Sepanjang hidupku dan adik-beradikku, kami telah melalui kehidupan yang teramat perit mempunyai seorang ibu tiri yang kejam. Hinaan, maki hamun dan cercaan menjadi mainan dibibir ibu tiri setiap hari.
Apakah salah kami? Apakah dosa kami? Kami dilayan sebegitu rupa. Kami sedar, kami tak beribu. kami anak yatim, kecil-kecil lagi sudah ditinggalkan ibu. Apakah kami tidak layak menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini, memandangkan kami tak beribu?
Aku mempunyai 10 orang adik-beradik, 3 meninggal dunia semasa kecil. Tinggallah kami 7 beradik. Ibu meninggal ketika usiaku 8 tahun. Bayangkan umurku ketika itu sudah pun kehilangan seorang ibu. Tempat kami mengadu dan bermanja sudah tiada lagi. Apakah yang boleh dibuat oleh seorang ayah ketika ketiadaan ibu? Ketika itu tak ramai ayah yang boleh menjaga dan mendidik anak-anak yang ramai, lagipun kehidupan kami teramat miskin, ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Kecil-kecil lagi sudah diajar untuk bekerja bagi menampung perbelanjaan harian.
Selepas kematian ibu, bermulalah episod ngeri dan kegelapan dalam kehidupan kami adik-beradik. Selama ini aku hanya mendengar tentang kekejaman seorang ibu tiri dari buku-buku cerita dan juga di televisyen melalui drama-drama dan filem-filem. Itu sekadar lakonan, tapi aku dan adik- beradik mengalaminya sendiri. Ianya bukan cerita dongeng lagi, ianya benar-benar terjadi dalam kehidupanku dan adik-beradikku yang lain.
Sebelum ini kehidupan kami sekeluarga ceria dan indah sekali walaupun taraf kehidupan kami teramatlah miskinnya, ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Ibu teramatlah baiknya, ibu disenangi semua jiran tetangga. Selepas kematian ibu, ayah mengambil keputusan untuk berkahwin lain. Alasannya tiada orang yang mahu menjaga makan minumnya.Keputusannya itu membuatkan kami adik-beradik memberontak. Kami takut apa yang kami baca,dengar dan tonton itu, mengenai kekejaman ibu tiri akan menjadi kenyataan.
Akhirnya apa yang kami takuti menjadi kenyataan apabila ayah tergesa-gesa mahu berkahwin tanpa menyelidik terlebih dahulu asal-usul wanita yang bakal dikahwininya. Bukanlah niat kami untuk membantah hasrat ayah untuk berkahwin lain, tapi ingatlah masa depan kami adik-beradik. Sebaik-baiknya carilah seorang ibu yang baik untuk kami adik-beradik, seorang ibu yang boleh menerima kami sebagai anak-anaknya, seorang ibu yang baik seperti ibu kami.
Ayah tetap juga dengan hasratnya untuk berkahwin. Apa jua keputusan kami, ayah tak endahkan. Ayah memang degil, ayah tak sayangkan kami lagi. Ayah hanya pentingkan dirinya sendiri tanpa memikirkan apa yang terjadi kepada kami di masa hadapan. Akhirnya ayah berkahwin juga dengan wanita pilihannya walaupun kami memberontak.
Aku akui bukanlah semua ibu tiri kejam. Ada ibu tiri yang sangat-sangat baik, yang boleh menerima anak-anak dari perkahwinan suaminya yang terdahulu begitu juga sebaliknya.Ibu tiri aku ni lain dari yang lain. Ada saja yang tak kena pada pandangan matanya. Aku adik-beradik sering jadi mangsa kekejamannya. Kami sedar kami tiada ibu lagi. Apakah kami tidak layak untuk hidup dimuka bumi ini lagi, menumpang kasih seorang ayah?
Aku adik-beradik sering menjadi mangsa kekejamannya. Maki hamun menjadi perkara biasa baginya. Depan jiran tetangga pun kami dimaki hamunnya. Malunya hanya Allah saja yang tahu.Tubuh badan kami sudah lali dengan segala macam kayu,rotan,tali pinggang, penyapu dan sebagainya. Kena kejar dengan parang pun dah biasa, lari sekeliling kampung. Terpaksalah tebalkan muka, dapat ibu tiri yang kejam. Mangsanya kami adik-beradik. Dulu ibu kandung kami dikenali seluruh kampung kerana kebaikannya, kini ibu tiri kami juga dikenali seluruh kampung tapi bukan kerana kebaikannya, dikenali kerana kekejamannya mendera kami. Berbezakan dua situasi sebegini.
Saat kami didera oleh ibu tiri, ayah hanya berdiam diri sahaja, sikit pun ayah tidak bersuara.
"Ayah takut bini agaknya". Bisik kami dalam hati.
Tangisan dan kesakitan kami tidak dipedulikan oleh ayah. Entahlah, tidak tahu kenapa ayah jadi begitu. Dulu, sewaktu ibu masih ada, ayah seorang yang penyayang. Ayah baik sangat-sangat dengan kami adik-beradik. Ayah tak pernah marahkan kami, walaupun kami ada melakukan kesalahan(biasalah budak-budakkan,adakalanya degil) Ayah akan tegur kami dengan baik. Sedikit pun ayah tidak meninggikan suara, apatah lagi menggunakan kekerasan. Ayah bagi nasihat dan nasihat ayah kami ikut dan patuh. Alhamdulillah begitu juga dengan ibu.
"Perkara yang tak elok dan tak baik jangan diikuti, jadilah anak yang soleh dan solehah". Masih ingat lagi pesanan ibu kepada kami 7 beradik di saat-saat akhir hayat ibu. Sesungguhnya aku terlalu merindui ibu. Moga ibu ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman. Aamin.
Berbeza dengan situasi sekarang, ibu tiri sentiasa mencari kesalahan kami, walaupun kami tidak melakukannya. Kadang-kadang kesilapan kecil diperbesar-besarkan apatah lagi sejak dia di anugerahi 2 orang cahaya mata. Anak-anak dia jangan sesiapa pun menyentuh atau menegurnya walaupun melakukan kesilapan. Kalau sentuh atau tegur siaplah.
Tiada berkesudahan dengan kami adik-beradik, setelah kami berkahwin dan masing dianugerahi anak, anak-anak kami pula menjadi mangsanya. Pantang silap sikit, mesti dapat habuannya.
Teringat pada suatu hari anakku yang bongsu, ketika itu berumur 6 tahun membela sepupunya yang sedang bergurau senda dengan salah seorang cucu ibu tiriku.
"Tua saja bodoh ,tak ada akal. Jangan kata apa-apa dekat cucu aku, jangan sentuh cucu aku walaupun dengan hujung jari". Marah ibu tiriku pada salah seorang anak saudaraku.
"Biarlah kat diaorang,diaorang nak bergurau je bukannya bergaduh pun". Anakku tetiba je datang mencelah.
Pang! Ditamparnya pipi anakku. Apa lagi menangislah dia. Niat baiknya di balas dengan satu tamparan hebat dipipinya. Ya Allah, aku sendiri pun tak pernah tangan-tangankan anakku. Apa yang sikecil itu tahu. Niat asal nak membela sepupunya, akhirnya dia yang dapat habuannya. Kesian anakku.
"Aku tak suka sesiapapun menjejakkan kaki ke rumahku", jerit ibu tiriku .
"Sedarlah diri sikit, kita pun menumpang rumah orang", balas anak saudaraku.
Diangkatnya kaki mahu menerajang anak saudaraku. Nasib baiklah anak saudaraku mengelak, kalau tak mesti kena punya. Betapa zalimnya ibu tiriku, hanya Allah saja yang tahu. Tidak cukup dengan kami adik-beradik, anak-anak kami pun turut sama menjadi mangsanya. Pendek kata tua muda, kecil besar menjadi mangsanya. Orang lain tak tahu dan tak merasainya sebagaiman yang kami adik-beradik serta anak-anak rasai.
Malu kami pada mentua dan ipar-duai. Mereka mempunyai keluarga yang bahagia, sedangkan kami hidup tersiksa. Bagi kami adik-beradik yang beristeri dan bersuami, malu kami pada isteri dan suami masing-masing hanyalah Allah saja yang tahu. Pada anak-anak kami, kasihan mereka. Mereka tidak dapat bermanja dengan Tok Wan mereka.
Setiap kali kami ke rumah ayah, kami akan dihalau menyebabkan kami terpaksa berfikir dua kali untuk ke rumah ayah. Bukanlah bermakna yang kami lupa akan tanggungjawab kami kepada ayah. Kami ingat, tanpa ayah dan ibu tiadalah kami kat dunia ini. Tapi kami terkilan dengan sikap ibu tiri kami, cukuplah kami sahaja yang menjadi mangsanya tapi bukan anak-anak kami. Mereka masih kecil. Kesiannya bila tiba hari raya, hajat hati nak berkumpul ramai-ramai dengan ayah yang banyak berjasa tapi tak kesampaian dengan apa yang berlaku. Masing-masing membuat keputusan untuk balik beraya di rumah mentua.
Kini sudah setahun lebih ayah pergi meninggalkan kami adik-beradik. Alhamdulillah, dapat juga kami mencurahkan bakti pada ayah setelah masing-masing telah bekerja. Setelah kematian ayah, ibu tiri berubah sikap jadi seorang yang pendiam, tidak lagi marah-marah dan dia tinggal dengan anaknya. Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang berlaku. Alhamdulillah.
Berkat didikan ibu kami semasa hayatnya masih ada, dalam diri kami tiada sedikit pun dendam pada ibu tiri kami walaupun kami masing-masing sudah berkeluarga. Kami memberi layanan yang baik pada ibu tiri kami sama macam kami memberi layanan pada ibu kandung kami. Tiada sekelumit dendam pun dihati kami adik-beradik pada ibu tiri kami. Kami tahu dendam bukanlah penyelesaian pada semua masalah.
Terima dengan sabar dan redha segala ujian dan dugaan yang menimpa. Yakin akan datang satu hari yang terbaik buat kami dan anak-anak di mana kami berbahagia dengan kehidupan kami sendiri tanpa mendengar lagi umpat keji, maki hamun, kata nista dan sebagainya.
Allah sudah letakkan tempat terbaik untuk kami, walaupun kehidupan kami suatu ketika dulu suram dan sepi, sedih dan pilu, diri sentiasa dihambat ketakutan. Sepanjang hari terbayangkan kemungkinan yang berlaku seterusnya, apa lagi yang ibu tiri kami akan lakukan pada kami adik beradik, siang malam berdoa supaya Allah melembutkan hati ibu tiri kami, terima kami sama macam anak-anaknya yang lain. Walaupun dia tidak dapat menerima kami tapi kami tetap bersyukur. Kehidupan kami sudah kembali tenang. Alhamdulillah.
Dalam diri usahkan ada walau sekelumit dendam, terima apa yang berlaku dengan sabar dan redha, insyaAllah hikmah yang diperolehi tidak terucap dengan kata-kata.
Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!
Suka Duka Beribu Tiri