Warkah Rahsia

alt16hb Jun 2002.

Saya terjumpa sepucuk surat, terselit di celah-celah halaman buku catatan saya. Ungkapan ‘Khas untuk Ummi’ tertera di belakang surat tersebut.

Dari gaya coretannya, saya tahu ia ditulis oleh anak perempuan saya yang baru berusia 11 tahun.

Ke hadapan Ummi, ia bermula.

Saya menulis surat ini kerana saya terbaca satu kisah di dalam sebuah artikel berjudul ‘Anakku, Kawanku.’

Saya rasa sebagai kawan, penting bagi kita untuk meluahkan perasaan masing-masing. Mula-mula saya mahu menulis e-mel kepada Ummi, tetapi saya bimbang Ayah akan terbaca nanti. Bukannya saya tak benarkan Ayah membacanya, tapi saya rasa ini adalah perkara peribadi di antara ibu dan anak perempuannya.

Saya terfikir mungkin cara terbaik untuk berkomunikasi dengan seorang ibu yang mempunyai enam orang anak ialah melalui surat kerana Ummi boleh membacanya pada bila-bila masa. Sukar saya nak bersembang dengan Ummi sendirian. Adik-adik dan Abang asyik mencelah! Tapi saya tak marah. Saya faham semua itu.

Ummi,

Kalau ada perkara yang Ummi mahu berkongsi dengan saya, tulislah surat ya!

Salam sayang, Alia.

P/S. Surat ini rahsia antara kita berdua. Jangan lupa untuk membalasnya!

Alia sayang, saya membalas suratnya.

Apabila barang-barang kita tiba dari Oman sebulan yang lepas, Ummi cepat-cepat mencari dua beg plastik, satu putih dan satu lagi berwarna kuning. Beg-beg itu sebenarnya mengandungi sebahagian daripada barang-barang Ummi yang paling berharga.

Kesemuanya hasil kerja tangan anak-anak Ummi. Kad Selamat Pulang yang Alia, adik-adik dan abang-abang buat untuk menyambut Ayah semasa dia pulang dari luar negara, kad ucapan terima kasih untuk Ummi dan Ayah kerana ‘menjaga, menghargai dan mengasihi kami semua. Ummi dan Ayahlah ibu dan bapa yang terbaik di dunia ini’ … dan banyak lagi.

Surat Alia Ummi akan simpan bersama-sama dengan barang-barang tersebut. Ummi pasti tersenyum setiap kali membaca semula surat-surat dan kad-kad itu.

Betul kata Alia tu, Ummi memang seronok setiap kali menerima surat daripada anak Ummi! Melalui surat, kita dapat berkongsi pelbagai kisah yang mencuit hati. Jadi, teruskanlah menulis surat kepada Ummi ya!

Petang itu juga, saya terjumpa lagi sepucuk surat yang terlipat kemas, diselitkan di celah buku catatan saya.

Ummi yang dikasihi,

Saya gembira kerana Ummi menemui dan membaca surat saya pada hari yang sama saya menulisnya. Saya tahu Ummi pasti membuka buku catatan Ummi setiap hari. Saya yakin itulah tempat terbaik untuk saya letakkan surat itu, agar Ummi menemuinya.

Alia.

Selama ini saya tidak pernah terfikir betapa sukarnya bagi Alia, yang mempunyai dua orang abang dan tiga orang adik lelaki untuk mendapatkan perhatian saya. Maklumlah, dia terpaksa berebut masa saya dengan adik-beradiknya yang lain.

Untuk beberapa tahun selepas itu, kami jarang berutus surat. Alia semakin sibuk dengan pelajaran dan kawan-kawannya dan kami lebih banyak berbual dan bercerita di ruang tamu, di dalam kereta atau di dalam biliknya.

Suatu hari, saya membaca semula surat-suratnya yang lama dan memutuskan untuk menulis nota ringkas kepadanya.

Alia,

Alia ingat tak masa kita selalu berutus surat dua tahun lalu? Masa tu Alia belum lagi menjadi gadis belasan tahun! Apa kata kalau kita berutus surat semula seperti dulu?

Ummi yang dikasihi, dia membalas surat saya.

Sekarang, saya tak kisah lagi menjadi satu-satunya anak perempuan Ummi. Saya ada bilik sendiri dan tak perlu berkongsi dengan orang lain (he he …). Dulu, saya runsing bila melihat adik-adik dan abang-abang asyik bermain permainan lasak, tetapi sekarang saya sudah biasa dengan suasana ini. Saya dah sesuaikan diri. Lagipun, mereka melayan saya dengan baik dan saya memang gembira yang kami semua ni adik-beradik.

Salam sayang,

Alia.

[NOTA: Petikan daripada buku IBU KOOL BAPA HEBAT, halaman 113 – 118.]

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Jamilah Samian adalah seorang Trainer Profesional Terlatih (CPT) yang ditauliahkan oleh Institut Pengurusan Malaysia. Beliau juga merupakan Neuro Linguistic Programming (NLP) Practitioner berdaftar dengan American Board of NLP. Jamilah adalah penulis buku IBU KOOL BAPA HEBAT, ANAK LELAKI KOOL DAN HEBAT dan THE GROOVY GUIDE TO GEN Y AND Z. Layari laman web beliau di http://www.myriadventures.biz dan http://www.coolmumsuperdad.com

Penulis

Artikel Terkini

  • Sepi
  • Screen Shot 2014-04-18 at 12.06.56 PM
  • Screen Shot 2014-04-17 at 1.51.48 PM
  • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas