Dia menguis-nguis dedaun kering di perdu pohon ara itu dengan hujung kasutnya. Terasa lemah segala sendi. Pandangannya kabur. Sekali-sekala ada setitik dua air jernih yang membasahi tanah permai itu. Hawa yang sejuk di bawah pohon yang rimbun itu seperti sudah tidak terasakan. Kicauan beburung sudah tidak seriang dahulu. Langit mendung mengandung awan larat yang tidak sabar mahu menumpahkan air matanya. Begitulah jua di dalam hatinya.
******************************
"Assalamu'alaikum ya ahlil kubuuuurrr....!!" Fauziah menepuk bahu Sakinah yang sedang ralit membaca di meja studynya. Hampir-hampir terpelanting Al-Quran di tangannya dek kerana terkejut dengan kehadiran teman sebiliknya yang datang entah dari mana itu.
"Ya Allah, engkau ni Fauziah... Cubalah ketuk pintu tu dulu. Ini tahu-tahu sahaja ya ahlil kubur. Nasib baik aku tak ada sakit jantung tahu," Sakinah membebel-bebel sambil mengurut dadanya.
"Ish kau ni, cubalah jawab salam aku itu dulu. Berdosa tahu, tak jawab." Fauziah tersengih-sengih sambil melayang-layangkan sekeping sampul berwarna merah jambu lembut di muka Sakinah.
"Iyalah... Wa'alaikummussalam ya ahlil kubuuurr..."
"Amboi engkau. Dah pandai ya sekarang. " Fauziah menjeling. Sakinah mengekek-ngekek.
"Betul apa? Engkau sendiri yang cakap aku ni ahlil kubur. Kaupun samalah. Bukankah kita memang semakin hari semakin mendekati kubur?" Sakinah tergelak kecil sambil tergeleng-geleng.
"Iyalah. Betullah tu. Aku gurau ajelah. Hah, ini, aku ada sesuatu yang nak diberitahu ni", jelas Fauziah sambil menarik kerusi lalu duduk di meja study di sebelah Sakinah.
"Apa dia sayang? Macam penting sangat je ni."
"Ni haa, kau ingat tak, kak Masyitah, anakandanya Dr. Ahmad Tajuddin, dekan Kuliah Ilmu Wahyu, yang belajar di Jepun itu?"
Dahi Sakinah berkerut-kerut.
"Alah. Dulu dia pernah datang sini masa program akhawat masa cuti semester lepas. Yang kau kata kau minat dia tu, yang kau kata zuhud tu. Ingat tak?"
"Oh. Haa, mestilah ingat. Kenapa dengan dia? Dia nak pindah belajar sini ke pulak?"
"Ish, mengarut je kau ni. Bukanlah. Ni haa, dia dah nak kahwin. Tadi budak-budak kelas aku edarkan kad jemputan ni. Majlisnya hari Sabtu ini. Jomlah pergi."
"Wah, bertuahnya dia. Dahlah zuhud, cantik, anak dekan pulak tu. Siapa pengantin lelakinya? Mesti orang hebat-hebat jugak kan."
Fauziah tersenyum sampai ke telinga, lalu dia membaca pada kad walimah itu, "Wasif Husnuddin bin Abdul Muhaimin. Eh, ini bukan ke....."
Sakinah tersentak. Hilang senyum di wajahnya. Perlahan-lahan dia mengambil kad daripada tangan sahabatnya itu.
Wasif Husnuddin. Siapa yang tidak kenal nama itu? Imam yang menjadi sebutan di fakultinya. Lelaki yang menjadi rebutan. Kepalanya serasa berat.
Lekas-lekas dia letakkan kad itu di atas meja. Cepat-cepat pula dia melangkah keluar daripada biliknya meninggalkan Fauziah yang masih terpinga-pinga tidak ketahuan.
Sakinah berlari-lari anak menaiki anak tangga di asramanya. Dia menuju ke bumbung, di situlah tempat dia selalu berbicara dengan Tuhan, dengan bulan, dan dengan bintang.
************************************
Sakinah terkenang kembali waktu kecilnya. Dia anak yatim, ibunya telah lama meninggalkan dunia yang fana ini. Kata orang, ibunya meninggal sewaktu melahirkannya. Ada juga dia mendengar kata nista orang bahawa dia itu anak luar nikah. Ayahnya hilang entah tidak ketahuan. Ibunya ditinggalkan sewaktu dia masih di dalam kandungan.
Tetapi waktu itu dia masih terlalu kecil untuk memahami semua itu. Dia belum mengerti tentang semua umpat keji orang. Hatinya terlalu bersih untuk dikotorkan dengan permainan dunia.
Sekarang dia sudah dewasa. Usianya telah lewat 24 tahun. Sejak itu, dia dipelihara oleh neneknya yang dipanggilnya tok wan hinggalah dia menginjak ke usia 18 tahun. Waktu itu, neneknya pergi dijemput Ilahi. Sedihnya bukan kepalang. Sudahlah ditinggal bapa, tiada beribu, nenek kesayangannya pula pergi saat dia masih butuhkan perhatian.
Waktu itu, jiran sebelah rumah neneknyalah yang selalu menjenguk dan mengambil berat tentang hal kebajikannya. Itu sajalah satu-satunya keluarga di kampung Permatang Gading yang sanggup menjaganya. Boleh dikatakan hampir keseluruhan orang-orang kampungnya tidak sukakan keluarganya kerana ibunya yang dikatakan kahwin lari dengan bapanya sewaktu usianya masih muda.
Kejadian seumpama itu dianggap sebagai "menconteng arang ke muka", suatu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Berapa ramai orang kampung yang mengamuk dan memaki hamun tok wannya kerana tidak pandai mendidik anak. Dia masih ingat kejadian di mana rumah tok wannya pernah dipalit dengan najis dan diconteng dengan perkataan-perkataan kesat. Pernah juga tok wannya balik ke rumah dengan berdarah kaki kerana ditolak hingga jatuh oleh budak-budak kampung.
Hatinya benar-benar tersayat apabila mengenang itu semua. Deritanya dia, hanya Tuhan saja yang tahu. Keluarga pakcik Muhaimin dan makcik Khadijahlah yang selalu membantu dia dan Tok Wannya. Merekalah yang selalu membela dia dan Tok Wannya apabila orang-orang kampung yang lain memulaukan. Selepas Tok Wannya meninggal, merekalah yang memujuknya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tatkala dia hampir-hampir sudah putus asa.
Orang yang paling terkesan pujukannya waktu itu ialah anak tunggal pakcik Muhaimin, Wasif Husnuddin.
Wasiflah teman dia bermain pondok-pondok, masak-masak dan ting-ting sejak kecil. Wasiflah temannya buat berbalah. Wasiflah juga yang selalu melindunginya daripada dibuli oleh budak-budak kampung, baik di rumah, di bendang, di sekolah, atau di mana-mana saja.
Wasif Husnuddin. Semasa kecil dialah sahabat sejatinya. Dialah yang telah dianggapnya sebagai abang dan pelindungnya.
*************************************
"Sakinah... Kau OK ke?" Lembut Fauziah memujuk. Dia faham benar tentang keakraban sahabatnya itu dengan Wasif yang juga teman sekuliahnya itu. Yang dia tahu, Wasif itu hanya dianggap setakat 'abang' saja, kerana Sakinah tidak pernah pula menceritakan apa-apa selain daripada itu.
Sakinah masih lagi menyembamkan mukanya ke bantal tidak mahu berpaling.
"Aku OK. Jangan risau. Aku cuma kecil hati sebab abang Wasif tak pernah bagitahu aku tentang ini. Mak dengan ayah diapun sama. Diam-diam je, tup-tup je dah nak kahwin." Lambat-lambat Sakinah menjawab dari dalam bantal.
Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!
Dan Kutemukan Cinta Sejati - Bhgn 1