Tuan Muhd Akmalhakim : Semangat Rakyat Mesir Mengajar Saya

altDi sebalik kejadian rusuhan di Mesir baru-baru ini, rupa-rupanya punya banyak hikmah. Bukan hanya kepada rakyat di negara itu, bahkan kepada mereka yang menetap di sana. Pelajar Malaysia di sana umpamanya, berpeluang untuk kembali ke tanah air ekoran kebimbangan terjadinya kejadian yang tidak diingini.

Begitu juga pertemuan bersama IKON pada minggu ini. Siapa sangka, kepulangannya dengan tajaan dari kerajaan negeri Pahang, menemukan ILI bersama bekas johan tiga kali PertandinganMenghafaz Al-Quran peringkat negeri Pahang.

Tuan Muhammad Akmalhakim Tuan Mazri, yang juga bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Tengku Ampuan Afzan, Pekan dan MRSM Kuala Berang, Terengganu kini sedang menekuni Kuliah Perubatan, Tahun 2, Universiti Ain Shams, Kaherah, Mesir.

Kesempatan pulang ke tanah air pantas diatur ILI untuk memperkenalkan pemuda bertubuh tinggi ini sebagai IKON. Mungkin hanya kebetulan. Namun, begitulah perancangan Allah dalam mengatur urusan hamba-Nya.

“Saya sebenarnya sudah punya perancangan untuk pulang ke tanah air. Namun kekecohan yang tercetus di Mesir seolah memudahkan saya pulang lebih awal. Tiket yang telah ditempah, boleh digunakan untuk hari lain. Alhamdulillah, Allah menolong saya,” katanya ketika mula berbicara.

Anak sulung dari enam beradik ini, punya keistimewaan tersendiri. Begitulah anugerah Allah kepada setiap hamba-Nya. Namun tetap memerlukan usaha yang keras. Allah mengganjari setiap hamba bukan hanya di akhirat, bahkan di dunia lagi pelbagai rahmat dan nikmah.

 Hafaz Al-Quran

Siapa menyangka bahawa pemuda yang lebih senang dikenal sebagai Akmal ini berjaya menghafaz Al-Quran sedari usia muda. Tempoh 1 tahun 9 bulan diperlukan untuk menghafaz ketika diri sedang menuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pekan, Pahang.

“Saya sudah biasa mengaji di rumah. Umi yang banyak mendidik saya. Kebetulan pula dia adalah seorang guru. Sejak kecil lagi sebenarnya saya telah ‘dipaksa’ mengaji iaitu seawal usia tiga tahun. Sakit memang sakit.

“Saya dipaksa mengaji sampai meniarap, menangis hingga kena rotan dengan umi. Dia tetap dan begitu tegas dalam mendidik saya. Namun, setelah meningkat dewasa, barulah saya memahami semuanya.

“Suasana yang diwujudkan di rumah seperti itulah yang menyebabkan saya tidak berasa canggung sebaik memasuki Maahad Tahfiz,” ujarnya ketika berkongsi kecenderungan awal menghafaz Al-Quran.

Mengakui bahawa menghafaz Al-Quran bukanlah semudah disangka, Akmal bagaimanapun tetap tidak berputus asa. Masakan tidak, ia memerlukan teknik yang tepat serta kesungguhan tanpa mengenal penat dan lelah.

“Memang pada awalnya, hendak hafal satu muka agak susah. Bila kita hafal, itu mungkin senang. Namun bila hendak ingat balik dan ulang, itu agak sukar. Jadi, di sinilah kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan selalu baca, hafal dan ulang.

“Ia akan mengambil masa juga sebenarnya. Mungkin sebulan dua. Namun apabila kita telah biasa, ia akan jadi lebih mudah. Mungkin sehari kita dah boleh hafal tiga muka.

“Ia adalah proses yang menarik. Saya sendiri mengalaminya apabila kadang-kala saya terpaksa mengaji sehingga jam 12 tengah malam. Itu untuk hafazan satu muka,” katanya sambil tersenyum. Mengimbau kenangan ketika menghafaz ayat suci.

Kemampuan menghafaz Al-Quran rupa-rupanya telah menghantar Akmal ke pentas terbaik dalam hidupnya. Masakan tidak, dia yang dipilih mewakili sekolah ke Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang telah muncul sebagai johan untuk tahun 2005, 2007 dan 2008.

Kejayaannya di peringkat negeri telah mendorongnya ke pentas yang lebih tinggi. Akmal berjaya dipilih mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan. Lebih manis, dia sekali lagi mengharumkan nama keluarga setelah dinobatkan sebagai wakil Malaysia ke Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa iaitu di Algeria (2006) dan Iran (2008).

Kepimpinan Asah Bakat

Tidak dinafikan, anak muda ini punya kecenderungan tersendiri dalam bidang kepimpinan. Sesuai dengan dirinya sebagai anak sulung, Akmal memperlihatkan bakat kepimpinannya sedari usia kecil lagi. Ketika dia masih menuntut di sekolah rendah umpamanya, Akmal telah dilantik sebagai Ketua Pelajar.

Bakat kempimpinannya diteruskan lagi apabila meneruskan pengajian di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat. Jawatan sebagai Ketua Pelajar sekali lagi disandarnya. Begitu juga apabila melangkah ke MRSM Kuala Berang. Dia yang aktif dalam persatuan, membolehkannya dilantik sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar sesi 2006/07.

Kegigihannya tanpa mengenal erti penat, membawanya menyambung pengajian ke Pusat Pengajian Antarabangsa (INTEC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2008. Di sana, dia dipilih sebagai Presiden Middle East Program Students Organization sebelum melanjutkan pengajian di Kaherah, Mesir.

Di Universiti Ain Shams, Kaherah, kepimpinan Akmal terus dihargai. Dia dilantik sebagai Ketua Biro Perhubungan, Sambutan & Rehlah, Badang Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang Mesir bagi sesi 2009/10. Lebih menarik, dia turut diletakkan amanah sebagai Pengarah Program Sambutan Mahasiswa Baru II Perubatan di universiti yang sama.

Perubatan & Cita-Cita

Ditanya mengapa bidang perubatan yang dipilihnya bagi menyambung pengajian, Akmal berkata, ia adalah pilihan tepat bersesuaian dengan minatnya. Katanya, terdapat pelbagai cabang ilmu di bidang perubatan yang membuatnya menyedari kebesaran Ilahi.

Mengambil beberapa tokoh ilmuwan perubatan Islam silam sebagai role model, Akmal berkata, dia terlalu mengagumi kajian dan pelbagai ilmu untuk diterjemahkan ke dalam cita-citanya.

“Sudah tentu tempoh pengajian yang mengambil masa selama enam tahun ini akan mendedahkan saya terhadap kepelbagaian ilmu. Jadi, saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mempelajarinya secara bersungguh-sungguh.

“Hasrat saya hanya satu. Pengajian saya di sini ditaja Yayasan Pahang, jadi sudah tentu saya ingin mengembalikan jasa mereka. Cita-cita saya adalah mempunyai pusat perubatan sendiri selain menabur bakti kepada masyarakat,” ujarnya.

 Pengalaman di Dataran Tahrir

Diminta mengulas mengenai kemelut politik yang melanda Mesir baru-baru ini, Akmal berkata, ia adalah satu pengalaman paling menarik dalam hidupnya. Katanya, bukan mudah bagi pelajar sepertinya melihat suasana seperti yang berlaku.

“Kejadian seperti itu jarang berlaku. Bahkan bukan semua orang yang dapat melihat dengan mata kepala sendiri. Apatah lagi berada dalam suasana sebegitu. Menyaksikan kebangkitan rakyat Mesir, pertempuran antara orang awam dan pihak berkuasa adalah pengalaman menarik.

“Walaupun pelajar-pelajar Malaysia tidak terlibat, namun kami dapat melihatnya secara jelas. Bagaimana berhadapan dengan perintah berkurung serta jaringan komunikasi yang terputus, kami mengalami sendiri kebimbangan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

“Sekurang-kurangnya saya dapat menilai sendiri keadaan sebenar berbanding bergantung kepada maklumat situasi seperti itu yang entah benar atau palsu,” katanya.

Akmal berkata, semangat yang ditunjukkan rakyat Mesir sememangnya menakjubkan. Sambil tidak cuba berpihak kepada mana-mana pihak, Akmal berkata, rakyat Mesir amat menghormati pelajar asing sepertinya. Bahkan ada yang sempat mengajak dia dan teman-teman menyertai perarakan. Bagaimanapun, mereka tidak sama sekali terlibat.

“Sekurang-kurangnya ia mengajar kepada saya erti kecintaan kepada agama dan tanah air. Saya belajar daripada semangat rakyat Mesir itu untuk diterjemahkan ke bidang saya ketika ini. Tanpa semangat, segala cita-cita untuk menyumbangkan sesuatu kepada agama dan masyarakat sudah tentu tidak akan tercapai,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Rencana ini dimuatkan dalam tabloid iLuvislam edisi ke-54. Antara rencana menarik dalam keluaran minggu ini adalah :

    • Biar Sedikit Asal Berkat
    • Salah Faham Zuhud Terhadap Dunia
    • Bijak Guna Kad Kredit
    • Destinasi Impian Terakhir
    • Haruskah Ditangisi Pemergiannya
    • Duhai Wanita Usah Jadi Penghuni Neraka
    • Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat  Manusia?
    • Masa, Rasa dan Jasa Menghasilkan Kasih dan Cinta
    • Dan macam-macam lagi..

    Bagi mereka yang berminat menjadi stokis dan ejen tabloid iluvislam di IPT, sekolah atau pejabat (Semenanjung Malaysia sahaja) – anda boleh menghubungi pejabat kami di 03-42516702 atau 013-2442551.

    Bagi mereka yang mengalami masalah untuk mendapatkan tabloid di kedai berhampiran tempat tinggal masing-masing, anda boleh SMS secara spesifik alamat rumah anda ke 013-2442551.

    Penulis

    Artikel Terkini

    • Sepi
    • Screen Shot 2014-04-18 at 12.06.56 PM
    • Screen Shot 2014-04-17 at 1.51.48 PM
    • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27

    Komentar (0)

    Tarbiyyah Kreatif
    Kembali ke Atas