Abu Ayyubul Ansari, 39, atau lebih dikenali dengan panggilan mesra 'Abang Abu' atau 'Mekanik Wang' merupakan seorang usahawan yang berjaya mencapai status jutawan pada usia semuda 28 tahun. Melihat kepada perwatakannya yang sentiasa ceria dan selalu berjenaka, siapa sangka, terselit satu memori pahit dalam kehidupan anak sulung daripada lima orang adik beradik yang berasal dari Johor Bahru ini. Seawal usia 20-an, beliau telah kehilangan kedua ibu bapanya.
Ketika beliau dan ibu bapa sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang, kereta yang dipandu beliau telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Bapanya meninggal dunia di tempat kejadian dan ibunya meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kemalangan tersebut. Walaupun Abang Abu turut cedera dan mengalami lumpuh dari bahu ke bawah akibat kemalangan itu, beliau bertekad untuk berusaha mengacapi kejayaan demi masa depan adik-adiknya. Biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, beliau tidak pernah berputus asa dan akhirnya berjaya menjadi antara jutawan terkemuka di rantau ini.
Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Now Asia PLC, Singapura, kini aktif menjalankan pelbagai jenis perniagaan. Antaranya, agensi 'manpower', pakar runding halal dan terbaru, syarikat yang dibuka untuk berkecimpung dalam bidang perubatan. Namun, beliau lebih memberikan fokus terhadap minat utama beliau iaitu memberi motivasi kepada orang ramai. Beliau kerap kali dipanggil sebagai tetamu khas dalam rancangan temu bual di televisyen seperti rancangan TV3, 'Malaysia Hari Ini', dan di radio, seperti program 'Jutawan! Bersama Irfan Khairi' di Radio24.
Bersempena dengan Konvensyen Jutawan Awesome yang akan diadakan nanti, Abang Abu selaku salah seorang panelis konvensyen itu sempat meluangkan masa bersama iLuvislam.com untuk satu sesi temu bual. Berikut antara isi penting temu bual iLuvislam.com bersama Abang Abu:
Adakah sebelum ini Abang Abu pernah menyimpan impian untuk menjadi jutawan?
Oh, tak. Saya punya impian ini sebenarnya, selepas saya kehilangan kedua ibu bapa saya, saya telah ditinggalkan dengan adik-adik saya, jadi impian saya masa tu, saya nak pastikan yang adik beradik saya dapat semua yang akan mereka dapat kalau mak bapak saya ada lagi. Impian saya untuk memastikan mereka dapat pelajaran, dapat makanan yang cukup, tempat tinggal yang baik dan segala keperluan mereka. Jadi, saya kerja kuat untuk memastikan mereka dapat apa yang mereka harus dapat kalau mak bapak saya ada.
Saya tak ada mempunyai impian sehinggalah satu ketika saya telah dipanggil pleh peguam saya untuk buat akaun keluarga di mana dalam masa itulah saya ditunjukkan yang saya telah mencapai kewangan dalam bentuk rumah dan sebagainya melebihi sejuta. Dan masa itu tak ada niat pun nak jadi jutawan. Saya tak tahu apa itu jutawan sebenarnya. Yang saya tahu, saya nak hidup senang and stuff like that.
Pada saya, apa yang menjadikan seseorang itu jutawan bukan (mempunyai) matlamat menjadi seorang jutawan. Matlamat mereka adalah lain. Kalau semak semua jutawan atau orang yang berjaya, matlamat mereka tak pernah nak jadi jutawan. Matlamat mereka untuk membantu lebih ramai orang, untuk mengatasi hidup mereka, untuk menjadikan kehidupan lebih sempurna, untuk mengembangkan perniagaan, untuk banyak benda yang tak mereka letakkan ke belakang. Maksud saya, mereka letakkan benda-benda ini dahulu. Dan kewangan, jutawan, nama, pangkat dan sebagainya datang dengan sendiri selagi mereka buat apa yang harus mereka buat.
Jadi, pada pandangan saya, meletakkan apa tujuan hidup itulah paling penting. Itu yang harus diletakkan dahulu, kemudian kita kena mempunyai plan untuk mencapainya. Dan dalam perjalanan, insya-Allah kita akan, sama ada capai tahap jutawan ke atau tidak, yang (penting) kita capai matlamat kita, apa yang kita nak buat tu.
Adakah terdapat perbezaan kehidupan sebelum dan selepas menjadi jutawan?
Saya sama sahaja. Sebab pada saya jutawan, kekayaan, semuanya milik Allah SWT. Kita tidak memiliki apa-apa pun. Tapi kita telah diamanahkan untuk gunakan apa yang diberikan kepada kita untuk membantu orang lain, untuk menambah nilai dalam kehidupan orang lain. Jadi pada saya, sebelum dan sekarang sama sahaja. Sentiasa seperti saya yang dulu. Sama juga orangnya. Mungkin saya dah lebih handsome sikit sahajalah sekarang ini. Itu sahajalah kelainan yang saya nampak (ketawa).
Tapi dari segi asasnya, saya rasa tiada perubahan dari segi kehidupan saya. Saya masih sederhana. Cuma bila sudah mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan sebagainya, perbezaannya sekarang saya boleh buat banyak benda yang saya suka. Saya boleh banyak membantu orang yang memerlukan bantuan saya.
Apakah matlamat hidup Abang Abu? Adakah masih sama seperti dahulu?
Sama sahaja. Matlamat saya untuk menambah nilai pada diri orang lain, dan juga pada keluarga saya. Matlamat saya untuk memberikan orang motivasi, memberikan orang satu confidence, memberikan mereka satu semangat yang sebenarnya mereka ini boleh berjaya. Saya nak beritahu mereka, (mereka) kena percaya kepada diri mereka sendiri kerana mereka ini adalah orang yang telah diciptakan oleh Tuhan (dengan) sebaik-baiknya.
Ramai orang lupa yang sebenarnya Tuhan telah ciptakan mereka dengan sebaik-baiknya. Jadi, tugas saya adalah untuk mengingatkan benda itu bahawa awak atau sesiapa sahaja semuanya diciptakan yang terbaik untuk memberikan semangat agar mereka dapat melihat apa kebaikan yang telah diciptakan untuk mereka. Itu saya punya matlamat di samping hidup gembira (senyum).
Siapakah sumber inspirasi Abang Abu?
Ayah saya sendiri seorang inspirasi untuk saya sebab apa yang saya ingat lagi sampai hari ini adalah matlamat ayah saya. Dia mempunyai satu wawasan – apabila dia berniaga, bukan untuk diri dia. Suatu hari itu saya kat rumah, masa itu saya kecil lagi. Satu malam tu, ayah saya balik lambat dari (salah) satu kedai yang dia ada. Then, mak saya pun mula bertanya, kenapa nak buka lagi satu kedai, dah tidur tak cukup, dan sebagainya. Tapi saya amat teruja dengan jawapan ayah saya. Ayah saya cakap satu saja. Dia cakap, "Aku buka kedai ni, bukan untuk aku. Tapi kau tahu tak? Dalam kedai tu, ada enam orang kerja. Enam orang kerja tu, mereka dapat hasilnya daripada kedai tu. Bila enam orang tu dapat, enam keluarga sedang menikmati pendapatan daripada kedai itu. Itu sebab aku buka kedai ni." Jadi, itu yang sampai hari ni saya amat jadikan dia sebagai seorang yang mempunyai fikiran yang sebegitu.
Of course, Nabi kita Muhammad SAW juga inspirasi saya sebab memang tak boleh dinafikan banyak yang saya belajar, bila saya dalam keadaan yang teruk dulu, saya banyak dapat inspirasi daripada sejarah Nabi. Bila saya baca balik, saya kaji balik hadis-hadis Nabi, saya amat teruja.
Apakah motto hidup Abang Abu?
Motto hidup saya ialah A.B.U – "Always Believe in You". Sentiasa percaya kepada diri sendiri. Kerana pada saya, orang yang percaya diri sendiri inilah akan percaya adanya Tuhan. Maksudnya, kalau berlaku sesuatu, cabaran dan sebagainya, kita minta pertolongan daripada siapa? Kalau kita percaya kepada diri kita, kita akan buat dan minta pertolongan daripada Allah untuk tunjukkan kita jalan keluar daripada benda itu. Tapi orang yang tak percaya diri sendiri inilah akan cuba mencari bantuan di luar, dan mereka tak akan buat apa yang seharusnya mereka buat. Saya percaya, kalau nak berjaya, yang pertama sekali, kena percaya kepada diri sendiri. Kena ada keyakinan yang begitu jitu sekali terhadap diri kita – yang kita boleh lakukan dengan bantuan Allah SWT.
Semua manusia mempunyai keistimewaan yang telah Allah berikan. Orang yang berjaya ialah orang yang faham apa keistimewaan dia. Orang yang boleh fikir, "Apa keistimewaan aku?" sebab Tuhan ciptakan setiap ciptaanNya yang terbaik. Setiap ciptaan Tuhan itu yang terbaik. Jadi, saya rasa semua orang boleh berjaya dengan izin Allah, sekiranya mereka berusaha dan percaya kepada diri mereka.
Boleh tak Abang Abu kongsi sedikit tips kejayaan Abang Abu?
Tips untuk berjaya berlainan untuk berlainan orang, tapi ada sebahagian benda yang perlu ada dalam diri seseorang itu untuk berjaya. Saya selalu menekankan tiga perkara yang perlu ada untuk berjaya, iaitu, satu, minat yang mendalam kepada benda yang ingin kita buat. Itu akan menjadikan orang itu berjaya dalam bidang tersebut. Kedua, seseorang yang mempunyai satu dahaga untuk mencapai sesuatu. Ini juga adalah satu motivasi yang menjadikan seseorang itu berjaya. Walaupun mereka tak mempunyai apa-apa, tapi dahaga untuk inginkan sesuatu itu menjadikan mereka melakukan apa sahaja untuk mendapatkan (benda) itu. Dan ketiga, impian-impian yang besar untuk mereka capai. Ini adalah tiga perkara yang selalu saya tekankan. Kalau kita ingin berjaya, kita perlu pastikan kita mempunyai ketiga-tiga (perkara) ini.
Di samping itu, kita (perlu) mempunyai niat yang mendalam dalam (melakukan) sesuatu. Kita kena mempunyai niat yang betul; lurus. Niat kerana Allah paling penting untuk mencapai kejayaan. Dan juga sentiasa bersyukur dalam apa jua keadaan yang kita lalui. Tak kira kita dalam keadaan susah, senang, tercabar dan macam-macam lagi. Dan ketiga , kita sentiasa ceria, gembira, senyum je selalu. Insya-Allah, dengan senyuman ini kita akan dapat menarik lebih banyak benda yang baik dalam dunia kita.
Dengan jadual yang harian padat, adakah Abang Abu berasa penat dalam menjalankan tugas seharian?
Sebenarnya, bila kita mempunyai matlamat yang jelas dan bila kita buat sesuatu dengan suka dan minat yang mendalam, tak ada perasaan penat. Sebaliknya, ia sebenarnya menyeronokkan, memberi semangat. Bila banyak (kerja), saya lagi bersemangat. Ia memberikan saya semangat untuk terus buat lagi banyak (kerja). Jadi, saya rasa penat ini akan datang bila saya tak ada kerja (ketawa). Bila saya tak buat apa-apalah, saya penat.
Saya mempunyai matlamat hidup – bagi saya, apa yang saya buat ini adalah perjuangan hidup saya. Saya juga jadikan benda ini sebagai ibadah. Bila you beribadah, penat ke? Tak penat. You akan lagi suka, lagi syok. Jadi, saya jadikan apa yang saya buat ini sebagai satu ibadah saya dan juga satu perjuangan saya. Kedua-dua ini memberikan saya semangat.
Pada pandangan Abang Abu, apakah yang ditakrifkan sebagai "Jutawan Awesome"?
Apabila saya dengar perkataan "Jutawan Awesome", saya rasa "awesome" itu satu perkataan yang begitu luar biasa sekali. Seorang jutawan yang luar biasa, tak kira dari segi kejayaan yang dicapai, pengalaman yang mereka lalui, dan juga mengangani cabaran-cabaran yang mereka hadapi untuk mencapai status "Jutawan Awesome".
"Jutawan Awesome" juga orang yang (bekerja) bukan hanya untuk diri mereka sendiri tetapi juga mereka berjuang untuk menyampaikan sesuatu kepercayaan yang mereka ada kepada orang ramai.
Apabila saya dijemput (sebagai salah seorang panelis di Konvensyen Jutawan Awesome), saya mempunyai tekad untuk memberikan sesuatu yang saya percaya penting untuk menjadi seorang yang berjaya, insya-Allah.
Mengapa orang ramai perlu mempunyai impian untuk menjadi jutawan?
Saya rasa bukan perlu, memang kena. Ataupun mesti. Kehidupan kita ini, bila kita mencapai suatu tahap yang kita boleh katakan tahap kekayaan yang baik ini, kita mempunyai banyak pilihan. Kita tak terkongkong dalam sesuatu benda yang kita harus buat. Bila kita mempunyai kebebasan kewangan misalannya, kita mempunyai pilihan untuk memilih apa yang kita nak buat, dengan siapa kita nak buat, ke mana kita nak pergi dan sebagainya. Kalau kita bekerja, kita terkongkong. Kita hanya boleh buat kerja ini.
Tapi bila kita mempunyai kebebasan, kita boleh pilih. Saya nak main golf ke, saya nak main bola ke, saya nak menyanyi ke, suka hati aku (ketawa). Jadi saya rasa itulah kelebihan yang akan kita perolehi bila kita mencapai satu tahap sebagai apa yang dipanggil kebebasan kewangan. Di samping itu, kita boleh membantu lebih ramai orang, kita boleh berzakat. You know, macam-macam benda-benda yang very positive kita boleh buat bila kita capai tahap kebebasan kewangan.
Pada pendapat Abang Abu, adakah kewujudan lebih ramai jutawan penting dalam menyumbang ke arah kemajuan negara?
Bila semua orang banyak duit, bagus lah kan? Jadi tak adalah orang bergaduh sebab tak ada iri hati sebab semua orang kaya. Bila semua orang kaya, barulah kita boleh rasa yang kita ini berjaya. Pada saya, selagi masih terdapat orang yang memerlukan bantuan, memerlukan tempat perlindungan untuk tidur, untuk makan ...selagi kita masih berjumpa dengan orang sebegini, saya rasa kita belum berjaya. Selagi kita belum berjaya, kita harus memperbanyakkan lagi orang yang boleh membantu supaya kita boleh menghapuskan kemiskinan yang terdapat sehingga kini. Jadi saya rasa memang perlu untuk kita mewujudkan lebih ramai orang yang berjaya, yang boleh membantu masyarakat untuk menjadi satu masyarakat yang cemerlang.
Boleh bagi hint tentang apa yang Abang Abu nak sampaikan ketika Konvensyen Jutawan Awesome nanti?
Saya nak sampaikan benda-benda yang saya tak pernah sampaikan sebelum ini. Itulah kelainan yang insya-Allah saya nak buat dalam (Konvensyen) Jutawan Awesome ini; sesuatu yang saya belum bercerita kepada orang ramai. Sebab ramai orang tahu saya bermula daripada mana, apa pengalaman saya sebelum saya berjaya dan sebagainya dan orang juga tahu apa yang terjadi setelah saya berjaya, tapi dalam (konvensyen) ini saya nak terangkan apa yang berlaku dalam masa itu. Apa benda-benda yang telah saya lalui, benda-benda yang saya hadapi, cabaran, dari segi keluarga, dari segi orang ramai, kawan-kawan, sendiri, ... jatuh bangunnya saya. Pedih, pahit, manis, semua itu saya nak ceritakan – yang sebelum ini orang belum pernah dengar.
Inilah sebenarnya inti-inti yang menjadikan saya lebih baik dan baik dan baik dari segi menghadapi cabaran. Dalam (Konvensyen) Jutawan Awesome ini memang saya akan, insya-Allah, bercerita tentang benda yang ramai orang yang belum dengar dalam seminar-seminar yang lain sebelum ini.
Nak tahu dengan lebih mendalam bagaimana Abang Abu bangkit daripada lumpuh sehingga berjaya menggapai kejayaannya sekarang? Jangan lepaskan peluang menimba ilmu daripada beliau di Konvensyen Jutawan Awesome nanti. Layari www.jutawanawesome.com untuk maklumat lanjut.
Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!
