Royal Selangor boleh dibanggakan sebagai satu daripada kisah kejayaan luar biasa di Malaysia, selepas menempuh dua perang dunia dan berubah seiring dengan masa untuk mengekalkan kedudukannya dalam perniagaan pewter.
Bermula pada 1885, Royal Selangor kini merupakan pembuat artifak pewter terbesar di dunia.
Royal Selangor sebelum ini diketahui sebagai Selangor Pewter, dan perubahan nama ini berlaku pada 1992 untuk membayangkan perakuan Diraja daripada Sultan Selangor selain tawaran produknya yang diperluas melampaui pewter.
Pewter, pancalogam timah dalam warna perak-kelabu bersama dengan kadar tertentu antimoni atau gangsa, digunakan untuk membuat perkakas dapur, pinggan-mangkuk hidangan meja dan kraftangan, dan industri bijih timah Kuala Lumpur yang tumbuh pesat pada 1800-an menyumbang kepada asal-usul industri pewter.
"Kuala Lumpur tidak akan makmur tanpa aktiviti perlombongan bijih timah, begitu juga Royal Selangor yang mempunyai sejarah panjang yang ada kaitannya dengan industri ini yang meraikan ulangtahun ke 125 pada tahun lepas,"kata Pengurus Besar Royal Selangor Marketing Sdn Bhd Chen Tien Yue.
Mereka yang mengunjungi ibu pejabat Pusat Pelawat Royal Selangor di Setapak Jaya akan dapat melihat bagaimana syarikat ini menghargai industri bijih timah dan pelawat boleh mendekati sejarah pewter serta kisah industri bijih timah di Malaysia.
Kedai Utama Dengan Sentuhan Sektor Bijih Timah
Lagipun, kedai utama terbarunya di Pavilion yang menampilkan identiti peruncitan baru dengan reka bentuk ruang jualan dan pameran dua tingkat seluas 7,000 kaki persegi merupakan hasil inspirasi daripada industri pewter dan perlombongan bijih timah.
"Apabila kamiĀ mula memikirkan mengenai satu identiti peruncitan baru, kami menimbangkan elemen timah padanya. Kami suka dengan idea ini dan memutuskan untuk meneruskan dengannya," kata Chen.
Di tingkat bawah, bijih timah membawa inspirasi reka bentuk dinding di mana jika dinding itu disentuh rasanya macam bijih timah.
Pada masa yang sama, latar belakang di kaunter bayaran adalah hasil inspirasi buluh yang digunakan di era perlombongan.
Satu lagi penampilan menarik di kedai ini ialah skrin yang cantik di bahagian depan, yang menampilkan motif anyaman mengkuang. Penggunaan kreatif corak-corak gemometri membayangkan satu jenama yang diasaskan berdasarkan pada warisan seni pertukangan hebat yang masih menepati citarasa abad ke-21.
Royal Selangor menyediakan kedai-kedai utamanya mengikut pandangan berbeza, oleh itu, ia sedia melakukan segala-galanya dari segi pelaburan bagi kedai baru dengan konsep berlainan berbanding kedai moden yang nampak biasa.
"Kami melihat potensti kedai ini dalam tempoh jangka panjang," katanya, sambil menambah kata ruang yang besar bukan sahaja untuk mewujudkan pengalaman membeli belah baru tetapi juga, membolehkan Royal Selangor untuk melakukan pelbagai aktiviti, termasuk mengelola acara.
Selain itu, kedai di Pavilion menempatkan secara eksklusif kesemua tiga jenama syarikat di bawah satu bumbung, - Royal Selangor, Selberan dan jenama perak berusia 350 tahun, Comyns.
Pengembangan
Royal Selangor bermula sebagai industri desa bersama seorang tukang utama yang melakukan segala-galanya dan pada 1970-an, baru ia mula mengeksport ke Australia, Jepun dan United Kingdom, katanya.
Selepas kedai utama di Pavilion terdapat dua lagi, satu di Pulau Pinang dan satu lagi di Beijing. Chen menjelaskan China mempunyai potensi besar memandangkan sejarah silamnya dalam penggunaan pewter selain pengasas Royal Selangor Yong Koon Seong yang juga berasal dari negara itu.
"Oleh itu, ia satu pasaran penting untuk kami tembusi. Kami mahu mewujudkan satu jenama yang diiktiraf dengan baik di rantau ini," kata Chen, yang merupakan cicit kepada Yong.
Royal Selangor, yang sudahpun mempunyai kedai-kedai di Shanghai dan Singapura, merancang untuk membuka sebuah kedai kilang di Johor dan sedang menimbang idea untuk membuka sebuah kedai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) 2.
"Rancangan untuk membuka kedai di KLIA 2 masih di peringkat awal," katanya.
Pemerolehan
Royal Selangor juga sedang mencari jenama-jenama warisan berpotensi untuk diperoleh tetapi belum ada apa-apa sehingga ini, katanya.
"Lagipun kami sibuk dengan ketiga-tiga jenama sedia ada, kami memutuskanuntuk menumpukan terhadap mereka kerana banyak yang perlu dilakukan dengan mereka, termasuk Comyns yang mempunyai sejarah 350 tahun," kata beliau.
Royal Selangor memperoleh Comyns dari United Kingdom pada 1993, sebuah daripada pertukangan perak tertua dan paling berprestij yang diasaskan pada 1645.
Sejarah hebat Comyns turut meliputi arkib yang mengandungi lebih daripada 35,000 acuan bersejarah, perkakas, corak serta lukisan.
Sejarahnya yang menjangkau tiga abad, turut meliputi beberapa daripada seni hiasan yang lebih signifikan termasuk Baroque, Rococo, Neo-Classical, Nouveau. Semua ini boleh dilihat pada hari ini di Arkib Comyns di Pusat Pelawat Royal Selangor, katanya.
Belajar Daripada Pengalaman - Pertukangan
Adalah sukar untuk menemui generasi muda yang berminat dengan kraf seperti ini kerana ia mengambil masa untuk menguasai kemahiran, kata Chen.
Kilang pewter The Royal Selangor di Setapak Jaya di sini mempunyai lebih 300 orang tukang yang mahir dalam membuat peralatan serta perhiasan pewter.
"Lebih sukar lagi untuk mengekalkan mereka," katanya, dan menambah kata kini semakin sukar untuk menarik orang menyertai industri ini.
Oleh itu, Royal Selangor kini mengoptimum kemahiran tukang-tukangnya dengan menggalakkan 'multitasking' atau melaksanakan pelbagai tugas.
"Selain itu, kami juga mengiktiraf hasil kerja tangan mereka bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa, yang akan menggalakkan mereka untuk terus kekal dan berasa bangga dengan apa yang mereka lakukan," kata Chen.
Royal Selangor & Malaysia
"Terdapat beberapa persamaan antara Royal Selangor dan ciri-ciri yang kerajaan mahu lihat pada negara," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pembukaan rasmi kedai utama Royal Selangor di Pavilion.
Jenama Malaysia ini bersama pasukan pereka bentuk, pertukangan dan pakar pemasaran yang semuanya warga Malaysia telah melalui pelbagai dugaan dengan peralihan masa.
Ia bukan mudah untuk mengekalkan sebuah perniagaan selama 125 tahun memandangkan wujudnya pelbagai transformasi serta cabaran luaran, kata Najib.
Penulis buku "The Royal Selangor Story 'Born and Bred in Pewter Dust'," Chen May Yee, yang juga cicit kepada pengasas syarikat ini menulis bahawa ramai telah bertanya kepada saya bagaimana Royal Selangor mengharungi dugaan dua perang dunia, berbilang kegawatan ekonomi, dan peralihan besar dalam gaya dan fesyen.
Beliau menjawab ringkas: "semangat keusahawanan dan bijak berinovasi."
- Kuala Lumpur, 4 Februari 2011
Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!
Royal Selangor - Kisah Kejayaan Luar Biasa Malaysia