, ,

Anak Harapan Abah

Pernah suatu malam di mana aku mengikuti abahku ke tempat kerjanya.

Lantas abahku bertanya kepadaku perihal adik bongsuku yang bernama Izzul Islam. Abahku menanyakan kepadaku tentang sekolah yang sesuai dan terbaik untuk Izzul.

“Kakak, pada pendapat kakak, sekolah mana yang bagus untuk Izzul nanti. Memandangkan tahun ini dia bakal mengambil UPSR, penting bagi abah untuk memikirkan soal ini. Kakak rasa di Ipoh ataupun Sekolah Maahad Yahyawiah yang di Padang Rengas yang sesuai?” Tanya abahku.

Lalu aku menjawab, “Abah, akak rasa lebih baik sekolah di Ipoh sahaja. Sebab Izzulkan anak bongsu. Nanti abah rindu pada Izzul. Susah nanti abah nak lawat Izzul dekat Padang Rengas. Ianya mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga jam untuk sampai ke sana.”

“Bukan soal rindu ataupun tidak, tapi soal pembelajaran agama yang penting. Abah nak Izzul belajar mata pelajaran agama seperti Tafsir, Tauhid, Sirah, Hadis dan banyak lagi. Selain itu, Sekolah Maahad Yahyawiah mempunyai kelas aliran Tahfiz. Abah nak seorang dari anak abah supaya jadi penyelamat di akhirat nanti. Itu matlamat abah sebenarnya,” balas abah.

Terdiam aku tatkala abahku memberi sebegitu rupa jawapan dari mulutnya yang sememangnya berbaur harapan yang sangat tinggi di mana mahukan seorang Al-Hafiz di dalam keluarganya.

Ya, memang aku pernah memasang niatku tetapi akanku tunaikan jua hasratmu abah. Walaupun abah pernah meletakkan harapan di bahuku, namun aku gagal untuk memenuhi hasratmu itu.

Aku malu. Aku kesal dan kecewa dengan sikapku sendiri. Abah, akanku cuba sedaya upayaku untuk memenuhi hasratmu kini meskipun engkau telahpun meletakkan hasrat murnimu itu di bahu adikku. Akanku tunaikan. InshaAllah.

“Assalamualaikum, pak cik datang ni!” Teriak pak cik saudaraku.

“Ya, waalaikumussalam.” Sahut abahku.

Lalu, abahku menjemput pak cik saudaraku sekeluarga masuk ke rumah. Ibuku menjemput mereka masuk lantas ibuku menyuruh aku menghidangkan sedikit juadah petang.

Sedang leka berbual, secara tiba-tiba pak cik saudaraku berkata, “Untung kamu ada anak yang bijak-bijak belaka. Boleh tolong bila dah besar nanti.”

Aku tertanya-tanya akan jawapan abahku…

Sambil senyum abahku membalas, “Semua itu rezeki mereka, mereka yang usahakan. Kita hanya mampu mendoakan mereka. InshaAllah, boleh tolong di dunia dan di akhirat juga.”

Perkataan ‘akhirat’ itu membuatku terpanar kerana aku terus ingat akan harapan serta hasrat abah kepadaku dahulu.

Aku berasa sebak lalu aku menguatkan nekadku untuk memenuhi hasratnya.

Semoga dengan niat dan harapan abahku untuk menghantar anaknya yang bongsu berbuah hasil.

Semoga adikku mampu menjadi seorang Al-Hafiz yang bukan sahaja ilmu di dada tetapi mengamalkannya di dalam kehidupan sehariannya.

“When you learn something, you must learn with your heart. You need to learn for Ummah. Learn must because of Allah S.W.T. So you will ease to study, you will enjoy and you will like a person who thirsty with the knowledge.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muna Izzati. Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.