Versi: Bahasa Melayu

Ahad, 19 Mei 2013

 129 Pembaca Online

Mencari Sinarmu

baby

Aku melontarkan pandangan ke dada langit. Sekelompok awan bergerak secara perlahan-lahan. Aku pejamkan kelopak mata, menikmati bunyi ombak yang memukul pantai. Kelihatan beberapa anak muda mandi-manda di tepi laut. Aku tersenyum sendirian melihat gelagat mereka di atas bangku yang menjadi tempat dudukku.

"Begitu kemas buatannya." Bisikku dalam hati mengagumi pembuat bangku ini.

Aku teringatkan sesuatu. Sesuatu yang aku cari selama ini. Sesuatu yang amat sukar untuk aku jelaskan dengan kata-kata. Aku mencari ketenangan. Aku mencari secebis nur yang akan sentiasa menerangi jalanku agar aku tidak tersilap langkah. Namun, sampai sekarang, nur yang aku cari masih gagal aku temui.

Jiwa aku terasa amat kosong dan gelisah. Aku sentiasa lalai dalam tanggungjawabku kepadaNya. Aku lupa kepadaNya. Aku amat jahil dalam hukum agama. Ini lah diri ku. Aku sibuk membetulkan kesilapan orang lain, sedangkan diri aku sendiri, aku leka memperbetulkannya.Kata orang-orang tua dahulu, "Kuman seberang laut nampak, kuman depan mata tak nampak".

Kadang-kadang aku tunjuk pandai kepada orang lain. Bicaraku, aku sulamkan dengan beberapa potongan hadis Rasulullah S.A.W. Tapi, aku sendiri tidak pernah mengamalkan hadis-hadis tersebut dalam hidupku.

Hipokritkah aku?
Riakkah aku?

 

Air mata mula membasahi pipiku. Aku telah banyak melakukan kesilapan dalam hidupku. Terlalu banyak hingga sukar untuk ku hitung. Terampunkah dosa-dosaku selama ini?

Teringat pada kata-kata seorang ustazah yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah tempat aku menimba ilmu. Katanya "Ingatlah pelajar-pelajar sekalian, walau seluas lautan atau setinggi arasy sekalipun dosa-dosa kita, jika kita benar-benar memohon keampunan kepada Allah. Allah pasti akan mengampunkan dosa-dosa kita kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

"Firman Allah yang bermaksud:- "Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat".Katanya lagi "Bersangka baiklah kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui." Tambah ustazah mengingatkan aku pada ayat Al-Quran yang dipetiknya dari surah An-Nashr ayat keempat.

Dan kata-kata itulah yang aku pegang sekarang. Allah itu Maha Pengampun dan aku harus bersangka baik kepada Allah. Aku berazam akan mencari nur itu. Aku tidak akan berputus asa. Aku percaya, suatu hari nanti aku akan temui jua apa yang aku cari selama ini.

Cumanya, hanya aku sahaja yang perlu bersabar dan terus mencari walau apa jua yang bakal melanda dalam mengharungi liku-liku hidup ini . Aku ingin mengenali penciptaku dan sentiasa sujud kepadaNya.

Tapi, siapakah yang dapat membantuku?

Masih adakah insan yang sanggup membimbingku ke jalan Allah?

"Ya, aku yakin dan aku percaya, masih ada insan yang akan sudi membantuku kerana Allah akan memberi kemudahan kepada hambaNya yang sentiasa ingin menuju ke jalanNya." Bisikku cuba mengumpul nilai positif dalam diri.

Matahari hampir tenggelam, bermakna waktu solat maghrib hampir tiba. Aku mendongak ke dada langit.  "Nur... Cahaya.. "

Aku mengukir senyuman. Senyuman yang amat bermakna sekali.  Aku akan terus mencari mu, NUR.

- Artikel iluvislam.com

 

Biodata Penulis

Kamalisasila binti Amran dan hanya ingin dikenali sebagai lisa sebagai nama pena beliau. 



Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!