wanita-wanita yang melahirkan anak tanpa bapa itu (yang berzina. Bukan yang dirogol) Subhanallah. Benar sekali kata-kata Imam Malik di atas.

Kedua, percantuman di antara manusia dan jin itu sendiri adalah mustahil, hatta di kaca mata sains moden. Api sama sekali tidak boleh bergabung dengan tanah, bahkan api cuma membakar apa-apa yang disentuhnya.

Demikian sahaja yang dapat dikongsi penulis kali ini. Mudah-mudahan ada yang boleh diambil sebagai faedah dan mendatangkan ilmu yang baru.

Ya Allah… kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan Syaitan yang direjam, dan kami berlindung dengan-Mu daripada segala kejahatan makhluk yang telah Kau ciptakan.

Ya Allah… kurniakanlah umat ini petunjuk ke jalan yang lurus, perjelaskanlah mereka tentang perkara-perkara ghaib agar mereka jelas dengan kebesaran-Mu, dan menumpukan perhatian mereka di dalam beribadah kepada-Mu.

Ya Allah… murnikanlah hati umat Muhammad S.A.W ini dengan kesucian tauhid, dan hindarkanlah kami dari najis syirik, sesungguhnya kepada Engkaulah kami tujukan segala ibadah kami.

Amin.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin merupakan salah seorang ahli pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Madrasah al-Wahidah yang bertanggungjawab menggubal sukatan pelajaran bagi Program Pendidikan I-LIFT yang menawarkan pakej pendidikan berteraskan Islamisasi dan Integrasi Ilmu di peringkat taska, tadika & KAFA. Beliau juga merupakan fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D al-Quran & Sunnah (USIM). Penulis boleh dihubungi melalui www.al-wahidah.com  & http://www.abu-intisaar.blogspot.com

Penulis

Artikel Terkini

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas