Madukanlah Aku
Isu poligami seringkali diperdebatkan. Ia juga menjadi salah satu isu yang diperjuangkan oleh Sister In Islam. Masalah yang berlaku dalam membicarakan isu ini adalah kebanyakan wanita suka bercakap menggunakan emosi bermula dari orang awam hinggalah para ustazah dan pendakwah.
Manakala segelintir para ustaz pula suka menjadikan ia sebagai bahan senda gurau yang tidak bermotif dalam ceramahnya. Impaknya, ia menyebabkan berlaku fahaman yang salah tentang poligami.
EMOSI VS HUKUM ALLAH
Semasa sedang menonton perlawanan piala Malaysia pasukan ‘peteh ganu peteh’ menentang pasukan ‘hoben jang hoben’, si suami menyatakan hasrat hatinya untuk ‘membuka cawangannya’ yang baru.
Si isteri dengan suara tegas berkata:
”Abang, dalam beribu-ribu ayat al-Quran, sudahkan abang melaksanakan semua suruhan dan menjauhi semua larangan sebelum abang mahu mengaplikasikan ayat ini?”
وَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا تُقۡسِطُواْ فِى ٱلۡيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثۡنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَۖ فَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا تَعۡدِلُواْ فَوَٲحِدَةً أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡۚ ذَٲلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُواْ
Maksudnya : Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin Dengan mereka), maka berkahwinlah Dengan sesiapa Yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan Yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
(Surah An-Nisa 4: Ayat 3)
Sang suami pula membalas:
”Inikan sunnah Nabi! Berani awak mempertikaikan. Apa salahnya, ayat itu terang lagi bersuluh membenarkan poligami. Lagi pun abang nak ‘masuk’ Islam secara keseluruhannya. Ini kan sebahagian daripada apa yang disyariatkan Islam.”
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِى ٱلسِّلۡمِ ڪَآفَّةً۬ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِۚ إِنَّهُ ۥ لَڪُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ۬
Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam agama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 208)
Situasinya, setiap pihak saling berhujah dan mencari apa jua dalil bagi menyokong tindakan dan pendapat masing-masing. Begitu juga situasinya apabila saya membicarakan isu poligami dengan beberapa orang.
Ada yang terusan melabelkan lelaki berpoligami dengan bermacam label. Jarang ia dibicarakan dalam konteks ilmiah dan adil pada kedua-dua belah pihak.
DENGARKANLAH WAHAI WANITA
Tarik nafas, kosongkan minda, buangkan sementara dahulu segala kisah-kisah buruk poligami yang pernah anda dengar dan fikirlah satu persatu apa yang bakal diutarakan :
1) PEN dan PENCIPTA PEN
Pen dicipta untuk menulis. Maka, jika ia digunakan oleh saya, anda, kamu , mereka untuk kegunaan lain dan akhirnya rosak. Siapa yang harus dipersalahkan? Pencipta pen atau orang yang menggunakan pen tersebut dengan cara yang salah?
Begitu juga dengan pensyariatan poligami. Ia disyariatkan oleh Allah S.W.T dan mengandungi hikmah-hikmahnya yang tersendiri. Maka, jika ia disalahgunakan oleh manusia yang menyalahgunakan hukum tersebut, siapa yang harus dipersalahkan? Tuhankah? Atau manusia yang menyalahgunakannya?
Maka, kita wajib beriman bahawa poligami itu adalah syariat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T, cuma kadangkala terdapat kecacatannya pada pengaplikasiaannya dalam masyarakat kita hari ini.
2) Andai kita ditempat mereka
Setiap yang disyariatkan mustahil sia-sia. Masakan kita lebih mengetahui dari yang menciptakan kita. Cuba kita fikirkan, kakak anda sudah berumur lewat 30-an, berkereta, mempunyai rumahnya sendiri, pendek kata semuanya lengkap tetapi masih belum berkahwin.
Mak cik anda pula beranak lapan, beberapa hari lepas suaminya ditimpa kemalangan dan meninggal dunia. Hidupnya dirasakan gelap, tenaga empat keratnya tidak dapat menampung memberi nafkah pada anak-anaknya.
Maka, itulah antara hikmah disyariatkan poligami oleh yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui segala-galanya.
3) Anda mahu yang mana?
Disebabkan Allah S.W.T juga yang Maha Mengetahui dan Allah S.W.T juga yang mencipta makhluk yang bernama lelaki maka disyariatkan poligami. Jika anda isteri yang solehah dan bercita-cita bercinta hingga ke jannah-Nya, maka mana yang anda mahukan?
Sama ada suami anda bermain kayu tiga di belakang anda dengan perempuan lain dengan ikatan yang tidak sah disebabkan kita seorang isteri yang terlalu ‘garang’ dan tidak boleh dibawa berbincang, atau berdiplomasi dan mereka diikat dengan ikatan yang halal?
Ia tak semudah yang diperkatakan tetapi ia boleh menjadi kenyataan apabila Iman didahulukan lebih daripada perasaan.
4) Fahami makna adil
Dalam Islam, adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka apabila mengatakan suami tidak adil, pastikan makna adil juga difahami dengan sebaiknya agar tidak salah meletakkan hukum tidak adil pada tempatnya.
DUHAI PARA LELAKI, KHALIFAH DI MUKA BUMI ALLAH,
Ketahuilah bahawa kami para wanita tidak sesekali menafikan hukum hakam Allah S.W.T, tetapi yang menjadi titik persoalan adalah pada pengaplikasiannya.
1) Berpoligamilah atas rasa Takwa
Benar takwa menjadi kunci utama. Seorang pensyarah di universiti saya berkongsikan beberapa tips. Tunjukkan ketokohan anda sebagai seorang suami dari segi ibadah, akhlak dan, segenap sudut bukan sekadar mengaku dan menggunakan kuasa anda sebagai ketua keluarga dalam bab nafkah dan berpoligami sahaja.
Ingatlah, junjungan besar berpesan :
“Barangsiapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu dia condong kepada yang satu dari yang lain, nanti dia datang di hari kiamat dengan menyeret sebelah lambungannya dalam keadaan senget atau berat sebelah.”(Riwayat Ashabussunan, Ibnu Hibban dan Hakim)
Maka, kahwinlah satu, dua, tiga atau empat jika ia didasari atas rasa takwa dan takutlah pada azab Allah S.W.T jika anda tidak mampu berlaku adil.
2) Hayati hikmah disyariatkan poligami
Saya merasakan tidak perlu menghuraikan secara panjang lebar. Pesanannya, ambillah Nabi Muhammad S.A.W sebagai ‘role model‘ terbaik. Jangan hanya sekadar melaungkan poligami adalah sunnah Nabi tanpa memahami dan mengimplementasi hikmah sebenar disyariatkan berpoligami. Impaknya, hikmah sebenar pensyariatan iaitu merawat masalah dalam masyarakat tidak dapat direalisasikan.
3) Ukur Baju di badan sendiri
Kawan anda beristeri dua, anda pun mahu beristeri dua. Hakikatnya kemampuan setiap individu adalah berbeza. Antara garis panduan yang ditetapkan oleh Islam adalah mempunyai kemampuan dari segi nafkah makan, minum, pakaian dan tempat tinggal.
Manakala adil dalam meletakkan perasaan sayang termasuk dalam perkara yang dimaafkan syarak kerana ia adalah perasaan yang lahir sendiri daripada dalam diri insan .
MARI HARMONIKAN KEADAAN KERANA KITA DICIPTAKAN UNTUK SALING MELENGKAPKAN DAN MEMIKUL AGAMA ISLAM.
Saya tidak tahu, jika suatu hari nanti saya sendiri ditakdirkan dan ‘dipilh’ Allah S.W.T untuk berpoligami. Kerana barangkali akan ada yang berkata:
” Ini tulisan budak bujang hingusan yang belum mengenal asam garam kehidupan.”
”Anda belum pernah merasa peritnya dimadukan.”
Apa pun yang berada difikiran anda, niat saya hanyalah untuk memberi pemurnian, bahawa apa yang disyariatkan Islam itu sangat indah, tetapi menjadi kurang indah apabila muslim baik lelaki atau perempuan tidak mengikut atau tergelincir daripada landasan Islam.
Keduanya, membuat pemurnian bagaimanakah cara membetulkan persepsi negatif tentang poligami dengan memainkan peranan masing-masing. Para pendakwah haruslah menghentikan fenomena sindir menyindir dan bias pada gender masing-masing.
Yang lelaki membantai wanita yang disifatkan menjadi penghalang pada apa yang dibenarkan syarak. Yang perempuan pula membantai lelaki dengan tuduhan menyalahgunakan apa yang dibenarkan syarak.
Hentikan perdebatan emosi. Para penceramah lelaki seharusnya memberi peringatan pada kaumnya sendirinya tentang tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul apabila beristeri dua, tiga atau empat, bukan hanya sekadar memberi galakan berpoligami.
Manakala para penceramah wanita pula sentiasa memberi peringatan pada kaum wanita tentang rahmat yang dibawa Islam dalam pensyariatan poligami bukannya menambahkan lagi persepsi negatif yang sudah tersedia ada.
Mungkin apabila isu poligami diharmonikan, satu hari nanti tanpa dipinta, si isteri pula yang akan berkata:
”Madukanlah aku demi menyelamatkan agamamu dan saudara perempuanku.”
Biodata Penulis
Nur al Farhain Bt Kamaruzaman merupakan seorang graduan Universiti Mu’tah, Jordan. Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran sarjana di UKM dan menulis di blog http://farhainkamaruzaman.blogspot.com.
Komentar (0)