Rumah sewa kami mempunyai sebuah televisyen yang unik. Suaranya tiada, gambarnya ada. Malah gambarnya kurang jelas jika mahu dilihat. Namun kami bersyukur juga kerana sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen usang ini. Jika mahu mendengar suara,kami akan gabungkan dengan telefon kepunyaan saya yang mempunyai siaran televisyen. Unik bukan? Suara di telefon,gambar di televisyen.
"Jaja, nanti kalau dah aku dah kahwin, kau hadiahkan televisyen ni pada aku ya," kata saya pada teman serumah ketika kami sedang menonton televisyen.
"Kau nak buat apa televisyen aku ni? Suara dah lah tak ada,gambar pun tak jelas," tanya Jaja dengan penuh kehairanan. Berkerut dahinya memandang saya.
"Bukan apa,nanti aku tak nak anak-anak aku terlalu terpengaruh dengan televisyen ni. Rancangannya kalau banyak mendidik tak apa, ni banyak yang melekakan. Jadi,salah satu cara aku nak ajar mereka dengan menonton televisyen macam ni. Kau cuba bayangkan,dengan suara tak ada, siaran tak jelas, nak tengok pun tak ada perasaan. Jadi mesti anak-anak aku rasa bosan, lalu mereka taklah nak menghadap televisyen saja," kata saya.
Jaja mengangguk-angguk kepalanya tanda memahami apa yang cuba saya sampaikan.
Kotak bersaiz segi empat petak ini jika tidak dikawal penggunaannya boleh menjadi racun yang membunuh masyarakat. Manakan tidak, fakta yang saya terima menunjukkan kanak-kanak di Malaysia menghabiskan sekitar enam jam sehari dengan hanya menonton televisyen sahaja. Ini sangat membimbangkan!
Bandingkan perkembangan kanak-kanak di Malaysia dengan masyarakat luar negara khususnya Amerika, ibu bapa di sana lebih menggalakkan anak-anak mereka untuk membaca buku dari menonton televisyen. Malahan aktiviti harian anak-anak mereka di isi dengan penuh manfaat. Bermula dari sini lah puncanya masyarakat kita malas membaca! Terlalu berseronok dan berlibur.
JADIKAN MEMBACA SIFAT PERIBADIMU
Jika dikatakan mengenai bahan bacaan, bukan bermakna bahan bacaan ringan dan picisan seperti majalah-majalah hiburan, sukan atau komik, novel dan sebagainya tetapi yang dikatakan bahan bacaan sebenar adalah buku yang berilmiah waima dikatakan buku teks sekolah itu juga merupakan bahan bacaan. Cuba dihitung dalam setahun berapa banyak bahan bacaan yang dibaca oleh kalian. Kajian yang dilakukan menunjukkan purata masyarakat di Malaysia membaca hanya lebih kurang 2 buah buku setahun.
Ya, setahun hanya dua buah buku!
Tidakkah itu menunjukkan kelemahan kita sendiri. Malas untuk membaca perenggan yang berjela-jela, bahan bacaan tidak menarik dan sebagainya dijadikan alasan untuk malas membaca.
"Aku tak minat baca buku tebal-tebal ni, sakit mata aku. Tak minatlah," kata seorang kawan.
Alahai, minat tidak akan datang jika tidak dicari dan dipupuk wahai sahabatku.
Ciptalah mahu menuju mampu!
WAHYU PERTAMA DARI ALLAH, IQRA'!
Ingatkah kalian apakah perkara pertama yang Allah turunkan pada Nabi Muhammad S.A.W? Ya, iqra!
Bacalah, bacalah, bacalah...
Masyarakat Arab ketika itu hidup dalam keadaan yang begitu jahil, tidak bertamadun hinggakan kuasa-kuasa besar ketika itu seperti Parsi dan Rom tidak ingin untuk menakhluki negara itu,kerana apa? Tiada apa-apa yang membawa keuntungan kepada mereka.
Justeru, Allah mengangkat kembali martabat masyarakat Arab ketika itu dengan menurunkan wahyu mengenai menyuruh umatnya membaca. Jelas saranan ini menunjukkan bahawa membaca itu adalah pintu kepada segala ilmu. Ilmu itu pintu kepada segala perkara kemajuan dan ketamadunan.
Malahan kita lihat sendiri sirah Nabi Muhammad S.A.W apabila tawanan Perang Badar yang musyrik boleh menebus diri mereka jika dapat mengajar 10 orang muslim membaca dan menulis. Begitu arifnya baginda kerana mahukan umatnya berjaya menguasai ilmu dengan membaca dan menulis.
Perintah membaca ini datang dari Ilahi, apakah kita mahu mempersiakan sahaja perintah sebegini? Pastinya kita yang merugi.
BACA, FAHAM DAN AMAL
Musuh yang bijak lebih baik dari kawan yang dungu!
Seorang tokoh yahudi memberi komen mengenai kelembapan budaya membaca umat Islam, dia berkata: " Kita tidak takut dengan orang Islam. Sebab orang Islam kini adalah umat yang tidak membaca!"
Realitinya masyarakat kini hilang roh untuk membaca, hanya sedikit yang membaca. Dari yang sedikit membaca itu, hanya sedikit yang memahaminya, dari yang sedikit memahami, hanya sedikit yang menguasai, malahan sedikit pula yang mengamalkan.
Jika mahu membaca bahan ilmiah sudah liat, apatah lagi jika disuruh untuk membaca ayat-ayat yang terkandung di dalam al-Quran. Malu sungguh, bertambah-tambah rugi apabila umat Islam sendiri tidak menghargai segala macam ilmu yang terkandung dalam mukjizat nan satu ini.
Ironinya al-Quran yang dibaca sehari-hari, apakah cuba difaham, dikuasai dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita.
Saya ambil satu contoh, sebagaimana di dalam al-Quran diperintahkan untuk kita bertakwa, menjadi insan yang mengamalkan amar makruf nahi mungkar. Dari perintah ini, apakah kita memahami dan cuba mengamalkan dalam kehidupan seharian?
Begitu juga solat serta zakat, apakah kita terfikir hikmah disebalik perintah?
TELEVISYEN ATAU BUKU : MANA PILIHANMU?
"Orang muda sekarang, apa yang mereka tahu? Cuma tahu facebook, facebook, facebook sahaja. Tidak tahu mengenai apa yang berlaku di dalam negara sendiri. Mahu baca suratkhabar pun malas. Kalau yang baca pun hanya ruangan hiburan dan sukan sahaja," adu seorang pak cik kepada saya.
Ketika itu saya mahu pulang ke kampung. Sementara menunggu keretapi yang jadualnya ditunda, saya berbual dengan seorang pakcik yang berbangsa Cina. Meluahkan rasa tidak puas hatinya pada peranan polis di Malaysia, sikap anak muda yang kurang adabnya, malahan sikap segelintir umat Islam yang merosakkan imej agama yang dibawa.
Facebook, maksudnya sendiri sudah muka buku, namun isinya tidak seperti yang digambarkan. Apa yang dilontarkan oleh pak cik itu ada benarnya. Berapa ramai yang sanggup menghabiskan masa melayari internet dengan hanya sia-sia dari mengambil kesempatan yang sepatutnya.
Begitu juga pengaruh televisyen. Mungkin bagi pelajar atau orang bekerja ada sedikit kurang kesannya pengaruh kotak segi ini namun bagaimana pula anak-anak yang berada di rumah senantiasa, para ibu yang tidak bekerja?
Jadi, mana pilihanmu, televisyen atau buku? Pilihan itu menunjukkan sifat peribadimu. Ayuhlah menjadi manusia yang bijak memilih untuk masa depan generasi sendiri.
"Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya, Allah akan memakaikan kedua-dua ibu bapanya dengan mahkota pada hari kiamat kelak. Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah di dunia." (Riwayat Ahmad no. 15683)
Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!
Kotak Segi Empat Itu