Versi: Bahasa Melayu

Ahad, 26 Mei 2013

 205 Pembaca Online

Dunia Pasaran dan Dunia Sosial

alt

Dalam kehidupan seharian kita, tanpa kita sedari sebenarnya kita hidup dalam sekurang-kurangnya 2 dunia yang berbeza. Dalam artikel ini saya akan menerangkan mengenai dua dunia ini dan dengan kefahaman ini, cara anda melihat kehidupan akan berubah dan anda boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik dengan mengetahui perkara ini, terutamanya jika anda seorang usahawan.

Dua dunia yang saya maksudkan adalah dunia sosial dan dunia pasaran.

Cuba bayangkan suatu hari anda dijemput oleh ibu mertua anda untuk makan malam di rumahnya. Anda pun pergi bersama isteri dan anda lihat ibu mertua anda menyediakan masakan yang pelbagai jenis. Terdapat ikan patin masak lemak, ayam sambal berlada, nasi beriyani kambing, sayur-sayuran, tomyam seafood dan pelbagai masakan lain.

Anda menjadi sangat seronok dan anda makan sepuas hati makanan yang sangat sedap ini. Anda juga sedar bahawa untuk menyediakan semua ini, ibu mertua anda mungkin perlu bekerja sepanjang hari sejak dari pagi untuk menyediakannya.

Setelah selesai makan malam yang hebat ini, anda cuba menghargai ibu mertua anda dengan berkata

"Mak, makanan hari ini sangat sedap, boleh saya tahu berapa yang saya perlu bayar untuk semua ini ? " soal anda dengan jujur.

"Cukup tak jika saya bayar RM 100 ?" tambah anda lagi mungkin untuk meringankan beban ibu mertua anda.

Anda tentu tahu pada waktu itu, muka ibu mertua anda akan menjadi merah padam dengan kemarahan dan mungkin dia akan terus menangis jika dia seseorang yang lembut. Jika lebih teruk, anda akan dihalau pada rumah itu dan disumpah seranah supaya tidak datang lagi.

Apa yang berlaku di sini? Tidakkah anda cuba menjadi seseorang yang jujur yang cuba membalas budi ibu mertua anda? Kenapa reaksi ibu mertua anda begitu teruk terhadap perkara ini?

Inilah yang saya maksudkan dengan dua dunia yang kita hidup iaitu dunia pasaran dan dunia sosial.

Dalam situasi di atas terdapat pertembungan antara dua dunia ini. Anda berada di dunia sosial dan kemudian anda cuba untuk menukarkannya menjadi dunia pasaran. Pertembungan dua dunia ini jarang membuahkan hasil yang baik.

Jika dua dunia ini diasingkan ianya akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Contoh kedua pula, jika anda berminat dengan seorang gadis ini dan anda mengajak gadis ini keluar minum. Setelah gadis itu bersetuju, anda keluar dengan gadis ini pada setiap hujung minggu. Seperti kebanyakkan remaja lain, anda keluar pergi tengok wayang, berjalan-jalan di taman dan minum di tempat-tempat yang istimewa.

Setelah 5 kali anda keluar dengan gadis ini, anda masih belum pasti samada gadis ini menyintai anda ataupun tidak. Masih belum ada apa-apa reaksi positif daripada 'pelaburan' anda. Cinta anda masih belum disambut oleh gadis ini.

Pada kali ke-6 anda membuat keputusan untuk bertanya secara terus terang. Maka anda pun berjumpa gadis ini di sebuah kafe dan menerangkan kepada gadis ini mengenai RM 50 yang anda belanjakan setiap kali berjumpa gadis ini.

Jadi selepas 6 minggu kos keseluruhannya sudah mencecah RM 300.

"Jadi, adakah awak sudah mula mencintai saya ?"

Pada saat anda bertanya perkara ini pada gadis itu, anda telah melangkaui sempadan dunia sosial merentasi ke sempadan dunia pasaran. Anda tentu tahu reaksi gadis tersebut pada waktu itu. Jika anda tidak bernasib baik, anda tentu akan disimbah oleh teh tarik yang diminum gadis tersebut.

Disini juga sudah pasti dua dunia ini tidak boleh bertemu.

Contoh yang ketiga pula adalah apabila anda perlu mengalihkan sofa di rumah anda dan anda panggil jiran anda dan mintak dia tolong alihkan sofa itu. Jiran itu akan datang dengan senang hati untuk membantu anda.

Katakan anda jemput jiran anda dan beritahu "Boleh mintak tolong alihkan sofa di rumah saya tak? saya akan bayar awak 2 Ringgit."

Andakah anda fikir jiran anda akan menerima duit itu? Mungkin jiran anda tidak akan membantu anda langsung.

Sebagai manusia, dari hari ke hari kita perlukan sedikit sebanyak bantuan orang lain samada untuk mengalihkan sofa atau untuk membantu menukar tayar di tepi jalan jika tayar kereta kita bocor.

Kaedah yang lebih baik adalah mengekalkan sesuatu ini terus dalam dunia sosial tanpa memasuki dunia pasaran. Memasuki dunia pasaran dengan cara yang tidak betul akan mengundang padah.

Anda boleh mengatasi ini dengan memberikan hadiah yang pasti lebih dihargai berbanding dengan bayaran wang. Walaupun secara rasionalnya wang sebenarnya lebih efektif.

Jika kita perhatikan kebelakangan ini kebanyakkan syarikat-syarikat juga cuba untuk menunjukkan mereka berada dalam dunia sosial dengan berselindung di sebalik dunia pasaran.

Mereka mewar-warkan slogan-slogan seperti

"Sentiasa Bersamu", "Teman Anda Sepanjang Masa", "Rakan Niaga Anda"

Di atas adalah contoh-contoh slogan dunia sosial yang cuba digunakan di dunia pasaran. Ini adalah disebabkan kesetiaan adalah faktor yang sangat penting dalam perniagaan.

Pelanggan tidak akan setia jika anda hanya bercakap dengan mereka dalam dunia pasaran. Mereka akan lari daripada anda jika mendapat harga yang lebih murah di tempat yang lain.

Manakala, dalam dunia pasaran sepenuhnya pula anda perlu ada had untuk norma-norma sosial.

Katakan anda ingin membeli sebuah kereta dari rakan anda dan apabila anda bertanya harga, rakan anda mengatakan "tak apa la, aku bagi harga murah-murah".

Setelah anda bersetuju dengan harapan harga yang akan diberi oleh rakan anda itu murah. Pada waktu untuk menandatangi dokumen tukar hak milik anda baru mengetahui harga yang rakan anda letakkan itu jauh lebih mahal dari harga pasaran.

Pada waktu itu anda akan merasa tertipu dan mungkin pada waktu tu sudah terlewat untuk anda menarik-balik persetujuaan anda. Hubungan anda dan rakan anda tidak akan menjadi sebaik dulu.

Jadi dalam menjalankan urus niaga yang melibatkan dunia pasaran. Anda perlu transform memasuki dunia pasaran. Anda boleh berterus terang dengan rakan anda mengenai perkara ini. Ini adalah lebih baik daripada anda melukakan persahabatan.

Jadi kewujudan kedua-dua dunia ini sangat penting untuk kita sedari sebelum menggunakannya dengan baik dalam kehidupan seharian kita. Dengan ini, kehidupan anda akan menjadi lebih bermakna dan anda akan bercakap dengan bahasa yang betul pada individu yang betul.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Shahabudeen Jalil adalah seorang usahawan dalam bidang import dan eksport, selain itu beliau juga seorang konsultan yang melatih usahawan lain untuk memborong terus dari sumber terutamanya dari China. Beliau juga telah mengasaskan sebuah portal untuk usahawan membuka dan berniaga secara online di internet. Layari shahabudeenjalil.com



Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!