Shamsul Qamar – Belia Perlu Berani Rebut Peluang

altBerbual bersama anak muda ini seolah-olah kami sudah kenal lama. Walaupun pertemuan baru beberapa minit. Peramah, senang diajak berborak dan mesra antara ciri yang ada pada anak muda ini. Pemilik nama Shamsul Qama A. Rani graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, senang diajak berbual apa-apa juga topik.

Politik, isu semasa hinggalah kepada permasalahan belia semuanya boleh. Inilah anak muda dan belia harapan bangsa. Berjiwa besar dan berani mendepani cabaran negara. Mungkin masih ramai belia seusianya mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan kerjaya, tetapi bagi jejaka berasal dari Kedah ini pula, berani dan bijak merebut peluang.

“Peluang hanya datang sekali seumur hidup. Kalau kita masih takut-takut untuk mencuba dan masih takut-takut untuk ke depan sampai bila-bila pun kita akan berada di takuk lama. Belia harus berani mencuba. Tetapi harus mencuba dan merebut peluang yang terbaik. Tidak boleh lalai dalam melakukan percaturan untuk masa depan,” kata Shamsul Qama.

Katanya lagi, disebabkan itu jugalah dia tidak melengahkan tawaran yang datang kepadanya. Beralih daripada bidang peguam kepada Pegawai Khas Media, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah adalah satu keputusan dan pilihan berani yang dilakukannya. Selain itu juga, Shamsul sendiri mahu buktikan bahawa pemikiran belia ataupun sesiapa juga hari ini tidak boleh terlalu statik. Tidak semestinya belajar dalam bidang undang-undang maka kerjayanya adalah peguam sahaja. Ilmu itu fleksibel. Apa yang penting, bagaimana memanfaatkan ilmu yang ada. Tidak guna ada ilmu tetapi tidak digunakan kepada jalan yang betul.

“Sebelum ke jawatan sekarang, saya adalah seorang peguam dalam bidang perbankan Islam di sebuah firma guaman terbesar di rantau Asia. Itu jugalah cita-cita saya sejak di sekolah menengah lagi dan alhamdulillah saya berjaya mencapainya. Walaupun tidak lama dalam bidang ini, tetapi saya dapat merasai keindahan dan kehebatan bergelar seorang peguam. Jadi apabila tawaran datang kepada saya untuk beralih bidang, saya fikir inilah masanya untuk saya mencuba yang lain daripada bidang kepakaran saya. Saya cuba mencabar diri sendiri melakukan sesuatu yang lain dan berbeza. Alhamdulillah amanah yang diberikan berjaya saya laksanakan. Ini juga antara proses pembelajaran,” jelas Shamsul penuh semangat.

Pernah Bergelar Pendebat Universiti

Shamsul Qama antara pendebat yang berjaya di universitinya. Menurutnya, kebolehan dalam bidang ini dikesan ketika dia masih di sekolah menengah lagi. Katanya ketika itu dia belajar di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah.

“Orang yang bertanggungjawab membawa saya ke dalam bidang ini adalah guru bahasa Melayu saya iaitu Cikgu Abdul Rashid Othman. Dialah yang mengenal pasti bakat saya dan beri peluang kepada saya untuk mewakili sekolah hingga sekolah saya yang tidak pernah terkenal pun dalam debat muncul johan Bahas Piala Perdana Menteri pada tahun 2000. Ketika itu kami berjaya  mengalahkan Kolej Melayu Kuala Kangsar,” ceritanya mengimbau kenangan. Sejak daripada itulah, dia mula berjinak-jinak dalam bidang ini hinggalah dia menyambung pengajian di UIA.

“UIA mempunyai tradisi alumni yang cukup kuat. Di UIA, saya belajar debat bukan sekadar pertandingan. Ia adalah seni yang sentiasa hidup. Ramai yang bertanggungjawab membentuk karektor saya sebagai pendebat di UIA.  Antaranya,  Encik Mohd Khair Ngadiron (sekarang Pengarah Urusan ITNM) dan Encik Madzlan Mohammad Hussain (Peguam Senior). Saya harus sebut nama mereka kerana mereka bawa impak besar terhadap cara saya berfikir. Hari ini saya adalah jurulatih debat untuk pasukan UIA. Saya gembira dapat menyumbang balik ilmu yang saya ada pada masyarakat,” kata anak muda yang berwawasan ini.

Menurutnya lagi, kemahiran debat bukan sekadar bonus untuk berjaya dalam apa jua kerjaya tetapi sudah menjadi keperluan. Di institut pengajian tinggi (IPT) hari ini pun sudah diperkenalkan kemahiran debat sebagai salah satu daripada lapan teras penting dalam kokurikulum bermodul. Menurutnya lagi dalam apa jua kerjaya, kemahiran debat amat penting. Debat melatih seseorang itu untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Orang yang bejaya hari ini selalunya memiliki kedua-dua kemahiran ini.

Kerjaya ‘High Profile’

Ramai orang beranggapan kerjaya ini glamor dan ‘high profile’ kerana sentiasa berdampingan orang-orang besar (VIP). Mungkin itu bukan motivasi Shamsul untuk berkhidmat dengan seorang ahli politik. Bunyinya seakan klise, tetapi baginya, dia mahu turut menyumbang ke arah menjadikan Malaysia negara yang lebih baik dari pelbagai aspek.

“Saya anggap kerjaya saya sebagai ‘national service’. Sebab itu saya mungkin tidak akan berkhidmat dengan sembarangan ahli politik. Saya harus yakin dengan perubahan yang ingin mereka bawa sebagai ahli politik. Saya harus nyatakan di sini Dato Saifuddin Abdullah pada saya adalah seorang bos, sifu, dan kawan.” jelasnya bersemangat.

Menurutnya lagi, selain tugas-tugas media, dia juga diberi tangungjawab menjaga hal ehwal generasi muda. Ini tangungjawab cukup besar. Dari segi politik, belia adalah 49.7 peratus yang bakal mengundi pada PRU13. Sebab itu semua parti plitik berlumba-lumba meraih sokongan mereka sekarang. Dari segi sosial, golongan ini mempunyai banyak permintaan yang tidak semuanya difahami dan dipenuhi. “Mereka adalah golongan yang kompleks yang harus didekati. Orang kata kalau sentiasa dengan orang muda, kita pun jadi muda. Jadi saya seronok dengan bidang tugas saya. Ia beri saya cabaran berbeza setiap hari,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kerjaya ini juga membuka matanya mengenai perwatakan dan perangai setiap manusia itu adalah berbeza. Ia sekali gus memberi pengalaman dan mematangkan dirinya dalam berhadapan dengan pelbagai ragam manusia setiap hari. Itu kadang kala memberi tekanan dalam soal kerja. Tetapi harus bijak menanggani semua itu.

“Sentiasa percaya setiap orang berbeza, pandangannya, caranya, dan latar belakangnya. Kalau kita gunakan cara yang sama untuk semua orang yang kita jumpa, maka kita akan hadapi masalah. Falsafah “one size fits all” tidak boleh digunakan dalam komunikasi. Kemudian, letakkan diri kita di tempat orang yang kita jumpa. Maka kita akan cepat memahami keadaannya. Misalnya, cara golongan muda berinteraksi tidak sama dengan golongan yang lebih berumur. Pendekatan yang salah akan membawa masalah pada komunikasi. Paling utama, elakkan diri daripada cepat menghukum. Itu cara yang sentiasa saya gunakan untuk mengelakkan tekanan dalam bekerja,” katanya lagi.

Berkongsi Isu-isu Belia

Apa-apa juga pekerjaan akan memberi pengalaman yang berbeza-beza. Ada pahit dan manis. Begitu juga dengan kerjayanya. Dan satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan olehnya ialah apabila terpilih antara delegasi ke Amerika Syarikat.

“Antara yang tidak boleh dilupakan iala sewaktu berpeluang mewakili belia Malaysia baru-baru ini ke Program Pelawat Kepimpinan Antarabangsa (IVLP) di Amerika Syarikat selama tiga minggu membabitkan 20 negara pelbagai benua. Pengalaman itu cukup mahal untuk saya. Ia membuka mata saya mengenai banyak perkara terutamanya kepentingan golongan muda terlibat dalam sistem demokrasi. Saya juga berpeluang berkongsi isu-isu belia di Malaysia dan saya cukup bangga bila masyarakat antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam yang ‘moderate’,” jelas anak muda ini.

Peluang itu mungkin jarang sekali datang dalam hidup kita. Jadi ia tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Selama hampir sebulan di sana, Shamsul belajar banyak perkara mengenai dunia belia. Dan katanya ada perkara yang Malaysia sudah ke depan dan ada lagi yang perlu dipertingkatkan demi kepentingan belia negara. Dan belia Malaysia masih dikira beruntung dan bernasib baik kerana golongan ini antara golongan yang mendapat perhatian daripada kerajaan.

Dan pastinya itu semua berkaitan dengan kebijaksanaan dalam pengurusan masa. Bercakap mengenai masa, sebagai anak muda, Shamsul tidak pernah mengabaikan waktu-waktu muda belianya hari ini hanya dengan kerjaya. Dia juga tidak meminggirkan hobi seperti anak muda lain.

“Saya tidak memisahkan naluri anak muda dengan kerjaya. Saya percaya pandangan dan cara saya sebagai orang muda adalah keperluan dalam kerjaya saya untuk mendampingi orang muda. Mungkin sebab saya masih muda, saya diperlukan untuk memperkukuh organisasi tempat saya bekerja sekarang. Saya juga bukanlah seorang yang begitu ‘adventurous’ atau punya minat-minat yang unik seperti kebanyakan orang muda. Jadi pada waktu lapang, saya lebih senang meluangkan masa bersama kawan-kawan, membaca buku atau menonton DVD,” akhirinya menutup bicara.

 

Rencana ini dimuatkan dalam tabloid iLuvislam edisi ke-52. Antara rencana menarik dalam keluaran minggu ini adalah :

    • Belia Perlu Berani Rebut Peluang
    • Antara Tanda-Tanda Kiamat Kecil Berdasarkan Hadis
    • Kembali Kepada Fitrah
    • Jangan Pinta Kematian Ayahmu
    • Redakan Kemurungan Dengan Pemakanan
    • Sedarkah Lelaki Tanggungjawab Mereka?
    • Gerbang Ibadah Ini Cara Kami Berjihad
    • Histeria!
    • Dan macam-macam lagi..

    Bagi mereka yang berminat menjadi stokis dan ejen tabloid iluvislam di IPT, sekolah atau pejabat (Semenanjung Malaysia sahaja) – anda boleh menghubungi pejabat kami di 03-42516702 atau 013-2442551.

    Bagi mereka yang mengalami masalah untuk mendapatkan tabloid di kedai berhampiran tempat tinggal masing-masing, anda boleh SMS secara specifik alamat rumah anda ke 013-2442551.

    Penulis

    Artikel Terkini

    • Sepi
    • Screen Shot 2014-04-18 at 12.06.56 PM
    • Screen Shot 2014-04-17 at 1.51.48 PM
    • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27

    Komentar (0)

    Tarbiyyah Kreatif
    Kembali ke Atas