Versi: Bahasa Melayu

Sabtu, 25 Mei 2013

 413 Pembaca Online

[Fotografi] Di Sebalik Ramadhan

alt

Puasa yang mengajar erti lapar dahaga bukan itu nilaian utama di sisi Tuhan, lebih daripada itu hakikat sebenar berlapar dahaga adalah kesabaran dan tarbiyyah rohaniyyah.

Ramadhan bukan sekadar madrasah bahkan sebagai murobbi yang mendorong walaupun ketika ketiadaan Ramadhan nanti. Sikap dan kesungguhan adalah pemula kepada tarbiyyah ini.

Setiap inci perjalanan Ramadhan adalah ruang yang berharga, dan setiap incinya juga adalah peluang yang amat bermakna. Itu semua jika ia pandai dinilai dan difaedahkan oleh manusia. Kerna itu, ruang dan peluang yang sebegini hebat dan ekslusif. Tuhan tidak pernah kedekut dengan ganjaran namun manusia yang bakhil mencari tawaran. Berlumba-lumba dalam kebaikan adalah jalan keberkatan.

Kecelakaan adalah kedukaan dan kerugian bagi manusia beriman. Orang rugi bukan sahaja hari ini lebih buruk daripada semalam nilai amalannya, tetapi bulan ini disia-siakan sehingga tiada peningkatan amalan pada bulan hadapan bahkan berlaku kemunduran pada perbuatan. Di dalam Ramadhan kita menjadi baik tetapi apabila melepasi pintu Ramadhan kita tidak pula seperti di Bulan Ramadhan. Orang mukmin sekurangnya ada penambahan kebaikan pada setiap hari-harinya, satu peratus setiap hari lalu diganda-gandakan. Jika tidak mampu, Istiqomah adalah jalan terbaik bukannya surut nilai amalan. Kerana itu adalah kerugian dan kecelakaan.

Photo by: Gianluigi Guercia/AFP/Getty Images

Libyan men perform the evening prayer at the end of the first fasting day of Islam's holy month of Ramadan in the rebel stronghold of Benghazi on August 1.

Natijah puasa adalah sungguh besar tapak pengukuhannya kerana penghasilan daripada tuaian bulan Ramadhan akan digunapakai sepanjang 11 bulan yang lain. Bekalan itu mestilah kukuh dan selamat kerana ia bakal disimpan dalam tempoh yang lama sehingga menemui Ramadahan semula untuk dicas. Tuaian itu adalah Taqwa. Orang Mukmin yang berpuasa akan menemui Taqwa jika dia benar-benar berpuasa. Taqwa itu takut dan berhati-hati. Lalu puasa itu menghasilkan takut (kepada Pencipta), puasa juga menghasilkan sifat berhati-hati (terhadap dosa). Kalaulah kedua sifat itu bisa didakap semasa keberadaan Ramadhan, maka puasa kita adalah Taqwa yang sejati.

Jangan ucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan dengan air mata yang menipu, tetapi katakan padanya 'bahawa panjang umur kitakan bertemu semula'. Jangan jemu untuk duduk di dalam taman Ramadhan kerana disuruh berlapar dan dahaga, kerana lapar itu suatu nikmat dan ganjaran.

Ramadhan bukanlah tetamu walaupun 'dialah' yang datang dan pergi, tetapi kitalah yang menjadi tetamunya kerana dijemput bersinggah ke dalamnya. Kita diberi peluang mengutip isinya yang sebanyak-banyaknya. Mereka yang bijak pandai adalah yang menggunakan peluang sebaiknya kerana Ramadhan yang datang belum tentu datang lagi kepadanya.

Photo by: Dita Alangkara/Associated Press

Indonesian Muslims perform Tarawih, an evening prayer marking the first eve of the holy fasting month of Ramadan at Istiqlal mosque in Jakarta, Indonesia July 31. During Ramadan, the holiest month in Islamic calendar, Muslims refrain from eating, drinking, smoking and sexual relations from dawn to dusk

Lailatul Qadar bukan syarat utama untuk meningkatkan amalan sehingga terlupa akan matlamat pengabdian kepada Tuhan. Ganjaran Lailatul Qadar sekadar motivasi dan pendorong kepada kesungguhan untuk mencari keredhaan Tuhan. Dia tidak mahu manusia berlumba mencari ganjaran, tetapi mahukan mereka yang meraih keredhaan-Nya. Mungkin orang yang memilih hari dalam mencari Lailatul Qadar tidak akan menemuinya tetapi yang mencari Tuhannya besar kemungkinan akan dikurniakan.

Sebelum Ramadhan yang ini berlalu pergi, gunalah peluang ini sebaiknya untuk peningkatan kualiti amalan. Ramadhan bulan terbaik perbaiki diri kerana ia dijagai daripada sebarang anasir buruk. Syaitan dibelenggu dan nafsu terpaksa kurang bekerja kerana dikongkong dengan kelaparan. Lalu masa inilah sesuai untuk berubah kepada kebaikan

Sebelum Ramadhan pergi, carilah semua itu kerana Ramadhan itu adalah Rahsia yang terlalu Agung dan datang dengan kepelbagaian rahsia dan ganjaran yang sungguh lumayan.

ALLAHUMMA BALIGHNA RAMADHAN...

قُلِ اللَّـهُ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يَجْمَعُكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ لَا رَيْبَ فِيهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia akan mematikan kamu, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada Hari Kiamat - (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)".
[Surah al-Jathiyah 45: Ayat 26]

Photo : AP Photo/Muhammed uheisen

Lensa Hati

Lensa Hati adalah ruangan perkongsian foto oleh fotografer-fotografer serata dunia dari pelbagai jenis bidang fotografi. Foto atau gambar menceritakan 1001 macam kisah, tetapi Lensa Hati akan menekankan aspek kerohanian hati dari foto, yakni perkaitan dari foto kepada al-Quran mahupun Hadis Rasulullah S.A.W. dan apa jua perkara kebaikan darinya. Moga apabila kita melihat di alam realiti seperti foto yang dikongsikan di sini, lalu terbitlah ayat al-Quran atau Hadis dari benak hati kita.

 


Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!