Penjagaan Gigi Bermula Dari Kecil

altMengapa perlu bersusah payah menjaga gigi susu sedangkan ia akan luruh juga?

Mungkin itu antara alasan yang terlintas di kotak fikiran ibu bapa apabila diberitahu akan kepentingan penjagaan gigi anak kecil mereka.

Kepentingan penjagaan gigi susu, sebenarnya berkait rapat dengan peranan penting yang dimainkan oleh gigi itu sendiri.

Ketua Jabatan Pergigian Padeatrik, Institut Pediatrik, Hospital Besar Kuala Lumpur, Dr Noraini @ Nun Nahar Yunus berkata, antara fungsi gigi susu ialah membantu pengunyahan makanan, membantu sebutan dan pertuturan serta membentuk keyakinan diri kanak-kanak.

Ujarnya, peranan paling penting gigi susu ialah menyediakan ruang yang cukup dan sejajar untuk pertumbuhan gigi kekal serta memastikan perkembangan rahang yang sempurna.

Penjagaan Seawal Bayi

“Gigi susu yang rosak atau tanggal sebelum waktunya akan menyebabkan ruang dan laluan untuk pertumbuhan gigi kekal tertutup, sekaligus menjadikan kedudukan gigi yang bakal tumbuh tidak sempurna,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya.

Jelasnya, secara semulajadi gigi susu pertama mula luruh sekitar usia enam tahun, namun jika ia luruh terlalu awal, gigi-gigi yang lain boleh tertolak masuk ke dalam ruang kosong yang terbentuk dan menghalang gigi kekal untuk tumbuh di lokasi yang betul.

Pendek kata, penjagaan gigi susu yang baik amat penting bagi memastikan kedudukan gigi kekal yang rata atau tidak berlapis.

Noraini mencadangkan agar ibu bapa mula mengambil berat penjagaan oral anak mereka seawal usia bayi lagi menerusi pemeriksaan gigi berkala sebaik sahaja gigi pertama bayi mereka tumbuh.

Sebaik-baiknya, ibu bapa hendaklah memupuk tabiat membersihkan gigi dan gusi bayi selepas setiap kali makan secara memberus atau menggunakan kain kasa lembut agar penjagaan gigi menjadi sebahagian daripada rutin harian anak.

“Cara memberus gigi anak yang betul ialah menggunakan berus gigi paling lembut dan saiz kecil, ubat gigi berflorida serta mengangkat bibir supaya gusi dan leher gigi dapat dibersihkan”, katanya sambil menambah ubat gigi berflorida adalah baik untuk kesihatan gigi kanak-kanak asalkan tidak ditelan atau diberi secara berlebihan.

Elak Makanan Manis

“Ramai ibu tidak menyedari bahawa selain makanan manis, susu ibu dan susu formula adalah penyebab karies gigi di kalangan kanak-kanak.

“Gula ringkas dalam susu akan diuraikan secara semulajadi oleh bakteria di dalam mulut manusia melalui proses penapaian menjadi asid laktik yang akan menurunkan paras pH dalam mulut serta melarutkan permukaan gigi,” jelas beliau.

Beliau juga menasihati ibu bapa agar tidak mencampurkan gula atau susu pekat manis ke dalam susu atau minuman bayi sebaliknya menggalakkan bayi yang telah tumbuh gigi diberikan air kosong selepas makan.

Tetapi bagaimana pula jika anak kecil berdegil mahukan makanan manis?

“Pemberian makanan manis termasuk gula-gula, coklat, biskut dan roti krim perlu dihadkan semasa waktu makan sahaja.

“Makanan manis yang diberi sebagai snek mudah lekat terutama di celah-celah permukaan gigi, menyukarkan pembersihan gigi dan menyebabkan asid sentiasa terbentuk dalam mulut bayi, sekaligus melarut dan mereputkan gigi susu,” katanya.

Namun, Noraini mencadangkan, adalah lebih baik sekiranya anak-anak tidak diperkenalkan dengan makanan sebegitu. Jangan beli atau simpan stok snek sebegini di dapur rumah, tetapi sebagai altenatif, ibu bapa boleh menyediakan keropok atau potongan buah-buahan sekiranya anak-anak mahu snek di antara waktu makan.

“Lagipun, tabiat suka manis di kalangan rakyat Malaysia adalah tabiat yang dipelajari sejak kecil bukannya semulajadi,” katanya.

Kenangan Di Sekolah Rendah

Mungkin ramai masih ingat akan kenangan di sekolah rendah apabila anda dan rakan-rakan sekelas beratur di tepi longkang bersama sebatang berus gigi dan secawan air?

Kemudian anda memberus gigi bersama-sama dengan panduan doktor gigi yang memegang sepasang gigi palsu besar sambil dibantu oleh beberapa jururawat.

Program seumpama adalah sebahagian daripada daya usaha kemasyarakatan oleh syarikat-syarikat ubat gigi untuk mendidik kanak-kanak tentang penjagaan kesihatan oral.

Malahan program seumpama masih dilaksanakan dengan yang terbaru dikendalikan oleh Colgate dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Amal Yellow House Kuala Lumpur.

Ia diadakan di pasaraya Giant Kota Damansara baru-baru ini yang menyaksikan penglibatan kira-kira 26 kanak-kanak miskin dari Projek Perumahan Awam PPR Sri Pahang.

Anak-anak penerima bantuan kebajikan JKM yang berusia antara lima hingga tujuh tahun itu diraikan oleh maskot arnab Colgate iaitu ‘Mr Brushwell’ bagi ‘merasmikan’ zon aktiviti kanak-kanak Colgate di pasaraya itu.

Keceriaan di wajah mereka jelas kelihatan apabila dibawa menyertai pelbagai aktiviti termasuk permainan bercorak pendidikan, pertandingan mewarna dan demonstrasi memberus gigi dengan betul serta menonton video ‘Dr. Rabbit and the Legend of Tooth Kingdom’.

Bantu Integrasi Kelurga Miskin

Pengarah Urusan Colgate-Palmolive Sdn. Bhd., Issam Bachaalani pada pelancaran kempen itu berkata, zon aktiviti selama dua hari itu diibaratkan sebagai satu ‘titik pelancaran’ kepada kempen tahunan ‘Bright Smiles Bright Futures’ sebelum ia mula menjelajah setiap sekolah rendah awam di Malaysia.

Jelasnya, pemilihan kanak-kanak untuk terlibat dalam program itu adalah sebahagian daripada usaha membantu integrasi keluarga miskin bandar tegar ke dalam sistem sokongan komuniti.

“Program sebegini amat bernilai bagi mereka memandangkan kebanyakan organisasi kebajikan hanya menganjurkan aktiviti kepada kanak-kanak dari rumah kebajikan,” katanya pada majlis itu.

Tambahnya, selain mendidik kanak-kanak dari usia muda, ia juga memainkan peranan penting khususnya kepada ibu bapa tunggal yang tidak dapat meluangkan banyak masa kepada anak mereka.

“Matlamat asas kempen itu ialah mendedahkan kanak-kanak akan kepentingan penjagaan oral yang betul dan mendidik mereka dengan prinsip asas pencegahan masalah oral,” kata Bachaalani.

Kempen Sama di 40 Negara

Kempen tersebut, jelas beliau, sebenarnya merupakan sebahagian daripada inisiatif pendidikan kesihatan oral yang sedang dilaksanakan bukan saja di Malaysia malah di lebih 40 negara yang merangkumi 23 juta kanak-kanak di dalam 30 bahasa, setiap tahun.

Ini bersesuaian dengan saranan doktor pergigian bertauliah yang menggariskan rutin penjagaan gigi secara total termasuk penggunaan flos dan pemeriksaan berkala setiap enam bulan adalah amat penting demi kesihatan kanak-kanak.

“Kami berharap agar ibu bapa menggalakkan anak mereka untuk terlibat sama serta menjadikan penjagaan oral yang dipelajari semasa kempen Colgate di sekolah masing-masing sebagai rutin,” ujarnya.

Melebarkan lagi senyuman kanak-kanak yang terlibat ialah apabila mereka boleh memilih sendiri barangan keperluan sekolah seperti beg dan kasut bernilai RM100 setiap seorang dan produk Colgate.

Bachaalani turut menjemput orang ramai untuk membawa anak masing-masing ke program yang sama yang bakal diadakan di Tesco Extra Selayang pada 29 dan 30 Jan ini.

Rencana ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Penulis

Artikel Terkini

  • Screen Shot 2014-04-17 at 1.51.48 PM
  • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27
  • tumblr_mejytetkE71qil46jo1_1280
  • alt

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas