Apakah yang kita fahami tentang kronologi atau urutan cinta dan kasih sayang? Hampir seminggu kebelakangan ini saya dihubungi oleh seorang adik yang belum pernah saya temui secara langsung namun dia begitu banyak berjasa pada saya.
Beliau adalah antara insan yang membantu saya dalam kerja-kerja 'proof reading' artikel-artikel saya yang diterbitkan di pelbagai jurnal akademik di persada antarabangsa. Kami sangat rapat walaupun hanya sekadar berbual di alam maya – melalui medan Facebook, sms dan terkini 'WhatsApp' yang menjadi penghubung bicara kami.
Beliau merupakan mantan pensyarah salah sebuah IPTA di tanah air yang mengkhusus dalam bidang pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Suka saya memfokuskan konteks 'mantan' di sini kerana adik ini meletakkan jawatannya sebagai pensyarah oleh sebab kecintaan dan rasa tanggungjawab kepada ibunya yang sedang gering menderita sakit buah pinggang.
Dia berkorban kerjaya atas restu suami (yang bekerja sendiri) kerana dia rasa terpanggil untuk menjaga ibu tatkala saudara kandungnya tidak ada yang mampu berbuat demikian atas dasar komitmen. Kebetulan mereka suami, isteri dan anak memang tinggal serumah bersama ibu.
Biarlah saya panggil adik ini dengan pangilan "V".
Saya pernah mengalami dilema ini. Semasa arwah mak sakit diserang strok dan masing-masing di kalangan kami enam beradik mempunyai komitmen kerjaya, manakan mungkin kita dapat meluangkan masa sepenuhnya walau setinggi mana rasa kasih kami pada arwah mak.
Mujur ada Angah yang memang sudah bersara awal. Dialah yang banyak mengambil endah bagi pihak kami berlima. Dan untuk itu kami sangat terhutang budi dengan Angah.
Jadi saya memang maklum akan betapa payah perihnya bila V mengorbankan kerjayanya demi ibu. Dan beban ekonomi rumah tangga diletakkan penuh pada suaminya yang bekerja sendiri.
Saya rasa semua maklum bukannya mudah hidup di tanah air, terutamanya di Kuala Lumpur, berbekalkan satu sumber pendapatan. Sedangkan tirisnya penuh cabang dengan pelbagai komitmen kewangan yang perlu ditanggung seperti makan pakai isteri dan anak-anak, hutang dan lain-lain.
Semua ini sanggup V lakukan tatkala tidak ada satu pun di kalangan adik-beradik mahu menyahut tanggungjawab menjaga ibu yang menderita sakit buah pinggang dan seringkali memerlukan perhatian bagi rawatannya dari segi temujanji, dialisis, rawatan susulan, pemakanan dan urusan seharian.
"Hebatnya V. Bukan senang apa yang V buat ni. Tambahan pula V anak perempuan, punya tanggungjawab pada suami dan anak-anak. Apa kata suami V?" tanya saya dalam satu sesi WhatsApp tak berapa lama dulu.
"Tak apalah, abang Naz. Suami V sokong apa yang V buat ni walaupun dia terpaksa usaha lebih untuk kukuhkan ekonomi keluarga. Kerja lewat malam, tengah malam baru pulang menjengah kami anak beranak.
"Esoknya pagi-pagi keluar lagi. Waktu hujung minggu dikorbankan untuk kerja-kerja part time. Dia tak pernah mengeluh Abang Naz. V bersyukur sangat dapat suami yang memahami."
Tenang sahaja saya baca untaian bait-bait ayat yang tertera di kaca skrin telefon bimbit saya.
"Apa motivasi V sebenarnya? V kan ada abang kandung? Tak kongsi beban ini dengan adik beradik lain? Yang lelaki terutamanya? Tanggungjawab kepada mak ayah bagi anak lelaki tak putus walaupun mereka dah berumahtangga, V."
Lama saya nanti sebelum terpapar jawapannya di telefon bimbit saya.
"Takpelah, Abg Naz. Biarlah V aje yang berkorban untuk ibu. Lagipun daripada kecil lagi V sentiasa rasa V anak yang kurang bantu ibu, kurang membanggakan ibu. Sebab tu V sentiasa nak usaha buktikan pada ibu yang V seorang anak dapat banggakan ibu, berbakti pada ibu.
"Abang Naz tahu tak? V sangat kurang dapat perhatian, pengiktirafan dan pujian daripada ibu walaupun V seringkali berjaya buktikan yang V usaha yang terbaik dalam hidup V.
"Dari sekolah rendah, sekolah menengah, di universiti baik ijazah mahupun sarjana. Tatkala V terima anugerah pelajar terbaik, walaupun ibu hadir di majlis penyampaian hadiah dan konvokesyen, semasa ramai ibu bapa dan teman-teman mengkalungkan ucap tahniah pada V dan ibu, ibu tak pernah ucap tahniah pada V.
"Tapi V tak pernah rasa kecil hati, Abang Naz. V anggap yang ibu sahaja nak uji V agar terus cemerlang dalam hidup. V yakin. Satu hari mesti V dapat banggakan ibu. Apa yang V perlu lakukan adalah terus-terus berusaha untuk cabar diri ini untuk terus menggapai langit."
"Satu hari nanti mesti ibu akan bangga dengan V."
Alangkah berbezanya denai yang V lalui berbanding saya.
Masih saya ingat, bila di sekolah dulu, arwah ayahlah orang yang pertama sibuk ke sekolah berjumpa cikgu kelas dan guru besar di Ulu Yam bertanyakan keputusan peperiksaan saya.
Arwah ayahlah yang sibuk bangga dan ceritakan pada arwah mak bila keputusan peperiksaan keluar walaupun yang tak rasmi yang bangganya dia bila saya menjadi pelajar terbaik di sekolah.
Arwah ayahlah yang sibuk menaiki bas ke Kuala Lumpur dari Ulu Yam berusaha sedaya upaya membelikan saya hadiah untuk disampaikan oleh YB Adun semasa majlis penyampaian hadiah di sekolah saya.
Arwah ayahlah yang sibuk meminta arwah mak menggosok baju batik istimewanya untuk dipakai di kesemua majlis penyampaian hadiah di sekolah di mana dia duduk di hadapan sekali bangun bertepuk tangan ketika cikgu pengacara majlis mengumumkan nama saya sebagai pelajar terbaik keseluruhan di sekolah.
Arwah ayahlah yang sibuk bertanyakan siapakah guru sekolah yang bakal menjadi pengacara majlis hari penyampaian hadiah kerana dia mahu menjadi sukarelawan membantu pelaksanaan majlis berkenaan atas rasa bangganya pada kejayaan saya di sekolah.
Arwah ayahlah yang sanggup bersusah payah menyewa kereta sapu (kerana keluarga kami tidak mampu memiliki kereta) untuk diletakkan basikal chopper siap diikat reben di bahagian bonet untuk disampaikan YB Adun semasa majlis penyampaian hadiah kecemerlangan akademik di sekolah dulu.
Tapi di sebalik penghargaan arwah ayah ini pada saya, seringkali saya marahi dia. Selalu saya kata dulu kenapa arwah ayah nak malukan saya dengan beria-ria membelikan hadiah untuk disampaikan di majlis-majlis itu.
Pernah saya kata pada arwah ayah, "Kenapa ayah buat macam ni, ayah? Malunya kat kawan-kawan. Ayah nak tunjuk kat orang kampung yang anak-anak ayah pandai, ya?
"Bagi kat rumah aje tak boleh? Kenapa nak tunjuk-tunjuk kat orang semua?"
Arwah ayah hanya tersenyum bila saya lontarkan kata-kata sebegitu.
Entah kenapa hati saya buta. Buta pada kasih sayang dan penghargaan yang dia cuba tunjukkan. Buta pada kebesaran hatinya yang bangga melihat anaknya berjaya diiktiraf di sekolah atas kejayaan akademik kerana dia hanya seorang konstabel polis dan dia mahu anaknya lebih berjaya daripadanya.
Hati saya memang BUTA! (Sebak...)
Apa yang V nyatakan ini benar-benar menyentuh hati saya kerana situasinya 180 darjah berbeza daripada apa yang saya lalui.
V nyatakan lagi kepada saya.
"V harap sangat ibu happy atas pengorbanan V ni bang. V nak berbakti pada ibu. Ini tanggungjawab V. Doakan V diberi kekuatan ya, bang?"
Itu perbualan terakhir kami beberapa bulan lalu.
Semalam saya terima mesej di WhatsApp dari V.
"Bang. Ibu halau V dari rumah selepas Subuh, bang."
Saya tersentak.
"Kenapa, V?" pantas saya menjawab mesej itu.
"V beritahu ibu yang V tak dapat nak teman dia ke hospital hari ini kerana suami V diminta ibu mertua untuk uruskan hal ayahnya di hospital. Selama ni V tak pernah kata tidak pada ibu.
"V mintak adik beradik lain bantu V. Seorang pun taknak bantu. V mohon sangat. Abang tahu apa adik beradik V kata kat V?
"Mereka marah V. Mereka kata V mengungkit-ungkit yang V jaga ibu. Mereka kata, 'Siapa yang suruh kau berhenti kerja untuk jaga ibu?' Mereka kata mereka sibuk dan ada urusan lain.
"V dah tak tahu nak mengadu kat siapa dah bang. Suami V syurga V, bang. Tanggungjawab suami V pada ibu bapa dia tu syurga dia. Banyak dah dia berkorban untuk ibu dan adik beradik V.
"Derhaka ke V kat ibu bang? V tersepit antara suami dan ibu."
Saya tahu ada nada sayu dalam mesej tanpa intonasi yang dia titipkan. Saya tahu derita dan dilema yang ditanggungnya. Lama saya berfikir sebelum saya balas mesej itu. Ini jawapan saya,
"V, kita kena tahu hierarki cinta, V. Abang ada dengar dalam ceramah Ustaz Pahrol. Hierarki cinta seorang anak lelaki adalah pada:
1. Allah SWT
2. Rasullullah SAW
3. Ibu bapa
4. Isteri dan anak-anak
"Manakala bagi perempuan, ini hierarkinya:
1. Allah SWT
2. Rasullullah SAW
3. SUAMI
4. Ibu bapa
"Jika V ikut hierarki ini, V faham tangungjawab yang perlu V pikul. Tidak ada konteks derhaka dalam apa yang V lakukan. Ustaz Pahrol juga beritahu seorang isteri itu tidak akan ditanya tentang suaminya untuk masuk syurga berbanding suami.
"Suami nanti akan ditanya akan apa yang dibuat dan dilakukan si isteri di dunia kelak kerana isteri adalah amanah yang dipertangungjawabkan ke atasnya. Sebab tu kalau V baca dalam kitab-kitab agama, Asiah isteri Firaun adalah penghulu wanita di syurga kelak walaupun suaminya Firaun adalah insan paling jahat di dunia.
"Jangan mengeluh, V. Kalau V rasa V susah dengan dugaan ni, V renunglah kesusahan anakanda Rasullullah SAW, Fatimah AzZahra.
"Hidup dia penuh dengan dugaan dan kesusahan. Tapi di syurga kelak dia di antara empat wanita terunggul. Ambillah contoh ini dan jadikan panduan.
"Lihat juga bagaimana Saidatina Khadijah berkorban untuk suaminya, Rasullullah SAW. Belajarlah tentang cinta Khadijah pada Rasullullah SAW. Pasti kita peroleh petunjuk dan hidayah, insya-Allah.
"Fahamilah hirarki cinta ini, V. Ikhlaslah dalam menghadapi dugaan ini. Jangan niatkan apa yang V lakukan ini kerana insan. Ikhlaslah kerana cinta V pada Allah SWT. Semuanya bakal jadi ibadah."
Itu balasan mesej saya kepada V.
Banyak yang boleh kita ambil iktibar daripada cerita dari hati yang V kongsikan ini:
1. Tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa bukan jatuh pada satu individu semata-mata. Bukan bermakna jika salah seorang antara kita sanggup berkorban untuk memikul tanggungjawab ini yang lain boleh lepas tangan semata-mata.
2. Tanggungjawab ini kena sama-sama kita pikul dan tanggung terutamanya pada anak LELAKI. Jika kita anak lelaki faham dan ambil endah konteks hierarki cinta ini. Kita yang lelaki ini yang patut ambil peranan sebagai ketua mengepalai tanggungjawab kepada ibu bapa dan bukannya outsource kepada saudara perempuan kita.
3. Ibu bapa: mohon fahami juga konteks hierarki cinta ini. Anak-anak perempuan kita hierarki cintanya lebih kepada suami selepas mereka bernikah. Sebagai ibu bapa memang mudah sangat kalau kita nak terguris hati, kan?
Saya mohon sangat, maafkanlah anak-anak kita, ya. Restu ibu dan ayah membawa ke syurga. Barakah daripada restu ibu dan ayah ini bukan kepalang hebatnya. Tidak ada satu pun ibu dan ayah yang mahukan anak-anaknya ditimpa kesusahan baik di dunia mahupun akhirat.
Jika anak perempuan mahukan sedikit ruang untuk berbakti pada suaminya, restuilah ya, kerana syurga mereka dibawah lembayung redha suami.
4. Kepada semua, fahamilah hierarki cinta ini. Terutamanya, dua yang pertama. Kadangkala, apabila kita tersasar dalam meletakkan fokus cinta kita pada hierarki yang betul, pada itulah kita dilanda gundah dan jiwa tidak tenteram.
Peringatan ini saya tujukan pada diri saya juga kerana kita manusia sering alpa dan terlupa pada hak yang perlu kita utama dan sempurnakan.
Semua cinta kita yang lain hanya akan menjadi lurus kalau ia disesuaikan dengan hierarki ini. Cinta pada pasangan, anak-anak, sanak saudara, handai taulan, sahabat karib, harta dan sebagainya hanya akan menjadi lurus jika ia berada dalam ruang besar yang bernama cinta pada Allah SWT. Perasaan kita harus didukung dalam struktur cinta seperti itu.
Moga perkongsian dari hati adinda V saya ini dapat memberikan sejalur sinar pada mereka yang mengalami dilema yang sama. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kan?
Moga kita diberi kekuatan dan hidayah daripada sedikit perkongsian ini.
Wallahua'lam.
P.S: Saya rindu pada arwah mak dan ayah. Moga mereka damai di sana. Amin.
Biodata Penulis
Mohd Nazali Mohd Noor merupakan pensyarah di School of the Built Environment, Liverpool John Moores University (LJMU), United Kingdom. Beliau berkongsi karya di http://www.facebook.com/mohdnazali.
Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!
Cerita Dari Hati: Hierarki Cinta...