Perjalanan Menuju Perkahwinan

alt

Berusaha Meraih Kebaikan

Saya mula membuka mulut pada mak ayah, ‘memohon’ untuk berkahwin pada usia 19…awal tak?

Ketika itu saya di tahun-tahun awal bergelar pelajar UiTM Shah Alam. Antara faktor yang mendorong saya untuk berkahwin awal ialah, saya membuat mini research untuk subjek Kaunseling ketika itu, bertajuk Early Marriage Among University Students.

Hasil kajian ringkas itu, banyak penemuan [baca: perkongsian] menarik dari mereka yang ditemuramah. Mereka yang ditemuramah kebanyakannya adalah mereka yang berkahwin ketika masih belajar.

Saya terdorong dengan tujuan sebahagian mereka memilih berkahwin awal, iaitu untuk: cemerlang.

Akan tetapi, pada usia ‘sementah’ 19 tahun itu, saya membuka topik perkahwinan dengan mak ayah kerana telah ada seorang lelaki baik yang berhajat menjadikan saya isterinya. Alhamdulillah.

Dia tua setahun dari saya [20 tahun usianya ketika itu]. Dia meminta saya menyampaikan kepada ibubapa hasrat kami bernikah. Dan alasan saya (kami?) untuk cepat bernikah waktu itu, sama seperti kebanyakan kalian, ingin menjaga hati dan mengelak maksiat :)

Abah, I want to talk about marriage...” Itulah ungkapan pertama saya sebaik abah menuruti permintaan saya malam itu untuk berbual secara privasi dengannya.

Tuhan saja yang tahu betapa bergeloranya hati saya dan terasa di badan peluh ketakutan seram sejuk untuk mengeluarkan ayat pertama itu. Mana tidak berdebarnya, kerana tahu diri sendiri jauh dari kematangan dan kahwin bukan perkara main-main…

Dipendekkan cerita, sama juga seperti kebanyakan kalian, abah sangat sangat sangat sangat sangatkeberatan untuk membenarkan setelah saya menjelaskan hasrat kami itu. Tepat seperti yang saya jangkakan.

Namun itu tidaklah memudarkan hasrat saya, kerana sedikit sebanyak saya sudah mencari dan bersedia untuk mengasah skil berbincang dengan ibu ayah.

Setelah beberapa fasa perbinjangan dan sesi memujuk orang tua, abah akhirnya bersetuju, walau pun tak semudah itu untuk dia akur dengan kehendak kami.

Akan tetapi… takdir ALLAH mengatasi segala perancangan lain, di satu ketika ada perkara lain yang memutuskan pertalian kami, jodoh terhenti di situ. Alhamdulillah ‘ala kullihal.

[Lelaki yang baik itu kini telah bertemu jodoh dengan seorang perempuan yang baik lagi bijak, bakal menerima cahaya mata pertama, insyaALLAH. Moga keberkatan melimpahi hidup kalian :)]

Pelajaran penting yang ingin saya kongsikan dengan kalian, bersedia lah menjadi matang walau pun hati terasa kecil dan kerdil untuk ‘meminta izin’ menikah dari ayahbonda tercinta. Jangan sesekali membentangkan hasrat pada mereka dengan emosi melulu.

Jangan putus asa, jangan merajuk dengan mak ayah bila rundingan pertama tidak berjaya. Realitinya, proses ke arah pernikahan itu perlu beberapa siri perbincangan, malah harus banyak kali, dari hati ke hati dengan ibu ayah untuk memelihara keharmonian suasana, bukan asyik kita berbincang berdua dengan si dia yang dah melekat di jiwa.. :)

Jangan mudah melabel mak ayah ‘tak faham’ sebelum kita bersungguh lagi berhikmah memberi faham kenapa kita ingin berkahwin awal, ketika usia muda dan masih belajar.

Ya, antara kalian ada yang mudah mendapat sokongan dan dorongan ibu bapa, tapi lebih banyak yang payah.

Teruslah berdoa tulus, tingkatkan negotation skills dan yang paling penting, jaga lah akhlak dengan ibu bapa. Agar mereka memberi izin bernikah dengan redha dan lapang dada, bukan mengizinkan kerana kita hentak-hentak kaki nak berkahwin. Atau mereka mengizinkan kerana kita dah sebulan ‘memboikot’ ibu ayah sendiri dan menunjuk muka merajuk.

 

Jangan Sesekali Berputus Ada Dalam Kebaikan

Selepas gagalnya proses pernikahan pertama, saya ‘diam seketika’. Tapi, seperti juga kalian, hasrat bernikah sentiasa ada di hati. Jadi dengan lafaz Bismillah, saya mengambil langkah melamar calon yang seterusnya…

[nampak desperate kah..? hmm takpe desperate dalam menambah wasilah mencari cinta ALLAH :) ameen.]

Ya, saya yang melamar lelaki baik itu. Bukan seorang, tapi dua orang. Satu ‘lamaran saya’ diterima, satu lagi ditolak…

“Hmm bagaimana saya boleh melamar..? Saya tak malu ke melamar lelaki..?”

Malu. Pasti malu.. . Apatah lagi saya tidak sebagus kalian.

Seperti mana bergeloranya hati saya ketika kali pertama membuka mulut untuk berbincang dengan mak ayah, begitulah gelora hati saya ketika melamar dua lelaki baik itu.

Malah lebih hebat gelora cemas dan debarnya. Mungkin lebih hebat dari gelora lautan yang membawa banjir terburuk di utara Malaysia tika ini.

Tapi dalam setiap episod proses lamaran ini, kesamaannya ialah saya berusah berusaha berusaha untuk benar-benar menyerahkan hati pada DIA yang Maha Menentukan Segala. Tanpa DIA, tak mungkin. Tak mungkin saya sanggup melalui semua itu pada usia ‘semuda’ 19 tahun dan kemudiannya melamar pula di awal usia 20an. Opps…jangan lamar dengan cara murahan, buatlah dengan penuh izzah dan kehormatan.

Dalam masa yang sama, dalam berharap pada DIA yang menentukan jodoh manusia, saya dan kalian perlu bersungguh MENCARI dan MENJADI calon jodoh yang baik.

Manisnya bila ‘lamaran saya’ diterima salah seorang lelaki baik itu.

Tetapi sekali lagi, rencana Allah yang terbaik antara semua.

Walaupun mak abah telah merestui dengan calon seterusnya ini, adik saya di Mesir dah bersemangat membeli tiket pulang untuk kononnya meraikan pernikahan kakaknya ini, perjanjian saya dengan lelaki itu terputus. Kami bukan ditakdirkan bersama.

Saya ‘kembali diam’. Merenung hikmah di sebalik semua ini.

Kemudian, sewaktu saya berkira-kira untuk melengkapkan borang Baitul Muslim sebagai usaha mencari jodoh yang seterusnya, saya menerima lamaran.

 

Taqdir Di Hujung Usaha 

Menjadi isteri kedua- bukan mudah untuk merespon pada lamaran berpoligami itu. Dengan titis air mata, saya mohon sangat sangat sangat pada ALLAH, bantulah saya membuat keputusan di atas nilai hidup yang saya pilih - nilai dakwah dan tarbiyyah (D & T).

Ya Allah.. Saya baru bertatih di jalan mulia D & T ini, jangan biarkan saya jatuh terperosok hanya kerana saya ingin berteman seperti insan lain. Saya memilih D & T kerana saya ingin berubah menjadi lebih baik di sisi Allah, jua ingin mengajak orang lain menjadi baik. Justeru, siapa pun dia yang ALLAH tentukan menjadi suami saya, moga ada ruang untuk keberterusan D & T.

Saya memilihnya, dan sesungguhnya ALLAH lah yang memilih lelaki terbaik itu untuk saya meneruskan hidup ini bersesuaian dengan usaha dan nilai hidup yang dipilih. InsyAllah.

Dan kini, ALLAH izinkan saya bergelar isteri kedua – dalam alam rumahtangga yang berseri dengan kemanisannya dan makin teguh dengan kepahitan cabarannya..

Saya bernikah pada usia 25 tahun, 6 tahun selepas saya mula pertama kali membuka mulut tentang pernikahan pada abah.

Nampakkah realitinya di sini…? Kita mahu dan merancang berkahwin awal, tapi ilmu ALLAH terlalu agung dalam menetapkan liku perjalanan hambaNYA.

Berusahalah kalian, seperti mana selama 6 tahun itu saya berusaha untuk memiliki hubungan lelaki perempuan yang halal. Persiapkanlah diri, janalah ekonomi, carilah ilmu menjadi suami dan isteri.. Pernikahan sungguh ruang cinta terindah yang ALLAH titipkan dalam kehidup seorang insan.

Inilah sebahagian kisah seorang saya yang ingin bernikah halal, kelihatannya payah namun sebenarnya banyak kemudahan dan pertolongan ALLAH di sepanjang proses itu. Di kalangan kalian yang telah bernikah awal pula, ada yang kelihatannya mudah namun saya percaya kalian juga punya cabaran yang tersendiri dan kesulitan untuk diatasi.

Semoga perkongsian ini tidak lain dapat membuka pandangan dari satu sisi lain kehidupan. Yang bermanfaat, harap disebarkan. Yang salah, mohon ditegur agar dapat diperbetulkan.

- Artikel iluvislam.com

 

Biodata Penulis

Nurul Adni Adnan dilahirkan 22 September 1984. Puteri sulung ayahbonda tercinta, Adnan Abdul Manap dan Normah Sabar. Anak ketiga dari sembilan beradik. Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kini menetap di Meru, Klang. Telah berumahtangga dan diamanahkan seorang cahaya mata. Beliau berkongsi karya di http://sisi-kehidupan.blogspot.com

Penulis

Artikel Terkini

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas