Walaupun kita berada di lain-lain tempat. Di Malaysia, di Amerika, Palestin mahupun di India. Tanpa kita sedar hakikatnya, kita sebenarnya berdiri di bawah langit yang sama dan menghirupoksida yang sama.
Pernah tak kita nampak sempadan ataupun garisan di atas permukaan langit ?
Tidak bukan. Tidak pernah seorang pun yang mengaku pernah melihat sempadan di atas langit biru ciptaan Ilahi. Tidak ada satu negara pun yang mampu katakan langit itu negara mereka punya dan langit ini negara jiran yang punya.
Saya tertarik pada sebuah sajak tingkatan lima hasil karya Dr. Lim Swee Tin yang bertemakan kesaksamaan hak dan status manusia sejagat. Manusia tetap sama dan tidak seyogia dibezakan hanya kerana faktor geografi dan taraf ekonomi sesebuah negara. Hakikatnya sempadan negara dan keperluan dokumen perjalanan antara negara hanyalah keperluan rasmi seketika, justeru seluruh warga dunia bernaung di bawah langit yang sama.
Di bawah langit yang sama
Kita hirupi udara
Tanpa mengira Beirutmu
Ataupun Kuala Lumpurku
Di bawah langit yang sama.
Aku suka gerimis di Kota London
Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington
Pohon-pohon hijau atau aneka warna
tiada bezanya.
Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika
Kerana di bawah langit ini
Kita sama.
Aku ingin menyeberangi Laut China Selatan
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
Berkongsi siang miliki malam
Anyam cinta pelangikan zaman
Tiupkan harapan senada
Sesama kita - warga dunia
Di bawah langitnya
Yang sama.
Peta-peta itu yang memisahkan
Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
Kita dakapi mimpi tak berbeza
gapai hasrat
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
Di bawah langit ini yang
Sama.
Oleh itu, wahai saudaraku sekalian janganlah sesekali kita memandang rendah pada orang lain. Jikalau kita berada dalam kesusahan , ingatlah bahawa saudara seagama kita turut berada dalam keadaan yang lagi payah dari kita.
Sesungguhnya Allah itu maha Melihat lagi Maha menyayangi
- Foto Kreatif Plan B Werks
Kongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda!
