Versi: Bahasa Melayu

Ahad, 26 Mei 2013

 277 Pembaca Online

Halaman: Kembara Hidup Jalan Damai

Jalan Damai

alt

Sekian lama waktu telah berlalu.. Kini, kisah yang lalu telah lama dia tinggalkan dan menjadi lipatan sejarah yang tidak mungkin akan dibuka kembali. Dirinya kini hanyalah seorang yang mempunyai Rabbi.  Yang hidupnya hanya bertemankan cinta Ilahi. Dia berubah!

Daripada seorang yang leka mencintai perhiasan dunia kepada seorang yang sederhana. Baginya, akhirat lebih utama melebihi segala-galanya. Ketara benar perbezaan dirinya dulu dan sekarang. Namun senyuman bahagia tetap menghiasi hari-harinya. Tiada apa lagi yang mampu hati dan lisannya ungkapkan selain daripada rasa syukur di atas rahmat dan kasih Ilahi. Anugerah kedamaian yang dulunya difikirkan mustahil untuk diraih, kini dapat dirasai.

Berpasangan adalah perkara yang sangat membahagiakan dirinya. Mencintai dan dicintai lelaki. Dia belum pernah mendengar bahawa couple itu haram. Baginya itu biasa bagi seorang remaja menginginkan Adam sebagai pendamping di sisinya. Dia juga menikmati hidup yang sangat bahagia, tanpa musibah, tiada penyakit serius dan juga keluarga yang sentiasa mencintai dirinya. Pada anggapannya, ALLAH sangat menyayangi dirinya kerana dirinya sentiasa bahagia. Jarang sekali ujian sakit menimpanya. Paling berat hanyalah demam. Pada pemahamannya, Allah menguji sakit dan musibah kepada orang orang yang tidak disayangiNya, tetapi akan sentiasa memberi kesenangan, hidup yang bahagia kepada sesiapa sahaja yang disayangiNya. Rupanya, silap sekali fahamannya. Segalanya salah!

Terimbas kembali akan kata-kata yang pernah dibacanya di dalam buku motivasi yang dibelinya..

"Allah menyayangi hamba-hambaNya dengan menurunkan musibah dan kepayahan namun Allah akan mencampakkan kesenangan di dalam hati manusia dan membiarkan mereka leka dengan dunia  tanda Allah memurkaiNya"

Namun bait perkataan itu tidak memberi kesan kepadanya. Benarkah begitu?

Dia bukanlah seorang yang melupakan kewajipan sebagai hamba. Dia sentiasa mendirikan solat, namun boleh dikira dengan jari-jemari. Hatta jika hendak dinilai nilai khusyuk solatnya, belum tentu dia pernah merasainya. Dia juga menunaikan ibadah yang lain.. Puasa, membaca Al-Quran, semuanya dia tidak pernah lupa. Salahnya dia, dia terlalu leka dengan kebahagiaan dunia yang fana. Dia merasa bahagia dengan kehadiran adam yang ajnabi di dalam hidupnya. Dia juga senang melakukan maksiat dan suka menjerumuskan diri ke jalan-jalan zina. Dia cukup memaklumi akan "la taqrabbu zina" namun dia hanya memandang ia sebelah mata.

Benarlah, sifat penyayang Allah tiada hadnya. Walaupun seringkali leka, hidayah Allah tetap sampai kepada dirinya. Mengambil pelajaran akan musibah alam yang kerap kali berlaku, kematian orang orang disayangi, dia semakin sedar tidak selamanya dia harus begini. Ya... dia perlu berhijrah ke arah yang lebih baik.

Dia tidak mahu berterusan mencampurkan dosa dan pahala di dalam kehidupannya. Dia akui, bilamana hati terlalu banyak dosa, hati akan menjadi semakin keras. Terlalu sukar untuk menitiskan airmata keinsafan, sering sahaja mengabaikan solat apatah lagi untuk melakukannya di awal waktu. Begitu juga halnya dengan aurat. Cukup sekadar menutup rambut tapi pakaian yang disarung masih ketat dan jarang.

Meskipun bersolat namun masih ada ruang kosong di dalam hati. Dia tahu kekosongan itu perlu di isi... Lantas,dia mula mencari-cari.. Arah mana untuk menemui damai yang abadi. Lorong mana harus ditujui..  Lalu, hati kecil itu bermonolog sepi.

"Duhai Tuhanku.. Tunjukkanlah jalan untuk ku kembali kepadaku."

 

Dia mulakan segalanya dengan taubat nasuha. Azamnya kuat.  Jalan zina mesti ditinggalkan. Pintu maksiat ditutupnya rapat... Tidak mungkin lagi dia akan kembali menjerumuskan diri ke jalan zina... Laluan penuh noda dan dosa.

Merenung hakikat diri... ilmu di dada dirasakan kurang. Dia mula membaca untuk menambahkan ilmu dan taqwa.  Buku buku motivasi islamik dijadikan wadah bacaan harian. Al quran dijadikan teman..

Dia menjadi semakin rajin untuk melakukan solat sunat qobliyah, bagdiyah, dan sunat taubat. Setiap kali di luar waktu solat... lidahnya berzikir, berselawat dan beristighfar memohon ampun kepada Zat yang Maha Mulia. Doa dipanjatkan semoga rahmat dan redha Allah mengiringi langkah kakinya.

Kini, hatinya semakin tenang, terasa penuh dan lapang.

Di kala hati semakin tenang.. Hati bergolak lagi. Ia meronta ronta lagi mahu berteman. Kembali seperti dulu..

Hakikat diri masih  belum bersedia untuk berumah tangga lantas untuk apa mencari pasangan. Dia tidak mahu kejahatan bercampur dengan kebaikan lagi. Kerana dia tahu, kejahatan akan sentiasa menang di dalam pertempuran di antara hak dan batil.

"Duhai hati, jika engkau mencintai dunia, engkau akan terlepas akhirat namun jika engkau mencintai akhirat, dunia akan datang kepadamu dengan mudahnya."

"Aku baru sahaja menemui cinta abadiku. Aku mahu mencintai Rabbku. Di sini ku kecapi damai. Allah adalah segalanya"

 

Dia memujuk hatinya berulang kali. Bersabarlah..kerana telah lama engkau menyia- yiakan hatimu dengan cinta palsu Adam yang bukan untukmu. Isikan hatimu dengan cinta Rabb.. Yakinlah akan setiap apa yang terjadi mengandungi hikmah yang pasti engkau tidak pernah bayangkan atau fikirkan. Semuanya di dalam kekuasaan dan pengetahuan yang Maha Menciptakan.

"Ya Allah, hidup matiku hanyalah untukmu....bimbingiku kerana pasti aku tidak akan mampu untuk terus melangkah tanpa bantuanmu. Engkau Tuhan yang memiliki jiwaku. Setiap nafasku bergantung kepada belas ihsanmu. TanpaMu, aku akan mati. Ya Rabb, jika engkau tidak sudi lagi mengasihaniku, tiada siapa lagi yang mampu. Kasihanilah aku wahai Yang Maha Mengampuni.."

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Noor Hanum juga dikenali sebagai DhiaHanum. Beliau ingin memberi sumbangan kecil di dalam menyampaikan dakwah dan berharap agar ALLAH merahmati usaha beliau.



Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!