Versi: Bahasa Melayu

Jumaat, 24 Mei 2013

 279 Pembaca Online

Halaman: Puisi Kreatif Pertunanganku

Pertunanganku

alt

Di saat aku dirisik olehNya
Aku seperti kanak-kanak kecil yang manja
Tidak mengenal apa-apa
Ketika itu aku hanya tahu mengikut kehendakku sendiri
Keputusanku bergantung pada apa yang terbaik dan ku sukai
Pada risikan itu
Sedikit pun tiada ragu bertamu

Setelah beberapa ketika
Aku berada di satu tempat yang indah
Bagiku tempat itu ibarat satu taman syurga
Yang dihiasi dengan kehijauan pokok-pokok muda
Sekelilingnya terbentang sebidang sawah 
Di tepinya sebuah tasik tempat ikan bersuka ria
Ooh ! Alangkah indahnya... 
Jauh dari kota

Pada hari itu
Di situlah tempat ku
Bersama janji yang ku ikat padu
Yang mana pada saat itu
Aku bukan lagi seperti dulu
Yang hanya mengikut kehendak hati
Kerna ku tahu syaitan akan mempengaruhi

Bertunjangkan satu kefahaman
Dan berbekalkan keikhlasan
Pada hati ku sebatikan pengharapan
Andai tiada segalanya
Juga sunyi dari kehendakNya
Mungkin aku bukan di sini adanya

Di saat aku melafazkan janji
Manik-manik jernih mengalir di pipi
Terasa debaran menjadi tamu hati
Ku bisikkan pada diri
'insyallah' ini pilihanku, ini taqdirku
Moga inilah yang terbaik buatku

Aku bersyukur kepadaMu Ya Ilahi
Kerna Engkau telah memilih diri 
Berada di dalam perjuangan ini
Harapan dan doa menemani tiap denyutan nadi
Moga Allah memelihara dan menjaga hati ini
Agar terus istiqamah dan cekal diri

Dan inilah hari yang sangat bermakna
Setelah aku bertunang dengan sebuah perjuangan!
Moga Allah memakbulkan doa-doa 
'Ansorullah' di setiap medan perjuangan 
Dan akan termeterailah sebuah perkahwinan 
Setekah ku syahid di jalanMu Ya Allah...

Pada saat itu tiba
Yang menjadi suatu tarikh rahsia
Yang hanya Allah Maha Mengetahuinya
Yang penuh debar kan terasa
Yang kan menjadi tanda sejarah
Sebagai pertemuan abadi dengan segala 'Raja'

Semoga sepanjang tempoh pertunanganku ini
MardhotillahNya menemani hari-hari yang bersisa
Dan moga diri tetap istiqamah
Meniti sebuah kehidupan menuju Rabbi

- Artikel iluvislam.com

 

Biodata Penulis

Syazwani Binti Jusoh merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda di universiti tempatan. Seorang hamba yang masih bertatih mencari erti makna sebuah perjuangan,pengorbanan dan ketulusan hati dalam menggapai redha ALLAH SWT. Berkongsi karya di http://sitinursyazwanimj.blogspot.com



Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!