Versi: Bahasa Melayu

Khamis, 23 Mei 2013

 762 Pembaca Online

Halaman: Motivasi Nikmat Hidup Dalam Memberi

Nikmat Hidup Dalam Memberi

ibu

Siapa yang inginkan peluang dalam hidup?

Mungkin itu bukan persoalan yang tepat barangkali. Saya susun semula soalannya ya?

Siapa rasa yang dalam hidup ini kita sangat kurang berpeluang untuk:

1. Mencipta nama?
2. Memperoleh rezeki yang lebih dari apa yang diperolehi selama ini?
3. Memperbaiki semula kesilapan yang pernah merugikan kita - dari segi material, kesilapan sesama insan, kesilapan dengan Allah Swt?

Pernah?

Semenjak dua hari lalu saya ke Kota Kinabalu atas urusan mengintai "PELUANG" perniagaan.

Tapi itu bukan urusan utama. Niat utama saya adalah untuk bersua teman-teman dari Kota Kinabalu yang selama ini begitu mesra di laman Facebook.

Teman-teman yang umpama adik beradik yang ukhuwwahnya kami bina dari laman sosial tanpa intonasi dan suara ini. Pelbagai persoalan berlegar dalam kotak pemikiran saya.

Bagaimana ya agaknya mereka ini? Agaknya bila berjumpa adakah semesra bicara di dinding maya? Dalam pada itu beberapa program turut disusul untuk kami terlibat dengan dua program kemasyarakatan di Kota Kinabalu.

Program pertama adalah lawatan di rumah anak-anak yatim Kota Kinabalu di Papar dan disusul program ke rumah insan kurang upaya dipanggil Tolumis.

Saya teruja! Teruja kerana dua perkara. Pertama kerana inilah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Sabah.

Sebetulnya melawat Sabah dan Kota Kinabalu merupakan impian saya dan Isteri.

Keduanya kerana inilah kali pertama saya berpeluang melawat dan melihat sendiri usaha-usaha mulia kakitangan di rumah kebajikan ini menangani pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasan mereka.

Saya sangat kagum dan yakin ini bukanlah satu tugas yang mudah. Jadi apabila sahabat saya Jude Ripin menawarkan saya untuk turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan ini pastinya ia peluang keemasan yang sukar saya tolak!Apa kaitannya nukilan kali ini dengan topik peluang yang saya utarakan di awal tadi?

Masih kabur kan urutan tulisan saya kali ini dengan fokus topik tadi?Semasa lawatan pertama saya di rumah anak-anak yatim tersebut kami diterima mesra oleh Puan Zalina yang merupakan penyelia rumah anak-anak yatim Kota Kinabalu.

Santai sahaja kami diberi taklimat tentang anak2 yang menjadi penghuni.

"Terdapat 64 anak-anak menetap di sini seawal usia 16 hari hingga ke 17 tahun. Mereka diasuh oleh beberapa kakitangan tetap dan shift. Mereka kita sekolahkan di sekitar daerah ini.

Bagi yang belum bersekolah, ada kakitangan yang menjaga mereka. Kesemua anak ini diberikan makan sebanyak 6 kali sehari".

Apa isu mereka di masukkan di sini ya Kak Zalina? Tanya saya mencelah.

"Macam2. Ada anak yatim piatu, orang susah, ada juga yang didera dan ada bayi yang dibuang di tepi longkang dan sebagainya" 

Hati saya tersentap. Saya kekang emosi kerana kehadiran  anak-anak dari usia 6 tahun ke 17  tahun masuk ke dewan seorang demi seorang mengambil tempat duduk. Saya diminta memberi sedikit perkongsian motivasi kepada anak-anak ini. Saya mulakan sesi perkongsian saya dengan soalan:

"Siapa nak berjaya dalam hidup?" Saya lihat sepantas kilat anak-anak ini mengangkat tangan.

Saya susul lagi dengan soalan; "Berjaya dalam hidup tu macam mana ya?"

Hening seketika dewan. "Kaya!" satu suara anak lelaki dari barisan belakang saya dengar." Banyak duit!" sambung seorang lagi anak di barisan hadapan.

"Bagus" kata saya. 

" Siapa nak banyak duit?" tanya saya.

Semua mengangkat tangan. Saya tersenyum

"Itu mungkin berjaya di dunia. Siapa mahu berjaya di akhirat dan dilihat Allah SWT sebagai insan yang berjaya di akhirat kelak?

Saya lihat anak-anak perempuan di dua barisan hadapan pantas mengangkat tangan. Kanak-kanak di barisan belakang berbisik-bisik sesama mereka sebelum mengangkat tangan.

Sekali lagi saya tersenyum. Saya teruskan bicara saya dengan sedikit ulasan dan motivasi. Beberapa wajah saya lihat tekun mendengar. Ada yang menyeka air mata.

Majlis itu ditamatkan dengan sesi bersalaman dengan anak-anak ini. Saya peluk erat anak-anak ini kerana ada yang seusia anak-anak saya yang telah hampir seminggu ditinggalkan di Liverpool. Kami dibawa pula ke ruang nurseri yang menempatkan anak-anak kecil seawal usia 16 hari hingga ke dua tahun.

Saya lihat terdapat sekitar 8 baby cot dan kebetulan seorang anak kecil comel sedang bermain-main ditemani seorang penjaga. Di sini Kak Zalina mula bercerita kisah seorang demi seorang anak-anak kecil ini.

Ada yang anak yatim piatu, ada yang anak kepada ibu pesakit mental dan yang menyedihkan apabila Kak Zalina bercerita mengenai kehadiran anak kecil hasil hubungan luar nikah seorang gadis berusia 16 tahun.

"16 tahun?" Saya terus terbayang wajah anak gadis saya Najwa yang berusia 15 tahun. Usia ibu kepada anak ini hanya berbeza setahun dengan Najwa. Saya dukung anak kecil ini. Dia mengeluh kerana tidurnya diganggu barangkali. Hati saya sangat sebak melihat akan jernihnya mata bayi ini.

Saya kucup pipi dan dahinya. Harum aroma bayi sememangnya haruman yang paling disenangi. Saya teringatkan Adam dan Awwab di rumah. Terus air mata ini tidak mampu ditahan.

 

Pelbagai emosi menerawang dalam kotak pemikiran saya. Kenapa begini jadinya? Kenapa sampai hati.

Kenapa sanggup buang? Saya perhatikan beberapa teman saya, Evy, Jude an Ivan turut sama menyeka pipi menahan perasaan apabila satu persatu kisah bayi ini dirungkai Kak Zalina. Sempat saya kucup pipi dan dahi anak-anak ini sebelum kami melangkah pergi.

Kami dibawa ke bilik seterusnya di mana anak-anak antara usia 3-5 tahun ditempatkan. Sebaik sahaja bilik dibuka kanak-kanak ini dengan penuh ceria menyambut kehadiran kami seolah membeli-beli untuk mencuri perhatian kami.

Ada yang menunjukkan lakaran dan lukisan berwarna dengan beberapa batang pena warna di tangan. Sekali lagi Kak Zalina bercerita kisah seorang demi seorang anak-anak ini.

Namun kisak seorang anak lelaki kecil seusia Adam (2 tahun lebih usianya) benar-benar menyentap jiwa saya.

"Anak ini sebelumnya ada sahaja lelaki masuk dia akan lari bersembunyi. Dia selalu didera, dihenyak dan dilempar ke dinding dan lantai oleh ayahnya. Dia ditempeleng hingga gegendang telinganya pecah dan rosak deria pendengaran.

Cuma kebelakangan ini emosinya semakin stabil dan sudah mula ceria dan dapat menerima kunjungan pelawat terutamanya lelaki.

"Ketika ini saya tidak lagi mampu menahan hiba. Saya hampir anak lelaki ini. saya peluk erat dan usap rambutnya. Lantas terus sahaja saja melarikan diri daripada bilik itu dan air mata sebak ini mengalir tanpa henti. Perasaan saya bercambur baur. Sekali lagi persoalan demi persoalan berlegar-legar di kotak pemikiran.

1. Apa salah anak ini sampai di dera sedemikian rupa?

2. Kenapa sampai hati menghempas anak ini ke lantai dan dinding, ditampar sehingga cacat?

3. Apa yang akan jadi masa masa depan anak ini dalam menghadapi kehidupan mendatang? Sambil berfikir, wajah Adam dan Awwab sekali lagi terbayang. 

Saya lihat Ivan dan Evy juga hiba dan menyeka air mata. Barangkali apa yang mereka fikirkan sama dengan apa yang sedang berkecamuk dalam minda saya.

Kini saya rangkumkan apa kaitannya senario kehidupan hitam anak-anak yang tidak berdosa ini dengan konteks peluang yang saya utarakan di awal entri ini ya?

1. Anak-anak ini dalam kehidupan yang ideal sewajarnya hidup riang dilimpahi kasih sayang ibu dan ayah kan?

Kenapa hak dan 'PELUANG' mereka untuk melalui zaman kanak-kanak dengan indah dirampas dengan kejam tanpa rasa ikhsan?

2. Apa salah mereka sehingga dibuang di tepi-tepi longkang, balairaya, tepi jalan dan lorong belakang? Didera kejam sehingga cacat seumur hidup? Sedangkan haiwan sayangkan anak kan? Pudar dan luntur sudahkah naluri seorang ibu dan ayah dalam memberi 'PELUANG' untuk anak-anak  ini dikasihi?

3. Apakah yang masyarakat perlu lakukan untuk mengembalikan "PELUANG" kepada anak-anak yang kurang perhatian dan kasih sayang ini untuk kembali mengutip sinar-sinar harapan supaya mereka dapat bangun daripada sejarah hitam masa silam untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat kelak?

Ya memang benar mereka diberi makan pakai yang cukup dengan 6 kali santapan jasmani. Namun jiwa mereka dahagakan kasih sayang. Inginkan belaian. Tagihkan perhatian. Mereka berhak diberikan "PELUANG" ini. NOKTAH! Besar pahala yang Allah SWT kurniakan kepada mereka yang melindungi anak-anak yatim?

Dalam perjalanan dari rumah anak-anak yatim itu saya dan Jude berbincang dan merangka usul kepada rakan-rakan di Kota Kinabalu untuk membuat giliran menyumbangkan masa di hujung-hujung minggu dan di waktu yang berkelapangan untuk bersama anak-anak ini.

Bagi mendengar keluh kesah mereka. Meminjamkan telinga bagi mereka berkongsi kegembiraan. Memberi pandangan dan nasihat serta motivasi bagi mereka menumpang kasih. Bagi mengembalikan "PELUANG" ini kepada mereka.

Saya mohon sahabat-sahabat budiman sama-sama bermurah hati  berkongsi masa dengan anak-anak ini tidak kiralah di mana-mana rumah kebajikan yang berhampiran.

Pengalaman ini benar-benar menyedarkan saya bahawa terlalu banyak ruang yang ada untuk kita sama-sama menyumbang untuk kesejahteraan ummah.

Anak-anak ini bakal khalifah untuk generasi mendatang. Apa jua yang kita sumbangkan bakal menjadi 'deposit' untuk akaun akhirat kita kelak. InsyaAllah. Sekiranya bukan kita buat semua ini siapa lagi?

- Artikel iluvislam.com

Nazali Noor – Pengarah Urusan BBUK-IluvIslam



Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!