Rasulullah Idola Terunggul

alt

Nabi Muhammad SAW merupakan contoh teladan dan idola terunggul dalam meniti arus kehidupan yang penuh pancaroba. Sama ada sebagai pemimpin negara ataupun pemimpin di dalam rumahtangga, baginda merupakan contoh teladan yang terbaik kerana memiliki sifat-sifat yang terpuji sehinggakan baginda telah diberi gelaran Al-Amin oleh masyarakat Arab Quraisy kerana kejujuran baginda dalam setiap perbuatan dan perkataannya.

Peribadi mulia yang dimiliki baginda Nabi Muhammad SAW bukan sahaja dikagumi umat Islam sendiri malah turut dikagumi golongan bukan Islam. Baginda sentiasa mempamerkan sikap sopan-santun, lemah-lembut dan memberikan layanan yang baik kepada semua orang tidak kira sama ada orang itu Islam atau bukan Islam. Oleh kerana keperibadian mulia baginda Rasulullah SAW, ramai golongan bukan Islam pada zaman baginda telah memeluk agama Islam kerana terpegun dan jatuh hati dengan akhlak yang dimiliki baginda.

Antara kisah yang masyhur ialah kisah baginda dengan seorang perempuan tua berbangsa Yahudi. Perempuan tua itu seringkali meletakkan najis dan duri di hadapan rumah baginda. Namun, baginda Rasulullah SAW sentiasa bersabar. Sehinggalah pada suatu hari baginda mendapati tiada kotoran di hadapan pintu rumah baginda. Maka, ketahuilah baginda SAW bahawa perempuan itu telah jatuh sakit lalu baginda telah pergi menziarahinya. Sikap baginda yang sentiasa sabar dan berbuat baik sesama manusia telah mendorong perempuan yang sering menyakiti baginda itu memeluk Islam kerana terkesan dengan akhlak mulia yang dimiliki baginda. Cukup tinggi budi pekerti baginda Rasulullah SAW.

Berdasarkan kisah tersebut, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk saling hormat-menghormati dan berbuat baik kepada setiap manusia, tidak kira Islam atau bukan Islam. Bahkan, baginda Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh kita bermusuhan hanya kerana seseorang itu tidak seagama dengan kita. Betapa indahnya akhlak baginda yang sentiasa berbuat baik kepada setiap manusia tanpa mengira bangsa atau agama. Malah, keindahan akhlak Rasulullah SAW turut disebut di dalam Al-Quran;

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.”
(Surah Al-Qalam, ayat 4)

Ketinggian akhlak dan keunggulan Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam walaupun baginda telah lama wafat. Bahkan, Allah SWT menyuruh kita mencontohi dan meneladani akhlak baginda SAW kerana kesempurnaan akhlak yang dimiliki baginda. Firman Allah SWT;

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah Al-Ahzaab, ayat 21)

Meneliti khutbah terakhir sebelum berakhirnya usia baginda menyedarkan kita betapa kasihnya baginda terhadap kita semua sehingga menitis air mata Abu Bakar kerana beliau mengetahui bahawa Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya. Pengisian khutbah terakhir baginda banyak mengandungi nasihat untuk sekalian manusia menandakan bimbangnya baginda terhadap umat Islam yang bakal ditinggalkan. Tiada apa yang lebih dikhuatiri baginda selain akidah umatnya sehinggakan pada akhir hayat baginda, tidak lekang di bibir baginda menyebut umatku, umatku, umatku.

Betapa kasih dan cintanya baginda Nabi Muhammad kepada kita. Tanyalah diri kita apa yang telah kita lakukan untuk membuktikan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW? Ayuhlah kita menjadi umat kesayangan baginda dengan mencontohi keperibadian baginda yang begitu indah dan mengenang kembali segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh baginda kerana tanpa rindu dan cinta baginda SAW kepada kita semua, tidak mungkin kita dapat mengecapi nikmat terbesar yang Allah SWT sediakan kepada kita iaitu Iman dan Islam.

Dalam meniti kehidupan di dunia, kita hendaklah mencontohi keunggulan akhlak junjungan besar kita, Rasulullah SAW yang berpandukan syariat Islam. Ketika Siti Aisyah ditanya oleh para sahabat tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab dengan singkat: “Akhlak Rasulullah SAW adalah Al-Qur’an.” Hal ini kerana akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai Al-Quran. Oleh itu, kita diseru untuk menghayati kehidupannya, pengajarannya dan menerapkannya dalam kehidupan seharian kita kerana Rasulullah merupakan contoh teladan yang terbaik sepanjang zaman.

Sesungguhnya orang yang mencintai Rasulullah dan selalu berselawat kepadanya akan menjadi orang yang paling dicintai baginda dan menduduki tempat yang hampir dengannya pada hari akhirat nanti. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia.” (Hadis riwayat Anas RA)

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Nailah Aqua merupakan pelajar tahun tiga, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel Terkini

  • Sepi
  • Screen Shot 2014-04-18 at 12.06.56 PM
  • Screen Shot 2014-04-17 at 1.51.48 PM
  • In_my_Father__s_Arms_by_Tazzer27

Komentar (0)

Tarbiyyah Kreatif
Kembali ke Atas